Archive for Jun 2007

Dari Arkib: Epidemik

Jun 29, 2007

Hari ini, saya menyorot antara buku fiksyen sains terawal dalam koleksi.Bertajuk Epidemik, buku ini adalah antologi cerpen-cerpen pemenang Hadiah Cereka Sains 1989. Pertandingan tersebut adalah tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Ahli-ahli Sains Malaysia.

img.jpg

Antologi ini adalah kelolaan Dr. Sharifah Barlian Aidid dan diterbitkan oleh Utusan Publications. Enam cerpen dimuatkan dalam antologi ini dan kesemuanya ditulis oleh pelajar sekolah menengah. Buku ini memang disasarkan untuk pelajar-pelajar sekolah menengah. Tajuk-tajuk cerpen dalam antologi ini adalah seperti berikut:

  • Pejuang Warisan Alam
  • GXTM-II
  • Epidemik
  • Pengembaraan Yang Mencemaskan
  • Pengembaraan Ke Planet Pluto
  • Demi Kebahagiaan Semua

Cerpen Epidemik menonjol kerana tema yang dibawa berbeza daripada cerpen-cerpen yang lain. Tema utamanya adalah bioteknologi dan penyakit berjangkit. Juga digabungkan dengan konolisasi angkasa lepas sebagai latar.

Pejuang Warisan Alam, Pengembaraan Ke Planet Pluto dan Demi Kebahagiaan Semua membawa satu tema yang sama – iaitu pencemaran radioaktif. Ketiga-tiganya mencari penyelesaian untuk pencemaran dan keracunan radioaktif yang berlaku di masa hadapan. Cuma cara watak-watak dalam cerpen itu mendapatkan teknologi tersebut berbeza.

GXTM-II pula mengisahkan sekumpulan saintis yang mencipta bahan kimia untuk menggantikan CFC. Digarap pula dengan pertembungan dengan pihak yang tamak kuasa dan wang.

Pengembaraan Yang Mencemaskan Pula cerpen tentang mengecilkan sekumpulan orang untuk masuk ke dalam manusia. Kemudian merawat penyakit pada peringkat sel. Bunyinya seperti sebuah filem barat. Adaptasi versi Malaysia mungkin.

Jalan cerita dan konsep dalam cerpen-cerpen ini mungkin mudah tetapi ia tetap memberi gambaran tentang perkara-perkara seperti elektron, mikrobiologi dan penciptaan bahan kimia. Sesuai dengan aras tingkatan 4 & 5. Jika pelajar universiti, tentunya saya mengharapkan tahap yang lebih tinggi.

Dari aspek kemanusiaan pula, cerpen-cerpen ini memaparkan etika saintis yang tinggi. Kesemua watak utama menggunakan sains untuk kesejahteraan manusia. Semangat Malaysia boleh juga nyata, rata-rata watak mengharumkan nama negara di akhir cerita.

Saya tertanya-tanya. Adakah masih wujud Hadiah Cereka Sains seperti ini? Jika ada, mana pula bukunya?

Advertisements

Running Gag

Jun 28, 2007

Running gag ialah lawak yang berlaku secara berulang dalam sesuatu siri. Ia dipersembahkan dalam bentuk dialog, perlakuan atau visual. Ada running gag yang tidak sengaja, ada juga yang sengaja dibuat oleh penulis.

250px-drmn_01.jpg

Running gag yang sengaja selalunya digunakan untuk menunjukkan kelemahan sesuatu watak. Siri Doraemon banyak memuatkan running gag untuk tujuan ini. Contohnya Doraemon yang akan mengeluarkan segala macam benda dari poketnya apabila dalam keadaan cemas. Ini menunjukkan sikap paniknya.

Kelemahan Nobita dalam akademik pula ditunjukkan melalui markah ujiannya yang sentiasa kosong. Suara Takeshi (Giant) yang tidak merdu pula ditunjukkan melalui orang-orang menutup telinga atau pengsan mendengar nyanyiannya.

Dalam siri Stargate pula, ada running gag yang merujuk kepada ketidakfahaman Kolonel O’neill tentang sains.  Dia akan mengatakan ‘magnets’ apabila berhadapan dengan teknologi atau fenomena yang tidak dapat diterangkan.

