Archive for Disember 2007

Anugerah

Disember 31, 2007

2145412209_8b46b3e83d_s.jpgTanpa disangka-sangka, blog ini telah memenangi anugerah Blog Baru Terbaik 2007 dari Geng Jurnal. Malangnya, saya sendiri tidak hadir untuk menerima anugerah dari pihak penganjur. Semasa majlis itu berlangsung, saya dan Syarafuddin ke Bangsar untuk menghadiri program Reading at Seksan.

Komen Tok Rimau:

Blog Baru Terbaik
Studio Inspirasi
Baru lahir sudah pandai baca kitab. Ini memalukan sesetengah veteran blogger. Tapi adakah ia akan istiqamah? Kita tunggu dan lihat tahun hadapan.

Komen Tok Rimau itu saya ambil sebagai dorongan dan cabaran untuk memantapkan lagi diri dalam dunia penulisan. Terima kasih banyak-banyak kepada juri; Tok Rimau & Rudy Bluehikari kerana memilih blog ini. Penghargaan khas buat Pn. Ainon kerana memberi saya idea untuk memulakan blog ini serta rakan-rakan penulis dan pembaca yang menyokong blog ini.

Selamat Tahun Baru!

Advertisements

Inspirasi Dari Quran

Disember 28, 2007

red_pyramid_with_camel_tb_n110400.jpgDalam membuat penyelidikan untuk karya fantasi dan fiksyen sains saya terpanggil untuk melihat kisah-kisah para rasul. Kerana fantasi dan fiksyen sains mempunyai elemen keajaiban maka rujukan yang paling hampir adalah kisah mukjizat para rasul. Antaranya ialah kisah Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Musa a.s. Rujuk Surah Taha (20:9-79) dan Surah an-Naml (27:7-44). Ada beberapa persamaan antara dua kisah ini:

a) Ada unsur pertandingan, kuasa siapa lebih hebat. Dalam kisah Nabi Sulaiman a.s, apabila baginda meminta seseorang supaya membawa takhta Ratu Saba ke istananya Ifrit telah menawarkan untuk membawanya dalam masa yang singkat. Tetapi seorang hamba Allah yang alim pula mampu membawanya dalam sekelip masa.

Tentang Nabi Musa a.s pula, kita lihat kisah Nabi Musa a.s bertanding dengan ahli-ahli sihir. Kuasanya tampak sama, menukar objek menjadi ular. Namun begitu, mukjizat Nabi Musa a.s lebih hebat dan mampu menelan ular-ular yang lain.

b) Sentiasa bersyukur atas kuasa yang diberi. Kita dapat lihat bagaimana Nabi Musa dan Nabi Sulaiman bersyukur atas mukjizat yang diberi.

c) Kedua-duanya putera raja. Nabi Sulaiman a.s mewarisi takhta Nabi Daud a.s, Nabi Musa a.s pula menjadi anak angkat Firaun.

Kemudian, perincian pula tentang mukjizat Nabi Musa. Saya dapati bahawa diceritakan dengan jelas bagaimana mukjizat-mukjizat itu boleh digunakan.

i) Campak tongkat untuk menukarnya menjadi ular (20:70)
ii) Masukkan tangan melalui belahan dada baju untuk tangan yang putih bersinar-sinar. (27:12)
iii) Memukul laut untuk membelahnya menjadi dua (26:63)

Maka, mungkin konsep ini boleh digunakan untuk memperihalkan tentang alat atau senjata dalam karya-karya fantasi dan fiksyen sains.

Juga, digambarkan tentang istana Nabi Sulaiman (27:44) dan Firaun (43:51).

Konten Mobile Islamik

Disember 25, 2007

Sempena Aidil Adha, Flavert Media Lab dengan kerjasama Institusi Usrah MMU Cyberjaya telah menghasilkan e-Majalah untuk telefon bimbit.  Sekiranya telefon bimbit anda mempunyai perisian Flash Lite, maka anda boleh install e-Majalah ni. Untuk keterangan lanjut, sila lawati laman ini. Tahniah kepada Nazri dan Yussamir kerana melakukan usaha murni ini!

Komikoo: Penerang Industri Komik Negara?

Disember 16, 2007

komikoo.jpgBaru-baru ini, ada dua majalah komik muncul dalam pasaran iaitu Powder dan Komikoo. Dengan tagline ‘Bukan Komik Main-main’, Komikoo memang mencuri perhatian. Tagline sedemikian membayangkan ada nilai dalam majalah ini, bukan untuk tujuan komersil semata-mata.

 

Apa yang dimuatkan dalam majalah ini? Ada enam komik panjang 8 halaman dan lima artikel serta beberapa lagi komik satu muka. Harganya pula? RM4 dan tiada sebarang iklan di dalamnya. Dengan mengambil kira kuantiti isi semata-mata, harga yang dikenakan memang berbaloi. Untuk melihat nilai, terus sahaja kepada artikel-artikel yang termuat dalam majalah ini.

