Archive for Ogos 2007

Umur Watak: Statik VS Dinamik

Ogos 29, 2007

Apabila menghasilkan karya bersiri pengarang perlu menentukan tempoh masa yang diambil dan perkembangan umur watak-watak. Terdapat siri di mana watak-wataknya kekal pada umur yang sama dan ada pula siri yang wataknya meningkat umurnya siri demi siri.

250px-drmn_01.jpg

Watak Nobita dalam siri Doraemon kekal pada darjah empat pada keseluruhan 1,344 episod asal. Siri novel kanak-kanak lelaki Alex Rider pula kekal pada umur 14 tahun. Siri Harry Potter pula menunjukkan pertambahan umur siri demi siri, begitu juga dengan Star Wars. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

Pendekatan umur watak yang statik nampaknya lebih popular di kalangan siri animasi kanak-kanak.  Teknik ini membolehkan begitu banyak siri dihasilkan tanpa mempedulikan kepada perkembangan watak sangat. Episod-episodnya boleh berdiri sendiri tanpa bergantung kepada episod-episod sebelumnya.

anakin_syndrome_wide.jpg

Namun begitu, siri yang menggunakan teknik ini selalunya tidak diadaptasi menjadi siri filem. Masakan tidak, umur pelakon akan bertambah tetapi umur wataknya kekal begitu. Lebih-lebih lagi kalau watak itu adalah kanak-kanak atau remaja. Namun begitu, novel pertama Alex Rider telah diadaptasi menjadi filem. Saya ternanti-nanti bagaimana mereka menguruskannya untuk novel kedua pula.

Dalam siri-siri membenarkan umur wataknya bertambah pembaca dapat melihat watak-watak itu membesar dan semakin matang. Adaptasi filem Harry Potter adalah contoh baik dalam perkara ini. Kita dapat melihat bagaimana pelakon-pelakon yang membawa watak itu membesar seiring dengan cerita tersebut.

Harry Potter bernasib baik kerana mendapat sambutan hangat dan dapat difilemkan tahun demi tahun. Bagaimana pula kalau terhenti di tengah jalan? Jika ditinggalkan terlalu lama tentunya perlu mencari pelakon lain pula. Star Wars Episod I-III mengelakkan masalah ini dengan melakukan lompatan umur yang signifikan antara Episod I dan II. Antara Episod II dan III pula umur wataknya sudah agak stabil dan tidak sukar bagi pelakon yang sama mengambil wataknya.

Star Wars Episod IV-VI pula meletakkan umur wataknya di mana sesorang itu tidak akan banyak membesar lagi. Oleh itu, tidak sukar untuk menggunakan pelakon yang sama walaupun sela masa antaranya adalah agak jauh. Solekan sudah cukup untuk memberi kesan umur yang diperlukan.

Advertisements

Tidak Dapat Buka UNIKA?

Ogos 27, 2007

Saya dapati ramai rakan-rakan penulis mengomel kerana tidak dapat membuka laman web Universiti Terbuka PTS daripada tempat belajar atau tempat bekerja mereka. Di UIAM, memang sahih tidak dapat akses. Jangan gusar, masih ada cara untuk membaca entri-entri terkini daripada Sifu.

Masuk ke laman web http://reader.google.com, masuk dengan ID Google jika sudah ada atau buat ID yang baru. Kemudian, klik Add Subscription di sebelah kiri. Masukkan alamat http://www.universitipts.com/?feed=rss2 dan semua entri-entri terbaru akan ditarik masuk ke dalam aplikasi web ini. Untuk membaca komen-komen pula, masukkan alamat http://universitipts.com/?feed=comments-rss2. Chatbox UNIKA pula boleh diakse di alamat http://cbox.ws/?i=846002.

Rujukan Istilah

Ogos 24, 2007

kamus.jpg

Apabila menulis karya-karya fiksyen sains, adalah penting untuk menggunakan istilah yang tepat. Seboleh-bolehnya menggunakan terjemahan rasmi bagi sesuatu istilah. Rujuk di  http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_nb_carian_kata_istilah.aspx .

