Archive for Mei 2007

Sifu Manga

Mei 31, 2007

053107_astroboy.jpg

Tempoh hari saya ada sebut tentang siri Astro Boy. Inilah mendiang Osamu Tenzuka yang merupakan pencipta siri tersebut. Beliau juga dikenali sebagai BapaManga.

Baca lebih lanjut tentang beliau dalam artikel ini.

Nota: Saya sedang ada kerja lain yang perlu dibuat. Nanti saya sambung lagi!

Advertisements

Ciri-ciri Hero

Mei 29, 2007

Semasa bengkel fiksyen sains dan fantasi, Pn. Sifu telah menyenaraikan ciri-ciri hero cerita yang diminati ramai. Antara ciri-ciri itu adalah seperti berikut:

  • Hero yang istimewa. Hero ini lelaki. Hero perempuan pasarannya terbatas.
  • Yang baik tidak sentiasa menang. Tetapi tidak pula yang jahat itu menang secara moralnya.Hero mungkin kalah, tetapi akhirnya menang.
  • Hero itu mempunyai pengikutnya.
  • Hero itu ada kelemahannya
  • Senjata dan ilmunya yang hebat

Ambil contoh satu siri Jepun yang cukup popular sekarang iaitu Naruto. Ya, dia lelaki. Memang dia selalu kalah di awalnya, malah diejek kerana kekalahannya. Tetapi akhirnya Naruto tetap menang.

180px-tajukagebunshinnojutsu.jpg

Naruto ada pengikut iaitu Konohamaru dan gengnya. Namanya juga diabadikan pada sebuah jambatan dalam salah satu episod. Dia lemah mengawal kuasanya dan juga lemah dalam pelajaran. Naruto ada senjata yang biasa seperti kunai dan shuriken tetapi mempunyai ilmu ninja yang hebat seperti Kage Bunshin no Jutsu. Dengan teknik ini, dia mampu mengklon dirinya dengan banyak untuk berlawan.

Nota kaki: Sesetengah penulis di PTS seperti mahir menggunakan teknik Kage Bunshin no Jutsu seperti Naruto agaknya. Mana tidaknya, banyak buku keluar dalam satu masa. 😉

Selingan: Mana Karya Tempatan?

Mei 28, 2007

Disebabkan ada yang bertanya tentang karya-karya tempatan maka saya senaraikan di sini beberapa karya Fantasi dan Fiksyen Sains yang ada dalam koleksi saya.

[Dari Kiri] 1511H Kombat, Detektif Indigo, Advencer si Peniup Ney, 1515

Semua yang di atas adalah karya Faisal Tehrani. Dua buku yang pertama ialah fiksyen sains, selebihnya fantasi. 1515 saya klasifikasi sebagai fantasi juga sebab ada unsur-unsur mistik di dalamnya. Nilainya? Tentu sekali Islamik. Terselit juga kritik masyarakat di celah-celah karya ini.

Saya hanya baca karya Faisal Tehrani? Tentu sekali tidak. Dalam koleksi saya juga ada Misi Sarwajagat karya Ediramle Ismail dan Dominasi Tebrau karya Aminah Mokhtar. Kedua-duanya telah memenangi Peraduan Menulis Novel Alaf Baru 2001 anjuran DBP. Ada juga Ombak Sfera Lotus karya Siti Jasmina Ibrahim. Novel ini memenangi hadiah kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, sama seperti karya-karya Faisal Tehrani yang saya senaraikan di sini.

Oh ya, saya juga telah memesan Impian Tsu Ryi karya Nisah Hj. Haron. (Telah pun saya terima)

Apabila ada kesempatan nanti saya kupas satu persatu karya-karya ini. Jika ada di antara anda yang berminat berkongsi pendapat, tulis sahaja di sini.

Budaya Robot: Jepun lawan Amerika

Mei 27, 2007

Salah satu tema dalam fiksyen sains adalah robot dan cyborg. Tema ini sering digunakan dan banyak siri-siri hebat dan berpengaruh terhasil dalam sektor ini. Contohnya Gundam, Doraemon, dan Transformers. Tema ini turut digunakan bersama tema lain seperti ‘virtual reality’ dalam siri The Matrix juga dalam tema mutants seperti X-Men.

