Archive for September 2007

Formula Hero Jepun II

September 28, 2007

Sambungan dari Formula Hero Jepun:

Ciri 4: Hero Berhati Mulia

Sungguhpun hero-hero Jepun mempunyai kuasa yang hebat, mereka tidak menyalahgunakan kuasa mereka. Mereka menggunakan kuasa mereka untuk menyelamatkan orang ramai, melindungi rakan-rakan mereka. Hingga berhadapan dengan musuh sekali pun mereka masih mempunyai rasa belas kasihan.

250px-dragonballz-episode287_188.jpg

Monkey D. Luffy dalam siri One Piece tidak pernah membunuh musuhnya walaupun penjahat itu begitu kejam dan telah membunuh begitu ramai orang. Perkara ini menyebabkan adakalanya musuh lamanya muncul semula. Begitu juga dengan Son Goku dalam siri Dragon Ball, dia selalunya hanya menewaskan musuhnya dan tidak membunuh mereka. Ada juga yang kemudiannya menjadi rakannya seperti Pikor & Bezita.

Ciri 5: Hero & Heroin Kenal Sejak Kecil

dlv-f1588_1.jpg

Dua watak detektif Jepun, Hajime Kindaichi (Penyiasat Remaja) dan Shinichi Kudo (Detektif Conan) mengenali heroin mereka iaitu Miyuki Nanase dan Ran Mouri sejak dari kecil lagi. Tugas heroin juga lebih kurang, membebel kepada hero dan mengingatkan mereka agar tidak terburu-buru melakukan sesuatu. Kisah cinta mereka juga agak sama, walaupun pada mulanya mereka tidak mengakui ada sebarang perasaan, perhubungan mereka berubah daripada rakan biasa mereka menjadi pasangan kekasih. Shun Ukiya dan Ruriko Isukawa dalam Gate Keepers juga membawa kisah yang sama. Son Goku juga mengenali Chichi sejak dari kecil, tetapi kisah perhubungan mereka agak berbeza.

Ciri 6: Hero Kuat Makan

230px-monkey_d_luffy.png

Ciri ini ada pada Naruto, Monkey D. Luffy dan Son Goku. Setelah menggunakan begitu banyak tenaga untuk berlawan, mereka makan dengan jumlah yang banyak untuk memulihkan tenaga mereka. Hero yang tidak berlawan secara fizikal juga kuat makan seperti Hajime Kindaichi dalam siri Penyiasat Remaja. Tidak tahulah mengapa ciri ini diadakan, mungkin sebagai efek komikal semata-mata atau mungkin juga untuk memperkenalkan makanan-makanan Jepun.

Baik, mari kita senaraikan hero-hero Jepun dan ciri-ciri yang mereka ada:

Son Goku – 1, 2 (ambil kira Bulma sebagai heroin), 3, 4, 5, 6.

Naruto – 1, 2, 3, 4, 5, & 6.

Monkey D. Luffy – 1, 3, 4, & 6.

Advertisements

Dua Surat

September 25, 2007

Hari ini, saya terima dua surat. Terkejut juga melihat ada dua surat serentak tiba untuk saya. Selalunya peti surat penuh dengan surat-surat iklan sahaja, lebih-lebih lagi dengan pelbagai tawaran ‘istimewa’ sempena Hari Raya. Tidakpun, surat-surat dari bank yang menagih hutang dari penyewa terdahulu.

Two Letters Today

Sampul surat putih berlogo daun lontar adalah daripada DBP. Alhamdulillah, saya telah terima cek pertama saya sebagai seorang penulis. Cek adalah sebagai honorarium untuk cerpen Komando 2069. Terbayarlah kos membeli buku Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas karya Zamri Mohamad , memang berbaloi! Hari ini juga dapat duit untuk kerja membaiki komputer beberapa minggu lalu – kaya sekejap rasanya.

Lihat kalendar, September hanya berbaki 5 hari. Ini bermakna selepas itu saya boleh menyiarkan Komando 2069 di laman web ini. Nantikan kemunculannya minggu hadapan. Menerima cek ini juga membuatkan saya mengambil keputusan untuk menghilangkan iklan di laman ini. Biarlah rezeki menulis yang menaja laman web ini.

