Hello world!

Julai 25, 2009

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!

Advertisements

Budaya Robot: Jepun Lawan Amerika II

Julai 14, 2009

504x_gundam_edited22

Kegilaan Jepun terhadap robot memang semakin menjadi-jadi. Terbaru, sebuah model berskala penuh setinggi 18 meter telah dibina di tengah-tengah kota Tokyo.  Para peminat siri ini dan otaku seluruh dunia memang teruja dengan perkembangan ini memang teruja dengan perkembangan ini. Akhirnya mereka dapat melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana imaginasi mereka kini telah diterjemahkan ke dunia nyata. Pada hemat saya, ini juga satu pengiktirafan bahawa fiksyen sains telah diterima sebagai budaya arus perdana.

Lebih menarik lagi Patrick Galbraith iaitu pengkaji di Universiti Tokyo berkongsi pendapat serupa dengan saya tentang perbezaan sikap terhadap robot dalam fiksyen sains antara Jepun dan Barat. Gundam yang bermula pada tahun 1970-an memaparkan pemuda yang mengemudi robot gergasi dan menggunakannya untuk menyelamatkan dunia. Berbeza dengan fiksyen sains Hollywood sezaman seperti Space Odyssey yang memaparkan bagaimana AI kapal angkasa mahu membunuh krewnya.

Tambah beliau lagi, “Jepun tidak terjebak dengan sudut pandang negatif selepas revolusi industri dan sebenarnya memandang teknologi sebagai harapan untuk masa hadapan.” Salah satu episod dalam siri Gundam terbaru berjudul Mirai No Tameni yang bermaksud Demi Masa Depan.

Apa pula sudut pandang fiksyen sains Melayu terhadap robot?

Gambar dicuplik dari Gizmodo

Kenyataan asal Patrick Galbraith di BBC

Singgah ke Pustaka Munirah

Julai 1, 2009
From Pustaka Munirah

Sabtu lepas, saya menghadiri walimah rakan sekelas di Kemaman. Sebelum pergi ke sana, teringat tentang Tn. Saifuddin – pemilik Pustaka Munirah yang aktif di UNIKA PTS.  Saya buka internet, cari nombor beliau dan terus sahaja mengatakan bahawa saya akan singgah dalam perjalanan pulang. Beliau juga mengatakan ada undangan walimah yang perlu dipenuhi, jadi elok sangatlah saya pergi menghadiri walimah dahulu.

From Pustaka Munirah

Pustaka Munirah menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti buku, novel, alat tulis dan percetakan digital. Semasa saya datang, agak ramai pengunjung yang sedang membeli-belah. Buku-buku PTS memang banyak di sini di samping novel-novel Alaf21. Kedai Tn. Saifuddin tidak menjual majalah, leceh menguruskannya kata beliau. Tetapi, Komik-M ada dijual di sini.

From Pustaka Munirah

Alhamdulillah, Tn. Saifuddin mengatakan bahawa perniagaan beliau berkembang baik dengan peningkatan pendapatan setiap tahun. Pendapatan datang daripada pelanggan walk-in dan pembekalan alat tulis pejabat kepada syarikat-syarikat sekitar. Kontrak kerajaan dan LO? Itu bukan mainan Tuan Saifuddin.

Beliau juga menunjukkan kepada saya gambar-gambar kedai baru Pustaka Munirah yang akan menjadi cawangan utama. Kedai sedia ada akan kekal sebagai kedai alat tulis.  Katanya, kedai baru akan menawarkan suasana yang lebih menarik untuk para peminat buku. Beliau mengakui susun atur kedai sekarang kurang sesuai untuk menjual buku. Rak-rak yang ada sebenarnya lebih sesuai untuk menjual barangan runcit.

firdaus-n-saifuddin-crop

Sebelum pulang, bergambar terlebih dahulu. Rupa-rupanya novel-novel saya iaitu Sayap Adinila dan Armada Azur ada dijual di Pustaka Munirah. Jadi orang Kemaman tahulah di mana hendak mendapatkan novel saya ya!

Terima kasih diucapkan kepada Tn. Saifuddin dan semoga Pustaka Munirah terus sukses!