Siri ini turut memuatkan running gag yang tidak melibatkan watak-watak utama. Contohnya apabila berlaku sebarang letupan dalam kamar Stargate setiap kali itulah askar yang sama akan tercampak. Tidak pun dia tercampak apabila cuba mematikan bekalan elektrik.

Pada hemat saya, running gag adalah sesuai digunakan dalam karya yang bersiri. Lawak yang berulang dalam satu buku atau filem akan membosankan pembaca dan penonton. Bagi sesiapa yang merancang karya bersiri, running gag adalah sesuai untuk mengembangkan sesuatu watak. Anda juga akan mengetahui siapa peminat setia anda apabila mereka boleh mengesan running gag anda!

Notis: Bengkel II Fiksyen Fantasi & Sai-Fai Sabtu 28hb Julai – Gratis

Jun 26, 2007

Tarikh: 28 hb Julai 2007
Tempat: Sekolah al-Ikhlas, Taman Permata KL.
Masa: 10 pagi – 5 petang

Pembimbing 1: Otai Sdr Mat Jan
Pembimbing 2: Saudara Firdaus Ariff.

Daftar di http://www.universitipts.com/?p=2053.

“Misi PTS adalah “Memandaikan Bangsa”. Maka, buku-buku fiksyen fantasi yang bakal diterbitkan nanti adalah buku-buku fantasi yang membantu pembacanya menjadi individu yang lebih pandai, berbanding dengan waktu sebelum dia membaca buku-buku itu. Buku-buku fantasi PTS tidak akan memberikan cerita-cerita yang anti-tauhid, yang anti-ilmu, ataupun anti-sains.Sebaliknya, fiksyen fantasi PTS adalah pro-tauhid, pro-ilmu dan pro-sains.

Justeru, sambil membaca cerita-cerita fantasi PTS itu kanak-kanak dan remaja dapat mempelajari maklumat-maklumat baru dan istilah-istilah baru yang tidak ada dalam buku-buku teks sekolah yang mereka harus baca demi lulus peperiksaan.”

Nota: Sifu akan hadir sebagai peserta.

Mengintai Masa Hadapan

Jun 25, 2007

predictions_485.jpg

Seringkali kita kagum meilihat teknologi-teknologi yang dipaparkan dalam karya-karya fiksyen sains. Robot, kapal angkasa, teleportation, dan pelbagai teknologi canggih masa hadapan.

Kadangkala, teknologi yang dipaparkan adalah di luar imaginasi kita. Iklan dalam mimpi misalnya, atau kenderaan yang bergerak di dinding. Lebih bagus lagi, kesemua teknologi itu dipaparkan dengan realistik dan membuat kita yakin bahawa teknologi seperti itu akan wujud.

Seorang tokoh fiksyen sains pernah berkata, fiksyen sains yang baik adalah didasarkan pada konsep sains yang baik. Itu yang membuatkan teknologi yang dipaparkan itu realistik dan penulis pula mampu memberi penerangan yang munasabah dalam karya mereka.

(more…)

Agama & Etika

Jun 22, 2007

200px-edward_elric.PNG

Mungkin anda pernah melihat siri Fullmetal Alchemist di TV3. Watak utamanya ialah Edward Elric, seorang ahli alkemi yang hebat. Siri FMA nampak seperti siri animasi kanak-kanak yang biasa tetapi ia sebenarnya membawa persoalan tentang ketuhanan, keagamaan dan etika.

Watak utama siri ini tidak percaya kepada Tuhan dan percaya pada hukum alkemi semata-mata. Antara misi terawalnya adalah membongkar kepalsuan seorang paderi. Dia membongkar penipuan paderi itu yang mengatakan alkemi yang dilakukannya sebagai keajaiban dari Tuhan.

(more…)

A Hero is Only as Good as its Villain

Jun 20, 2007

anakin_syndrome_wide.jpg

Apabila melompat dari blog ke blog, saya ketemu satu blog baru ulasan buku iaitu Ulas & Kupas. Ulasannya agak mendalam, tetapi bukan itu yang mahu dibincangkan hari ini.

Saya tertarik dengan satu penyataan yang ditulis – “a hero is only as good as its villain.” Dalam Bahasa Melayu – hero itu hanyalah sebaik watak jahatnya. Apa maksudnya? Baik dari segi nilainya? Atau baik dari segi rekaan wataknya?

