Archive for Oktober 2007

Hero Perang Dingin Yang Tidak Dikenali

Oktober 31, 2007

petrov3.jpgPerang Dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union satu ketika dahulu hampir-hampir sahaja mencetuskan perang nuklear berskala besar. Krisis Cuba dianggap peristiwa yang paling hampir membawa kepada perang nuklear.

Pada 26 September 1983, Lt. Col. Stanislav Petrov sedang mengendalikan markas sistem satelit amaran awal yang terletak di satu lokasi bawah tanah tidak jauh dari Moscow. Tiba-tiba, skrin pemantauan menunjukkan bahawa lima peluru berpandu nuklear sedang menuju ke arah Soviet Union.

Arahan kerjanya adalah untuk melancarkan peluru berpandu nuklear sebagai balasan terhadap Amerika Syarikat. Namun begitu, dia tidak tergesa-gesa membuat keputusan. Sunggupun insiden sebuah pesawat Korea Selatan ditembak jatuh di ruang udara Soviet dan latihan tentera NATO baru berlaku, Lt. Col. Stanislav Petrov tetap tenang.

Dia berfikir kembali, jikalau Amerika Syarikat hendak menyerang Soviet Union tentunya jumlah peluru berpandu yang dilancarkan adalah lebih besar. Bertindak atas intuisi, Lt. Col. Stanislav Petrov melaporkan insiden tersebut sebagai amaran palsu.

Telahan beliau tepat, objek yang dikesan oleh sistem satelit mereka hanyalah pantulan cahaya matahari di atas awan. Dengan itu, beliau telah berjaya mengelakkan sebuah perang dunia dengan hanya tidak menekan butang pelancaran peluru berpandu dan menulis sebuah laporan.

Apa signifikannya kepada penulisan fiksyen sains? Insiden sebegini boleh menjadi ‘turning point’ untuk mencipta realiti alternatif. Contohnya, siri game Red Alert berlatarkan Perang Dingin yang berukar menjadi Perang Nuklear Dunia. Begitu juga dengan siri anime Full Metal Panic.

Sumber: Washington Post

Nota: Cerpen Gapura Dimensi sudah disiarkan di laman ini.

Alhamdulillah

Oktober 26, 2007

Alhamdulillah, setelah 5 bulan menulis akhirnya novel sulung berjaya disiapkan dan teks penuh telah diserahkan kepada Saudara Mat Jan, editor PTS Fortuna. Sebenarnya, saya telah lewat dua bulan daripada tarikh akhir asal iaitu pada 31 Ogos.

Secara peribadi, ini adalah satu catatan yang agak membanggakan. Percubaan pertama saya semasa di sekolah menengah mengambil masa lima tahun untuk sampai ke setengah jalan lalu terbengkalai. Akhirnya, konsep dalam novel itu digarap untuk menghasilkan cerpen Komando 2069.

Sejujurnya, saya melompat-lompat dalam bilik dalam sebaik sahaja melengkapkan novel sulung ini. Rasa bagai terlepas daripada satu bebanan yang besar. Mana tidaknya, saya berjaya mengotakan janji kepada Sifu. Juga menjustifikasikan pembelian telefon baru. 🙂

Saya menggunakan sepenuhnya teknik KJ Method untuk menulis tanpa mengikut urutan. Saya banyak menulis bab-bab di bahagian tengah. Semalam dan hari ini barulah ditulis bab permulaan serta penutup.

Selepas ini, apa pula? Minggu hadapan bermula peperiksaan akhir semester. Projek penulisan yang sudah pasti selepas itu adalah mengedit satu buku untuk rakan saya. Juga terdapat beberapa buah kertas cadangan buku yang lain, mungkin saya akan pilih satu atau dua untuk mula menulis semasa cuti.

Salam Lebaran

Oktober 9, 2007

Saya mengucapakan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung dan rakan-rakan penulis. Moga perayaan anda penuh bermakna dan dirahamati oleh Tuhan. Juga didoakan agar perjalanan kita semua selamat. Pandu cermat!

Rehat Sebentar

Oktober 5, 2007

Serene Raya Entertainers

Menulis membuatkan saya berada di hadapan komputer berjam-jam lamanya, tambahan pula saya pelajar jurusan Sains Komputer. Oleh itu, sekali-sekala perlu juga merehatkan mata dan meregangkan badan. Fotografi menjadi pilihan saya, ia memberi saya satu perspektif berbeza dalam melihat dunia. Perspektif berbeza inilah ada di antaranya akan dibawa ke dalam penulisan saya. Semalam, KLCC menjadi tujuan saya untuk berlatih fotografi malam!

Silakanlah melawat blog foto saya.

Nota: Esok saya ke Shah Alam bersama kumpulan Madani.

Gapura Dimensi

Oktober 3, 2007

gapura_dimensi2.jpg

Alhamdulillah, cerpen fiksyen sains yang kedua pula menyusul dalam Dewan Kosmik keluaran Oktober. Apa itu gapura? Bukan garpu tetapi bermaksud gerbang. Istilah ini saya dapat semasa bengkel sai-fai PTS yang pertama. Disuarakan oleh Saudara Panaharjuna tak silap saya.

Ilustrasi cerpen ini memang saya cam sangat-sangat kerana siri Stargate memang kegemaran saya! Namun, cerpen ini tidaklah menciplak konsep siri tersebut. Malah, teknik penghasilan gerbang juga berbeza. Stargate adalah gerbang antara planet, cerpen ini pula adalah tentang gerbang antara dimensi.  Teorinya saya dasarkan dari hipotesis seoarang saintis ternama.

Dapatkanlah Dewan Kosmik keluaran Oktober! 😀

Komando 2069 Beraksi!

Oktober 1, 2007

komando2069.jpg

Seperti yang dijanjikan, cerpen Komando 2069 tiba untuk tatapan anda di laman web ini. Klik di sini untuk membaca teks penuh cerpen ini. Juga boleh download versi e-buku dalam format PDF -> komando-2069.pdf. Respon dan kritikan daripada para pembaca amat saya hargai!