Deadline

Jun 25, 2009

buku_google

Terjemahan Buku Google (PTS Pro) – 10 Julai 2009

BioHack bersama Tn. Izwan Wahab (PTS Fortuna)- 15 Julai 2009

Buat Duit Dengan Menulis Novel bersama Pn. Kusyi Hirdan (PTS Pro)- 31 Julai 2009

Projek Yang Sedang Menunggu

Kaz0ku bersama Pn. Kusyi Hirdan dan Cik Puan Maslina Ngadiman untuk ilustrasi – PTS Litera

Aku Kucing bersama Tn. Syarafuddin & Cik Ann – PTS Pro

Muzik & Penulisan

Jun 8, 2009

Bagi saya, muzik sangat berkait rapat dengan penulisan. Ada banyak sebab mengapa saya katakan begini. Pertama, penglibatan dengan penggiat muzik membantu mengekalkan apresiasi saya kepada seni dalam Bahasa Melayu sepanjang saya ‘rehat’ seketika dari dunia penulisan.

Saya tertarik dengan kumpulan Madani kerana mereka menghasilkan dan mempersembahkan lagu sendiri. Pada masa itu saya tidak tahu ke mana hendak disalurkan minat saya dalam bidang penulisan jadi saya ikut sahaja mereka. Tambah pula kami mempunyai latar belakang yang agak serasi. Tahu-tahu sahaja saya sudah menterjemah dan menulis lirik untuk mereka.

Muzik juga banyak membantu saya memeperkayakan kosa kata kerana lirik biasanya puitis dan menggunakan kalimah-kalimah yang jarang diungkapkan dalam kehidupan seharian. Itulah yang saya suntik ke dalam penulisan saya.

Penggiat muzik juga mempunyai semangat yang luar biasa, sanggup bergolok-gadai demi seni yang mereka cintai. Mereka sanggup mengorbankan waktu rehat untuk membuat persembahan walaupun tidak dibayar. Walau sepenat mana sekalipun, tetap tampil segar di pentas.

Novel Armada Azur sebenarnya memuatkan secara langsung penghargaan terhadap rakan-rakan penggiat muzik saya. Satu lirik yang saya titipkan untuk Madani ada dimuatkan berserta babak-babak yang melibatkan kumpulan Dewangga Sakti (Sedutannya ada di sini).

Muzik juga tertakluk di bawah undang-undang hakcipta yang sama dan industri muzik di Malaysia dirundung penipuan serta penindasan serupa dengan dunia penerbitan. Oleh itu, perjuangan yang dihadapi juga tidak jauh berbeza.

Impian saya adalah untuk bersama-sama rakan penggiat muzik menghasilkan soundtrack bagi filem animasi yang diangkat dari novel tulisan sendiri. Ah, saya sudah terbayang menghabiskan malam-malam yang sejuk di studio meneman mereka menghasilkan lagu demi menyuntik emosi di dalam filem!

PANDA & READ Malaysia

Jun 3, 2009
From Drop Box

Buat masa sekarang, saya merehatkan sebentar siri Saga Empayar Kristal supaya dapat mengumpul bahan dan memeram idea supaya lebih masak. Oleh itu, saya menghasilkan siri baru iaitu bioHack yang berkisar tentang rangkaian bio-komputer pada tahun 2069.

Kali ini saya menghasilkan siri ini dengan ‘3-man-cell’ yang terdiri daripada saya sebagai penulis utama, Tuan Izwan Wahab a.k.a Robot sebagai penasihat teknikal dan PAC sebagai illustrator. Tuan Zulkifli Ramli & Kamal Sabran pula telah menyatakan kesediaan untuk menghasilkan runut bunyi bagi siri ini.

Dalam siri bioHack, fokus adalah kepada agensi yang diberi nama PANDA yakni Policing Agency for Network, Data & Autonomous Systems. Nama ini datang akibat pengaruh kumpulan Dewangga Sakti yang memang gilakan panda.

Saya mengandaikan agensi ini adalah kesinambungan kepada Cyber Security Malaysia yang pada masa ini melakukan tugas forensik digital (kes Linggam, Nurin) dan keselematan siber. Pada masa hadapan di mana penggunaan robot adalah meluas, tentu sekali bidang tugas mereka akan bertambah.

BioHack akan menemui pembaca pada bulan Ogos nanti, Insya-Allah. Program saya di READ Malaysia bersama Tuan Amir Husaini & Tuna Baharuddin Bekri pula adalah seperti berikut:

Tarikh: 4 Jun 2009 (Khamis)

Masa: 2.30 – 3.30 petang

Tempat: Booth PTS, Mines International Exhibiton & Convention Centre

Naik Taraf

Mei 29, 2009
From Forward June 2009

Bulan ini saya mencapai tahap baru dalam kerjaya sebagai penulis bebas apabila tersenarai sebagai penyumbang tetap di majalah Forward. Langkah seterusnya adalah mendapatkan kolum sendiri pula!

Artikel saya dalam Forward edisi Jun 2009 adalah Istiqlal & at-Ta’awun: Independence & Tranquility.