Bungkusan warna perang pula adalah novel Napiru kiriman Faizul Kamaruddin. Penulisnya sendiri meminta maklumbalas daripada saya, segan pula kerana novel saya sendiri masih belum siap. Kelayakan saya sekarang bersandar kepada cerpen yang tunggal itulah semata-mata sekarang ini.

Inilah rezeki di bulan Ramadhan! 😀

Formula Hero Jepun

September 23, 2007

Di Jepun, ada begitu banyak siri-siri komik dan animasi diterbitkan saban tahun. Pelbagai topik yang diketengahkan seperti sukan, makhluk asing, angkasa lepas, mecha, drama sekolah hinggalah kepada tukang masak. Namun begitu, siri-siri yang berjaya nampaknya mempunyai formula tertentu.

Formula Hero Jepun ini melihat kepada persamaan antara watak-watak dalam siri-siri anime popular. Tidaklah semua hero mempunyai kesemua ciri yang dinyatakan tetapi cuma berbeza di beberapa ciri. Tidak lupa juga melihat kepada ciri-ciri heroin. Kadang-kala sudah semacam cliche pula! Apa pun, saya percaya ada sesuatu yang kita dapat belajar daripada ‘formula’ mereka ini.

250px-drmn_01.jpg 180px-tajukagebunshinnojutsu.jpg

Ciri 1: Lemah Dalam Bidang Akademik & Pengetahuan

Ciri klasik ini terdapat pada Nobita dari siri Doraemon, selalu sangatlah dia mendapat markah kosong dalam ujian. Watak Naruto juga lemah dalam bidang akademik, sehinggakan dia masih tidak melepasi ujian kelayakan ninja walaupun rakan-rakannya sudah mencapai tahap jurulatih. Hero siri Pokemon, Ash Ketchum juga dipaparkan sebagai lemah dalam beberapa perkara asas yang perlu diketahui oleh pelatih Pokemon seperti jenis serangan apa yang perlu digunakan. Gary, antagonis siri ini dipaparkan sebagai lebih bijak dan mahir dalam mengendalikan Pokemon.

Ciri 2: Heroin Merupakan Seorang Yang Pintar

Untuk mengimbangi kekurangan hero, heroin dijadikan lebih pandai. Watak Sakura dalam siri Naruto selalu menerangkan perkara-perkara teknikal dan memberi tunjuk ajar kepada Naruto. Perkara asas seperti mengawal ‘chakra’ sekalipun heroin ini terangkan. Begitu juga dengan Misty dalam siri Pokemon yang selalu meleter kepada Ash Ketchum.

Boleh dikatakan ciri ini seperti sengaja dibuat oleh pencipta siri sebagai ‘plot dump’ untuk menerangkan tentang dunia serta backstory siri tersebut. Menurut J.K Rowling, kepintaran watak Hermione Granger juga membolehkan dia digunakan untuk menerangkan tentang dunia Harry Potter kepada pembaca dan penonton.

Ciri 3: Hero Bertindak Mengikut Naluri, Bakat & Kuasa Terpendam

Nobita memang seorang yang pengalah, namun apabila dia menjadi hero dia menggunakan bakatnya yang luar biasa terutamanya dalam bidang menembak. Dia tidak mendapat latihan formal dalam perkara ini namun kemahirannya setaraf dengan para penembak tepat.

Naruto pula mempunyai kuasa terpendam yang besar dalam dirinya sehingga mampu melakukan teknik-teknik yang setaraf dengan ninja-ninja agung seperti memanggil Gamabunta & teknik Taaji Kage Bunshin No Jutsu. Watak Kurosaki Ichigo dalam siri Bleach juga mempunyai ciri yang sama, tenaga yang besar dan teknik-teknik yang setaraf dengan ketua-ketua shinigami.

Nanti saya sambung lagi dalam entri akan datang! 🙂

Ibadah di Angkasa Lepas

September 10, 2007

250px-kistler-cots.jpgTentu ramai yang tertanya-tanya, bagaimana umat Islam dapat menunaikan ibadah di angkasa lepas. Menunaikan solat sahaja sudah menimbulkan persoalan qiblat, apatah lagi tentang hal puasa. Stesen angkasa lepas seperti ISS misalnya mengelilingi bumi beberapa kali sehari.

Namun, sebagai persediaan untuk menghantar angkasawan Malaysia yang pertama pihak JAKIM telah mengeluarkan satu garis panduan ibadah. Panduan ini adalah hasil daripada Seminar Islam Dan Kehidupan Di Angkasa telah dianjurkan oleh Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 25-26 April 2006.