Namun begitu, kita dapat lihat kontras dalam tema ini antara fiksyen sains dari Jepun dan dari Amerika. Fiksyen sains Jepun melihat robot dengan cara yang lebih mesra, banyak karya mereka menunjukkan persahabatan antara manusia dan robot. Lihat sahaja Doraemon dan Astro Boy. Watak robot utama ini membantu manusia, bersahabat dengan manusia.

Adakalanya dipaparkan bagaimana robot berkorban untuk menyelamatkan manusia dan begitu juga sebaliknya. Lihat bagaimana Doraemon menyelamatkan Nobita dan bagaimana Nobita menangis bila disangkanya Doraemon telah ‘mati’. Astro Boy pula membantu menyelamatkan dunia dengan kuasa supernya. Watak-watak robot ini begitu insani, mereka gembira bersama kita, kehilangan mereka diratapi.

Amerika pula sering prejudis terhadap robot. Robot digambarkan sebagai musuh dan berniat menguasai manusia. Lihat sahaja X-Men, robot-robot Sentinel sentiasa memburu para pejuang X-Men. Ambil pula The Matrix, robot-robot telah menakluk manusia dan memerengkap mereka dalam dunia realiti maya. Dalam siri Transformers pula terdapat puak robot Decepticon yang jahat dan robot gergasi Unicorn yang menelan planet-planet.

Jadi, kita lihat di sini bagaimana berbezanya pendekatan dalam tema ini antara dua budaya ini. Saya mengandaikan perbezaan ini tercetus disebabkan sejarah kedua-dua negara itu sendiri. Lihat Doraemon dan Astro Boy yang dicipta selepas Perang Dunia Kedua di Jepun. Doraemon dan Astro Boy adalah simbol kepada harapan serta semangat untuk Jepun bangkit semula.

Teknologi yang dipaparkan dalam kedua-dua siri ini menjadi inspirasi untuk Jepun membina kekuatan teknologi mereka. Kerana pembaca-pembaca siri ini berani berimaginasi dan menjadikan robot seperti itu satu kenyataan. Contohnya; QRIO dari Sony dan ASIMO dari Honda adalah terjemahan dari imaginasi itu.

200px-astroboy.png

Amerika pula? Didapati bahawa penciptaan komputer di sana asalnya adalah untuk tujuan ketenteraan dan teknologi yang berkaitan seperti kepintaran buatan (A.I) serta robot juga tidak terkecuali. Mereka mencipta peluru berpandu pintar untuk menghapuskan musuh, robot pula untuk mematikan bom musuh. Sekarang Tentera Amerika pula berangan-angan untuk menghasilkan kereta kebal yang boleh pergi sendiri berjuang di medan perang dan membunuh musuh-musuh.

Robot-robot Amerika masih ‘terpenjara’ di kilang-kilang bekerja siang dan malam sedang robot-robot Jepun telah mula hidup di samping manusia seperti PaPeRo dari NEC dan AIBO dari Sony. Amerika hanya ada Roomba di rumah, itu pun kerjanya hanya vakum lantai! AIBO pula bermanja dengan tuannya, menari dan merakamkan detik-detik manis melalui kameranya.

Nah, fikirkan. Siapa kata fiksyen sains terlepas dari aspek budaya?

Salam Pengenalan

Mei 27, 2007

Selamat datang ke blog Studio Inspirasi. Di sini dibincangkan tentang karya-karya fantasi dan fiksyen sains. Skopnya luas di sini, bukan setakat novel dan filem tetapi medium lain seperti permainan komputer dan animasi. Dari Jepun hingga ke Amerika Syarikat. Baik karya dalam negara atau luar negara.

Singkap makna di sebalik karya-karya hebat fantasi dan fiksyen sains. Juga mengintai psikologi masyarakat melalui karya-karya ini. Bongkar falsafah, fahami faktor kejayaan. Perjuangan di sini adalah membentuk fantasi dan fiksyen sains mengikut acuan nilai-nilai kita.

Blog ini adalah amanah kepada saya dan Ammar daripada Sifu PTSPn. Ainon sendiri. Diamanah semasa perbincangan kami tengah hari tadi. Kami sahut cabaran itu dan moga anda turut mendokong perjuangan ini.

 ‘Memandaikan Bangsa Melalui Fantasi dan Fiksyen Sains’