Penulis blog tersebut ada menyebut tentang watak dua dimensi. Maka dapat difahami bahawa yang dimaksudkan adalah rekaan watak yang baik. Rekaan watak jahat perlu dibuat sebaik rekaan watak hero. Barulah buku bertemu ruas!

Pada hemat saya, dua dimensi yang dimaksudkan adalah sikap dan fizikal. Sikap yang kejam, egoistik. Fizikal pula bermisteri dan menggerunkan. Apa yang kurang?

Aspek yang tertinggal di sini ialah motif dan personaliti. Benar, watak itu jahat tetapi persoalannya mengapa ia melakukan kejahatan tersebut? Ini berkait rapat dengan pembinaan backstory.

Tidak logik seseorang itu membuat jahat semata-mata kerana dia mahu berbuat begitu. Bercita-cita menguasai dunia adalah sebab yang basi, jadi harus dicari sebab yang lain. Adakah kerana dendam, trauma, hasutan, atau salah faham? Tidak pun ada masalah mental?

(more…)

Realiti Alternatif

Jun 18, 2007

Pernahkah anda terfikir apa akan terjadi sekiranya sejarah dunia ini berbeza? Bagaimana sekiranya Jepun tidak pernah kalah dalam perang?

Lebih mudah, fikirkan sejarah hidup anda sendiri. Apa akan berlaku sekiranya anda pergi ke sekolah yang berbeza? Mempunyai pekerjaan yang berbeza?

Bagi setiap kemungkinan yang berbeza maka terhasil realiti atau dunia yang berbeza. Realiti atau dunia yang berbeza itu dipanggil ‘alernate reality’ atau realiti alternatif. Ini merupakan salah satu tema dalam fiksyen sains.

913_cap01.jpg

Samantha Carter realiti asal (baju hijau) dan Samantha Carter dari realiti alternatif (baju hitam)

‘Scene’ di atas adalah daripada episod ‘Ripple Effect’ dalam siri Stargate SG-1. Dalam episod ini watak-watak utama siri ini berhadapan dengan diri mereka daripada pelbagai realiti alternatif.

(more…)

Mari Kaji ‘Scene’ Ini

Jun 15, 2007

cats.jpg

Ini adalah ‘scene’ daripada filem animasi ‘The Cat Returns’ keluaran Studio Ghibli. Filem animasi adalah lanjutan daripada salah satu episod dalam filem animasi ‘Whisper of the Heart’.

Filem animasi ‘The Cat Returns’ mengisahkan seorang pelajar perempuan yang menyelamatkan seekor kucing daripada dilanggar. Rupa-rupanya kucing yang diselamatkan itu adalah Putera Negara Kucing dan pelajar itu dijemput ke Negara Kucing sebagai tanda terima kasih.

Seingat saya, ini adalah filem animasi yang memuatkan sebegitu banyak kucing dalam satu ‘scene’. Sebanyak kucing yang dibela Pn. Ainon agaknya. 🙂

Mari kita perhatikan elemen-elemen dalam ‘scene’ ini. Latar belakang nampak seperti kawasan kejiranan yang tipikal di Jepun. Tidak banyak beza pun dengan animasi-animasi Jepun lain seperti Doraemon dan Shin Chan.
lamp.jpg

Ini adalah lampu ‘cat’s eye’, lampu sebegini memang wujud dalam kisah-kisah rakyat Jepun.

officar.jpg

Kucing ini pula adalah pegawai kanan Raja Kucing. Pakaiannya sama seperti seperti pegawai-pegawai semasa zaman feudal Jepun dahulu.

ss-cat.jpg

Elemen Barat pula muncul pada kucing ini. Gayanya seperti ejen-ejen ‘Secret Service’ yang melindungi Presiden US sahaja. Sebelum ‘scene’ ini, kucing ini tugasnya adalah menyepak terajang kucing-kucing lain yang mengganggu perarakan Raja Kucing.

Ternyata ‘scene’ ini adalah gabungan yang baik antara yang baru dan lama, timur dan barat.  Ada unsur sejarah dan kisah rakyat, tetapi tidak pula terlalu kuno sehingga generasi muda tidak dapat ‘connect’ pula dengan ‘scene’ ini.

Surat Kepada Sifu: Bagaimana Strategi Disney Masuk Pasaran India

Jun 12, 2007

Assalamualaikum, Pn. Sifu.