Mengangkat Hadas Kecil
Mengangkat hadas kecil adalah dengan bertayammum secara menepuk ISS seperti dinding, cermin dan sebagainya (walaupun tiada debu)

Lima waktu solat dalam tempoh 24 jam (1 hari di bumi) menggunapakai waktu solat tempat berlepas angkasawan.

i. Puasa boleh ditunaikan samada di ISS atau di bumi secara qada’ sekiranya melibatkan bulan Ramadhan.
ii. Penentuan waktu puasa adalah menggunapakai waktu puasa tempat berlepas angkasawan.

Baca seterusnya dalam fail ibadahiss.pdf.

Komando 2069: Kargo Rahsia

September 6, 2007

komando2069.jpg

Alhamdulillah, cerpen sulung saya akhirnya tersiar dalam majalah Dewan Kosmik keluaran September. Terima kasih banyak-banyak kepada Timbalan Editor, Tuan Mohd Khairulanuar Manshor kerana memberi peluang kepada saya untuk berkarya. Juga kepada Sifu, Pn. Ainon Mohd kerana memberi tunjuk ajar dalam penulisan. Juga dedikasi khas buat Pn. Sri Diah kerana ‘mengapungkan’ minat menulis saya selepas SPM sehinggalah dapat berguru dengan Sifu PTS pula.

Rentetan bengkel konten mobile tempoh hari, saya telah menghantar cerpen ini kepada Tuan Syaizul di Meta Dome. Syukur, beliau menerimanya dan saya cuma perlu memanjangkannya kepada daripada 12,264 aksara kepada 40,000 aksara. Cerpen ini akan diadaptasi menjadi FonNovela pula. Inilah kali pertama saya cuba praktikkan kata-kata Sifu – “Tulis sekali, makan berkali-kali!”.

Sebagai menghormati hak penerbitan yang ada pada Dewan Kosmik, FonNovela itu perlu menunggu sehingga bulan Oktober sebelum dapat diterbitkan. Sungguhpun derived works tidak tertakluk kepada hak penerbitan tersebut, namun etika penulis dengan penerbit tidak memungkinkan karya yang sama diterbitkan dalam dua medium pada masa yang sama. Etika yang sama juga menidakkan saya untuk menyiarkan teks asal cerpen itu di sebarang laman web dalam bulan ini.

Jadi, jika hendak baca cerpen ini belilah Dewan Kosmik! 😀

Sai-Fai dan Cinta: Voices of a Distant Star

September 5, 2007

vlcsnap-35958.png

Mikako (berdiri) dan Noboru

Sai-Fai dan cinta? Berapa banyak karya sai-fai yang mempunyai cinta sebagai tema utama? Siri Stargate sudah tentunya terkeluar, lebih kepada ekspedisi militer dan saintifik sahaja. Star Trek pun tidak jauh berbeza.

Star Wars pula mengambil pertembungan baik lawan jahat sebagai tema teras, namun masih mempunyai cinta sebagai tema sampingan. Cinta terlarang Anakin SKywalker & Padme Amidala, ‘cinta tiga segi’ antara Luke Skywalker, Leia Organa & Hans Solo.

Setakat ini, hanya satu karya sai-fai yang mantap menyampaikan tema cinta dan perhubungan sebagai tema utama. Voices of a Distant Star karya Makoto Shinkai mengisahkan perhubungan jarak jauh antara Mikako dan Noburu. Mereka terpisah kerana Mikako ditugaskan menjadi jurupandu mecha Tentera Angkasa United Nations.

vlcsnap-33601.png

Dalam filem pendek, elemen-elemen fiksyen sains seperti hyperspace dan pengembaraan angkasa digunakan untuk menegaskan bagaimana terpisahnya Mikako dan Noboru. Hanya emel melalui telefon bimbit menjadi penghubung antara mereka berdua.

Sungguhpun begitu, wacana sains tidak dikesampingkan. Filem ini memaparkan bagaimana faktor jarak di angkasa lepas akan mempengaruhi telekomunikasi. Evolusi manusia turut dibincangkan dalam filem ini dalam konteks bagaimana serangan daripada makhluk asing memacu evolusi manusia. Semacam ada tempias Ender’s Game karya Orson Scott Card juga.