Menyampaikan Backstory IV

Ogos 15, 2007

250px-desmond_llewelyn_01.jpgSelalunya dalam karya-karya fantasi dan fiksyen sains ada alat ajaib yang digunakan oleh watak-wataknya. Ia mungkin senjata, sihir, kenderaan dan sebagainya. Menyampaikan bagaimana alat-alat ini berfungsi adalah penting dalam menguatkan sesuatu karya fantasi dan fiksyen sains. Penggunaan alat-alat ini berkait rapat dengan peraturan dalam dunia yang dicipta.

Cara pertama, sampaikan secara terus bagaimana hendak menggunakan alat-alat tersebut. Watak Q dalam filem-filem James Bond selalu memainkan peranan ini. Q akan menerangkan apakah alat-alat tersebut dan bagaimana menggunakannya. Tidak kiralah sama ada jam tangan laser, kereta yang boleh menyelam, atau pistol baru.

Dalam al-Quran, Allah s.w.t menerangkan secara jelas kepada Nabi Musa a.s bagaimana menggunakan mukjizat-muzkijat yang dianungerahkan kepadanya. Contohnya seperti berikut:

i) Campak tongkat untuk menukarnya menjadi ular (20:70)
ii) Masukkan tangan melalui belahan dada baju untuk tangan yang putih bersinar-sinar. (27:12)
iii) Memukul laut untuk membelahnya menjadi dua (26:63)

Bersambung…

Nota: Blog ini boleh diakses melalui alamat alternatif http://studio.ibnuariff.com .

Menyampaikan Backstory III

Ogos 10, 2007

300px-brockhaus_lexikon.jpg

Backstory teknikal juga berkait rapat dengan backstory watak. Kena caranya, penulis dapat membangunkan kedua-dua aspek backstory ini sekaligus. Persoalan timbul sama ada hendak menggunakan naratif atau dialog untuk menyampaikan backstory teknikal.

Penggunaan dialog akan dapat membangunkan backstory watak kerana dapat menunjukkan tahap kepakaran sesuatu watak itu dalam aspek teknikal. Si penjawab akan nampak kredibilitnya, yang bertanya pula nampak masih belajar dalam sesuatu bidang itu. Cara ini juga dapat menunjukkan perbezaan kepakaran antara watak.

Sebaiknya, backstory teknikal yang disampaikan melalui dialog adalah perkara yang berkaitan dengan watak dan jalan cerita. Misalnya kapal atau senjata yang digunakan. Membebel tidak tentu hala perkara teknikal yang tidak berkaitan akan membosankan pembaca. Lainlah kalau perkara itu adalah ‘persediaan’ untuk episod atau siri akan datang.

Kadang-kala, penulis mungkin merasakan sesuatu perkara itu tidak wajar ditanya oleh watak utama. Contoh keadaan ini adalah apabila watak utama adalah sekumpulan askar elit misalnya, mana mungkin mereka saling bertanya tentang perkara-perkara yang asas. Namun, maklumat asas itu penting bagi pembaca.

Dalam keadaan sebegini, ‘audience surrogate’ memainkan peranan. Cipta sahaja satu watak orang kebanyakan seperti kanak-kanak atau orang luar untuk bertanya bagi pihak pembaca.

Hmm, teringat kisah Jibrail a.s bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w!

Pasaran Produk Agama

Ogos 8, 2007

potter190.jpgFenomena Harry Potter yang meletup-letup yang melanda dunia telah membuka mata generasi digital untuk membaca buku dan menggunakan imaginasi mereka. Namun begitu, ada juga pihak yang kurang senang dengan pengaruh Harry Potter seperti gereja-gereja. Sebab yang biasa diberikan adalah penggunaan sihir dan ilmu hitam walaupun mendapat sokongan Vatican.

Di Amerika, fantasi fiksyen Kristian berkembang pesat untuk ‘melawan’ pengaruh Harry Potter. Pasaran buku agama di US menokok 5.6% pada tahun 2006. Data juga menunjukkan pembeli buku Kristian membelanjakan 50% lebih tinggi berbanding pembeli buku Amerika yang biasa.

Secara keseluruhan, pasaran produk Kristian berkembang USD4 billion kepada USD4.63 billion pada tahun lepas. Walmart juga telah mula memasarkan figura aksi ‘berasaskan Bible’ untuk bertanding dengan figura aksi Transformers dan Spiderman.