Moga dalam keadaan sihat sejahtera dan bisnes juga bertambah makmur.

Ayat-ayat seperti di atas sudah menjadi budaya mentee-mentee Puan. Bila kami saling berhubung ayat-ayat pemula sebegini menjadi motivasi juga!

Saya hendak kongsikan sesuatu yang saya baca dari Wall Street Journal edisi semalam. Terdapat satu artikel khas tentang bagaimana Disney hendak memasuki pasaran di India. Saya fikir ia sangat relevan dengan bisnes Puan.

Disney selama ini cuma mengasak pasaran India dengan produk-produk dari Barat tetapi kurang berjaya. Terlalu mahal, tidak diminati.

Masalah utama ialah masyarakat tidak dapat ‘connect’ dengan produk-produk Disney. Mungkin mereka belajar perkara ini daripada pengalaman mereka di China di mana pengunjung-pengunjung Disneyland Hong Kong tidak dapat ‘connect’ dengan watak-watak dan cerita di situ.

Kini, Disney akan bekerjasama dengan Yash Raj Films – produser filem-filem hit Bollywood itu.

Mereka mula mengadaptasi filem-filem Disney untuk disesuaikan dengan citarasa India. Contohnya ‘High School Musical’ versi US memaparkan sebuah pasukan bola keranjang. Versi Hindi akan ditukar kepada pasukan kriket. Ada logiknya kerana kriket adalah obsesi nasional di sana.

Merchandise juga diubah mengikut keperluan masyarakat India. Oleh kerana masyarakat kelas menengah semakin membesar dan mementingkan pendidikan maka mereka memilih untuk menjual alat-alat keperluan sekolah dahulu.

Beg sekolah di India adalah lebih besar dari versi US kerana sekolah India tiada locker, dan mereka menjual thermos sebagai ganti botol air biasa kerana banyak sekolah India tiada water cooler.

Disney juga memulakan produksi rancangan tempatan seperti “Dhoom Machaao Dhoom” iaitu kisah seorang remaja yang menemui kembali identiti India-nya selepas tinggal di Amerika. Juga ada siri “Vicky & Veetal” – kisah seorang budak dengan hantu baik. Di sini mereka mengambil kesempatan atas minat masyarakat terhadap perkara-perkara supernatural.

Reformulasi Disney Channel India juga telah berlaku di mana mereka telah meletakkan 20%-40% kandungan tempatan. Tema baru juga telah dicipta iaitu “percaya diri, ekspresi diri, raikan keluarga anda”.

Mereka juga telah mencipta genre “aspirational storytelling” – khusus untuk generasi baru yang mempunyai cita-cita yang lebih luas daripada ibu bapa mereka. Ini adalah genre yang sedang diusahakan PTS – maka mungkin PTS boleh eksport cerita-cerita ke India tidak lama lagi.

Sasaran Disney ialah pasaran luar US akan menyumbang 50% peratus perolehannya dalam masa terdekat ini. Mereka percaya kepada kuasa Asia maka tiada sebab mengapa kita tidak begitu. Saya juga perlu memastikan ‘feel’ Asia dalam projek novel itu kuat.

Oh ya, kalau hendak baca artikel penuh WSJ secara online Puan perlu bayar langganannya. Saya dapat baca pun sebab ada complimentary copy dari hotel yang mak saya bawa balik.

Saya memang suka baca WSJ, Newsweek, Times, Edge dan berita-berita ekonomi. Lepas itu, saya berangan-angan jadi owner syarikat-syarikat yang dipaparkan dalam itu! Haha.

Wassalam.

Muhammad Firdaus bin Ariff
Projek Trilogi Kristal

Mahu Ulasan Buku?

Jun 11, 2007

tekad.jpg

Melalui komen yang ditinggalkan di blog saya ketemu sebuah blog yang memuatkan ulasan buku-buku tempatan. Ulasan-ulasan yang ditulis oleh Saudara mxypltk (bagaimana menyebutnya ya?) adalah segar, objektif dan kritis – namun tetap seimbang. Tiada tahniah-tahniah kosong, semuanya dihuraikan baik buruk buku-buku itu dalam ulasannya yang ringkas dan padat.

Lawatilah http://ulasbuku.blogspot.com/