From Forward June 2009

Ketahui cara menjadi penulis bebas dengan menyertai Bengkel Sehari Penulis Bebas.

Menulislah Di Mana-Mana Sahaja!

Mei 26, 2009
From Screen Captures

Penulis bebas tidak perlu terikat dengan pejabat tertentu tetapi ada kalanya perlu bekerja di luar rumah agar lebih fokus. Rakan saya Nazri adalah seorang professional multimedia bebas yang menjadikan kafe-kafe di seluruh Lembah Klang sebagai pejabat bergeraknya. Beliau telah menyenaraikan lokasi yang pernah digunakan berserta maklumat tambahan seperti kemudahan WiFi, surau serta review di laman web OfficeKami. Juga semak artikel beliau tentang tips-tips ‘membina’ pejabat bergerak di sini.

Ketahui cara menjadi penulis bebas melalui Bengkel Sehari Penulis Bebas!

Trust You – Yuna Ito

Mei 22, 2009
Edisi Khas Gundam 00

Apabila Tuan Amir Husaini memberikan CD yang saya kirim dari Jepun beliau bertanya, “Untuk apa CD ini?”

Beliau agak pelik mungkin, sebab kulit hadapannya memaparkan gambar mecha tetapi tajuknya seperti lagu jiwang. CD itu sebenarnya adalah CD Single penyanyi Yuna Ito yang bertajuk Trust You edisi khas Gundam 00. Lagu Trust You merupakan lagu penutup bagi musim kedua siri anime Gundam 00.

Saya beli kerana:

1. Lirik & feel lagu tersebut memang kena dengan cerita Gundam oo.

2. Kemampuan vokal Yuna Ito memang hebat. Iyalah, boleh berduet dengan Celine Dion. (Itu satu lagi artis kegemaran saya)

3. Siri Gundam 00 memang menarik dan mapan isunya sehingga saya menonton seluruh 52 episod walhal sebelum ini saya tidak minat francais Gundam.

4. Mahu mengkaji integrasi pelbagai media serta merchandising dalam sebuah siri sai-fai.

Album ini adalah kajian kes yang menarik bagaimana pelbagai media dan harta intelek diintegrasi. Lagu Trust You adalah lagu yang kuat dan sudah mampu berdiri sendiri. Tetapi apabila dijalinkan di dalam siri anime, semakin terserlah makna dan cerita di sebalik liriknya. 

Integrasi dan sinergi ini juga meluaskan pasaran harta intelek. Di sini kita dapat lihat bagaimana lagu yang sama dapat digunakan kembali dan dipasarkan kepada dua pasaran yang berbeza. Pasaran pertama adalah peminat Yuna Ito sendiri kemudian ditambah pula dengan peminat siri Gundam 00. Kemudian, peminat Gundam 00 mungkin menjadi peminat Yuna Ito dan sebaliknya.

Lebih menarik lagi, album ini hadir dalam versi biasa dan edisi khas Gundam 00. Edisi khas Gundam 00 memuatkan trek ekstra dan juga kad watak. Harga edisi ini juga mahal sedikit iaitu 1238 yen berbanding 1165 yen untuk edisi biasa.

Edisi Biasa

Bila difikirkan, pelik juga apabila album dengan cover gambar mecha boleh dijual lebih mahal berbanding gambar seorang perempuan jelita!

Pelajari tentang asas hakcipta dan harta intelek melalui Bengkel Sehari Penulis Bebas.

Sticker Kereta Penulis

Mei 20, 2009
From Drop Box

Ini sticker paling atas, mempromosi syarikat penerbitan dan juga untuk membezakan kereta saya dengan kenderaan lain yang sama modelnya. Iyalah, kereta saya biasa-biasa sahaja dan dimiliki sekian ramai manusia. Tetapi pada hari pertama saya meletak sticker ini saya tersalah kereta juga! 

From Drop Box

Sticker ini sebenarnya adalah iklan bagi lebuhraya DUKE yang menjadi pilihan saya untuk merentas kota. Saya amat suka mesejnya yang mengatakan ada perkara lebih yang boleh dibuat daripada tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Tambah pula dengan imej buku nota dan pensel, memang bergaya penulis!

Dua minggu lepas saya ‘berpeluang’ berulang-alik antara Putra Jaya dan UIA Gombak. Ternyata perjalanan tersebut begitu meletihkan dan membunuh produktiviti menulis. Ya, memang baik menulis di rumah daripada merangkak di lebuhraya!

Ketahui cara menjadi penulis bebas dengan mengikuti Bengkel Sehari Penulis Bebas.