Dalam masa tayangan 24 minit sahaja, Makoto Shinkai berjaya menyampaikan cerita yang menarik dan wacana yang bermakna. Beliau dianugerahkan The Highest Award (Public Offering Category) di Tokyo International Animation Fair 2002. Lebih mengagumkan lagi, keseluruhan proses penciptaan filem ini dibuat sendiri oleh Makoto Shinkai menggunakan komputer Macintosh beliau sahaja! Lakonan suara pula disumbangkan oleh beliau sendiri dan tunangnya (kini isterinya) manakala rakannya Tenmon menyumbangkan muzik.

Tabik spring!

Jangan Keliru!

September 4, 2007

 imej.jpg alif_firdaus.jpg

[Dari Kiri] Firdaus Ariff, Alif Firdaus 

Setelah beberapa siri bengkel masih ada yang keliru antara saya dengan Saudara Alif Firdaus Azis. Hatta yang jumpa berturut minggu pun terkeliru juga. Jangan marah ya, Encik Sunthara!  Saya percaya, ada yang tidak pernah datang ke bengkel menganggap kami orang yang sama.

Baik, saya adalah Muhammad Firdaus bin Ariff. Pelajar tahun 2 jurusan Sains Komputer di UIAM. Saya terlibat dalam projek novel Sains Fiksyen dan Fantasi. Novel pertama saya masih dalam proses penulisan. Editor projek ini adalah Saudara Mat Jan dari PTS Fortuna.

Saudara Alif Firdaus Azis pula adalah editor di PTS ONE. Karya-karya beliau adalah Untuk Shampoo, Rahsia Firdaus, Bergaduh & Menari serta Orang Kuat. Beliau memang sepenuh masa terlibat dalam bidang penulisan dan penerbitan.

Seperkara lagi, saya tidak mempunyai sebarang abang kerana saya adalah anak sulung!

Spin-Off Yang Bittersweet

September 3, 2007

Notis Spoiler: Para peminat novel bersiri Lentera Mustika karya Nisah Haron yang tidak pernah membaca novel Mencari Locus Standi diharap jangan baca entri ini!

aniqah-aug1.gifHayat sesuatu karya dapat dipanjangkan melalui penulisan spin-off daripada karya asal. Penulisan spin-off dapat mengembangkan watak dalam karya asal dan menyampaikan backstory secara lebih terperinci. Contohnya, Pn. Nisah Haron menulis novel bersiri Lentera Mustika dalam Majalah Aniqah sebagai spin-off kepada Novel Mencari Locus Standi. Oleh kerana kisah-kisah dalam novel bersiri itu adalah sebelum MLS, ia boleh dianggap sebagai bahan backstory.

Saya hanya berkesempatan membaca beberapa siri LM. Segan rasanya hendak membeli majalah Aniqah dan disimpan di rumah bujang. Namun begitu, saya memang tertarik dengan cerita yang dibawakan dalam novel bersiri tersebut.

Kisahnya memang indah dan manis sekali, berbeza dengan kisah-kisah cinta yang biasa dibawa dalam novel-novel popular kini. Pembaca tentunya akan seronok membaca kisah bagaimana Prof. Mustika dan Emir Johan boleh bercinta. Pembaca MLS tentunya ingin tahu bagaimana kisah cinta mereka ini membawa kepada keluarga yang bahagia.

(more…)

Bagaimana Ke Bengkel PTS?

September 1, 2007

Ramai yang bertanya, di manakah sebenarnya lokasi bengkel PTS? Pertama, sila rujuk peta di bawah.


Klik pada peta di atas untuk versi lebih besar.

Untuk lebih jelas, boleh rujuk gambar di bawah:

Bengkel diadakan di atas Klinik Pergigian Nooriah.

Bas yang boleh dinaiki dari Stesen LRT Wangsa Maju.

Selamat menghadiri bengkel!

Sekitar Majlis Pelancaran Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah

September 1, 2007

Semalam, bertempat di Centre Court, Alamanda Putra Jaya telah diadakan Majlis Pelancaran buku Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah yang ditulis oleh Dato’ Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah & Tn. Hj. Ahmad Fadzli Yusof. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Hj. Othman B. Desa, Setiausaha Politik Kepada Y.A.B Perdana Menteri.

Sila lihat gambar selebihnya dalam galeri.