 

Persinggahan pertama adalah artikel wawancara dengan Ben, bekas artis di Gempak Starz. Beliau pernah menang Anugerah Manga Antarabangsa dengan karyanya Le Gardenie. Dalam wawancara tersebut Ben menceritakan bagaimana beliau malu kerana tidak memegang hakcipta karyanya sendiri. Ben kebuntuan untuk menjawab apabila ditanya artis-artis luar negara – “Kenapa artis Malaysia tak dapat pegang hakcipta sendiri?”. Dalam hal ini, Komikoo harus dipuji kerana memperjuangkan perkara ini dan menghormati sepenuhnya hakcipta artis komik. Ada artikel di mStar yang menerumah Roy Ablah, Ketua Editor Komikoo tentang hakcipta.

 

Kemudian ke artikel Mencari Archetype Komik Tempatan – yakni mencari identiti dan idea segar komik tempatan. Ubder S. Iskandar mengimbas kembali tentang komik gemilang tempatan oleh karyawan generasi terdahulu seperti Periwira Mata Gila karya Rejabhad dan Mat Som karya Lat. Ubder kemudian mengkritik bahawa ramai karyawan tempatan sekarang terlalu dipengaruhi identiti komik Jepun dan Barat secara bulat-bulat. Beliau menekankan bahawa cerita adalah kekuatan sesuatu komik, bukan ilustrasi yang menarik semata-mata. Katanya, bagaikan gadis blonde yang bimbo – menarik pada awalnya tetapi akhirnya tetap menjemukan.

 

Artikel 12 pula mengutarakan apakah yang perlu dihadapi karyawan komik di Malaysia seperti:

1. Dipandang rendah dari semua aspek

2. Buat cerita humor atau cinta sahaja

3. Terima pembayaran yang murah lagi lambat

4. Lupakan erti hak cipta

5. Hadap segala macam penapisan

 

Penulisnya mengomel tentang penapisan, katanya adegan ganas tidak dibenarkan, adegan seksi pun jauh sekalilah dibenarkan. Fikir sejenak – adakah ini penting untuk mencipta komik beridentiti Malaysia? Le Gardenie karya Ben yang mendapat pengiktirafan antarabangsa adalah kisah cinta, tiada ganas, tiada seksi.

 

kk06-kromdom.jpg  kk07-zafbonkers.jpg

Kerama & Kudeta 

 

Illustrasi dalam Komikoo memang cantik dan mempunyai stail tersendiri. Mahu sahaja dicadangkan kepada editor agar menggunakan khidmat mereka sebagai illustrator projek novel fiksyen sains dan fantasi. Namun, membaca Kerama, Kudeta, Ubermensch, Oh Superheroku dan Hikayat Sebuah Mitos tidak ditemui apakah cerita dan nilai yang mahu dibawa.  Ya, mereka bebas melukis adegan ganas dan seksi tapi mutu ceritanya tidak seberapa.

 

Beberapa halaman yang dikhususkan untuk komik satu muka pula berbentuk humor. Ilustrasinya? Cantik dan menawan. Cerita? Biasa sahaja, sterotaip komik majalah lawak.

 

Sebagai kesimpulan, Komikoo harus dipuji kerana memperjuangkan golongan artis komik yang selama ini hilang harta intelek. Namun, diharap harta-harta intelek tempatan yang disiarkan Komikoo akan dapat meninggikan intelek pembaca di masa akan datang.

Akan Datang!

Disember 13, 2007

Semasa menghantar pruf ke PTS tempoh hari, terlihat En. Hisham sedang sibuk menyiapkan kulit
novel Opera Angkasa. Opera Angkasa adalah novel fiksyen sains pertama terbitan PTS. Tabik dan tahniah buat Pn. Ainon, Mat Jan (Editor) dan tentu sekali penulisnya Nazri. Tidak sabar rasanya hendak membeli novel ini!

 

 

phpthumb_generated_thumbnail.jpeg

Sementara itu pula, Saudara Azrul juga telah menyiapkan novel Galaksi Muhsinin. Manuskripnya sedang saya baca kerana kami akan bekerjasama untuk projek Game Book PTS-Metadome, Insya-Allah. Apa kandungannya? Itu terpaksa zip mulut dan blog sebab spoiler pula nanti.

 

Komando 2069 telah saya panjangkan kepada 10 muka surat untuk mBook. Beberapa perubahan besar telah dibuat berbanding cerpen asal, dengan penambahan satu watak baru. Saya merancang untuk menjadikan Komando 2069 sebagai siri mBook, sudah cukup siri nanti tukar jadi novel pula. Di sini disertakan saya sertakan gambar mock mBook.