Apa pula relevannya dengan kita di sini? Tentunya bukan untuk meluaskan pasaran produk Kristian di Malaysia ini. Kita ambil isi trend ini, adakah relevan dengan pasaran produk Islami yang ada di Malaysia? Mungkinkah fiksyen fantasi Islami akan mendapat tempat di hati masyarakat?

“Fiksyen fantasi PTS adalah pro-tauhid, pro-ilmu dan pro-sains!”

Rujukan Data: BBC

Menyampaikan Backstory II

Ogos 6, 2007

180px-unbalanced_scalessvg.pngKali ini, kita sama-sama lihat bagaimana hendak menyampaikan backstory teknikal pula. Backstory teknikal adalah relevan dan penting bagi kedua-dua genre sains fiksyen dan fantasi. Dengan mengambil pandangan bahawa dunia fantasi dan fiksyen sains itu sebagai watak, backstory teknikal adalah ruang untuk memperkenalkan watak dunia ini.

Unit Ukuran

Untuk menggambarkan saiz dan keupayaan gunakan ukuran serta bandingan. Mungkin hanya satu kapal perlu dijelaskan ukurannya, kapal-kapal lain sekadar dibandingkan dengan kapal yang pertama tadi.

Tentang unit ukuran pula, dalam fiksyen sains boleh menggunakan ukuran piawai yang sedia ada. Unit rekaan juga boleh dicipta jika bersesuaian – terutamanya bagi cabang sains yang baru atau rekaan. Mungkin ada yang mahu mencipta unit untuk keupayaan teleportasi misalnya.

Bagi karya fantasi pula, gunakan unit yang membandingkan dengan anggota badan manusia seperti jengkal, hasta, dan langkah. Untuk menggambarkan kekuatan pula bandingkan dengan kekuatan manusia dan haiwan – segagah sepuluh manusia atau sekuat 10 ekor gajah misalnya. Boleh sahaja mencipta unit rekaan tetapi tetapkan tukarannya dan skalanya.

Bersambung…

Menyampaikan Backstory I

Ogos 2, 2007

Salah satu perkara yang dibincangkan dalam bengkel sai-fai Sabtu lalu ialah bagaimana menyampaikan backstory kepada pembaca. Backstory yang kukuh akan mendokong karya tetapi janggal pula bagi penulis hendak ‘berceramah’ panjang lebar tentang sesuatu backstory.

200px-picsony2006-15.jpg

Di sini ada beberapa cadangan untuk menyampaikan backstory. Pertama boleh digunakan teknik ‘umpatan’ – yakni dua atau lebih karakter bercerita tentang watak yang lain. Mungkin boleh bercerita tentang rakan atau musuhnya. Masuk akal bukan? Sudah menjadi kebiasaan kita mendengar seseorang bercerita tentang orang lain.

Kedua, melalui interkasi watak. Hubungan antara dua watak dapat ditunjukkan melalui cara mereka berinteraksi. Contohnya, sekiranya dua watak ini asyik menyakat antara satu sama lain akan menunjukkan mereka mempunyai hubungan yang rapat. Cara sesuatu watak itu menggelar watak yang lain juga dapat memberi kesan yang sama. Misalnya, gelaran tuan menunjukkan pangkat yang lebih tinggi, sungguhpun tidak dinyatakan pangkat watak itu.

Pengulangan aksi juga boleh digunakan sekiranya tidak mahu menggunakan dialog. Tabiat atau kegemaran sesuatu watak itu dapat ditunjukkan melalui pengulangan aksi. Paling mudah, watak itu asyik mengunyah makanan yang sama menunjukkan dia gemar makanan tersebut. Perkara yang watak itu berulang kali menolak dapat menunjukkan ketakutannya, seperti tidak mahu menaiki tangga yang tinggi. Watak Robert Langdon dalam Da Vinci Code misalnya, akan tergagak-agak untuk memasuki kawasan sempit kerana pernah terjatuh dalam telaga.

Persamaan aksi dan dialog juga dapat menunjukkan backstory serta hubungan antara dua watak. Ambil contoh teknik bermain pedang, teknik yang sama digunakan oleh dua watak yang berbeza dapat memberi maksud mereka belajar dengan guru yang sama. Mengalunkan lagu yang sama pula dapat menunjukkan mereka berasal daripada daerah atau sekolah yang sama.

Entri yang berikutnya, kita akan membincangkan cara menyampaikan backstory teknikal pula.