 

mbook.jpg

 

 

Mari Main Lego!

Disember 11, 2007

ldd.jpg Dalam menghasilkan karya fiksyen sains dan fantasi, selalunya banyak objek yang perlu direka oleh penulisnya. Antaranya adalah kapal, bangunan, senjata, pakaian dan sebagainya. Jika si penulis pandai melukis, tiada masalah tetapi bagaimana pula dengan yang kurang berbakat?

Di sinilah peranan teknologi, dengan menggunakan Lego Digital Designer anda boleh mencipta pelbagai objek 3D. Nampak sahaja seperti perisian kejuruteraan tetapi sebenarnya sangat mudah untuk digunakan. Kelebihan utama berbanding set Lego biasa ialah anda mempunyai bilangan blok yang tidak terhad.

Pengguna hanya perlu klik blok mana yang hendak digunakan dan gabungkan dengan blok-blok lain. Template juga disediakan untuk membantu pengguna merekacipta. Sudut pandangan juga boleh ditukar sekeliling objek yang anda bina. Setelah siap, anda boleh simpan imej obejk yang direka daripada pelbagai sudut. Selepas itu, boleh berikan kepada illustrator.

Selain dari mencipta objek, perisian ini juga beguna untuk visualisasi babak terutamanya yang melibatkan aksi-aksi pertarungan. Ciptakan props maya seperti rumah atau bandar dan masukkan objek-objek yang anda telah bina sebelum ini. Malah, jika anda semata-mata mahu membuat visualisasi babak anda boleh sahaja download model-model yang sedia ada daripada internet.

Ingin mencuba? Download di http://ldd.lego.com/.

Roh Jepun vs Roh Barat

Disember 2, 2007

Di mana letaknya roh? Apakah fungsinya dan adakah memori itu bermaksud roh? Mari kita lihat bagaimana dua karya fiksyen sains memberi pandangan dalam hal ini – siri anime Ghost in The Shell (GITS) dari Jepun dan novel Pandora’s Star (PS) dari United Kingdom. Dalam dunia kedua-dua karya ini manusia mempunyai sambungan terus kepada internet. Segala maklumat dipancarkan secara terus ke dalam medan penglihatan pengguna.

gits-cyberbrains.jpeg

225px-gits_sac_poster_v.jpgDalam GITS, perkhidmatan internet disalurkan melalui rangkaian wayarles terus ke cyber brain manusia.  Cyber brain adalah antarmuka antara otak dengan sistem elektronik. Melalui pembedahan, otak manusia dipasang dengan cengkerang besi. Cyber brain ini terletak dalam kepala manusia seperti otak biasa.

Cyber brain boleh berkomunikasi secara terus kepada pelbagai alat elektronik termasuklah cyber brain yang lain. Perbezaan antara cyber brain dan CPU otak robot adalah kehadiran ‘ghost’ – yakni roh. Cyber brain mempunyai ‘ghost’, sedangkan CPU hanya mempunyai program.Sungguhpun cyber brain mampu menyimpan memori selepas kematian tuannya, tetapi ‘ghost’ sudah tiada. Maka tidak mungkin cyber brain itu dipasang ke dalam tubuh klon atau android selepas kematian.

Dalam PS, manusia berhubung dengan internet menggunakan OCtattoo dan retinal insert iaitu kanta sentuh elektronik. Manusia dalam PS juga dipasang memory cell yang mampu merakam segala memori. Sekiranya berlaku kematian, semua data daripada memory cell akan dipindahkan kepada tubuh baru yang diklon. Teknologi seperti ini membolehkan manusia hidup beratus-ratus tahun lamanya.

150px-pandoras_star.jpg Di sini kita dapat lihat dalam PS, memori disamakan dengan roh. Sedangkan dalam GITS, roh adalah entiti yang berasingan dengan memori. Apakah yang menyebabkan Masamune Shirow dan Peter F. Hamilton mempunyai interpertasi berbeza dalam hal ini?

Masyarakat barat jarang mempercayai perkara supernatural, bagi mereka semua perkara benar harus dapat diukur. Dalam kes ini, roh diukur dengan jumlah memori. Filem The Sixth Day lakonan Arnold Schwarzenegger juga memaparkan pendekatan yang sama, memori disalin daripada badan yang lama kepada badan baru yang diklon.

Dalam kepercayaan Jepun pula, semua benda mempunyai roh dan semangat. Filem-filem dan siri anime mereka masih memberi penghormatan kepada kepercayaan mereka seperti Totoro. Patung juga mempunyai semangat seperti dalam filem The Cat Returns dan siri anime Rozen Maiden.

Cuba fikirkan, kita percaya bahawa roh akan dinilai oleh Tuhan. Jadi apa terjadi jika roh boleh disalin, adakah setiap salinan itu akan dinilai?