Detektif Indigo Kembali

di.jpgSemasa baru memulakan blog ini, saya ada mengulas tentang novel kedua siri Detektif Indigo iaitu Ikan Fugu, Lukisan, & Jimson. Kini, Detektif Indigo Kembali pula dengan wajah baru dan penerbit baru.

Secara asasnya, novel ini masih mengekalkan premis yang sama yakni sekumpulan remaja berbakat luar biasa yang belajar di sebuah kolej khas menyiasat kes-kes rumit. Rata-ratanya mempunyai tahap kepintaran yang tinggi dan beberapa orang daripada mereka mempunyai kebolehan psikik. Mereka yang digelar remaja indigo ini pula dibimbing dan dibiayai oleh OIC

Idea sebegini mungkin terlalu fantastik dalam keadaan dunia yang serba tidak menentu ini. Namun, saya lihat ini sebagai ‘counter-culture’ untuk mengikis tanggapan hanya orang-orang Barat dan bukan Islam mempunyai bakat luar biasa. Jika Barat menggunakan genre fiksyen sains sebagai alat propaganda, mengapa tidak kita?

Namun, untuk menjadikannya sebagai penggerak ‘counter-culture’ karya penulis Muslim perlu memenuhi keperluan pembaca dalam genre yang diceburi. Detektif Indigo jatuh dalam genre thriller / fiksyen sains dan untuk tujuan ulasan ini penilaian akan dibuat berdasarkan piawai genre tersebut.

Kes mereka kali ini adalah untuk menyiasat kehilangan Prof. Aslan, Setiausaha Agung OIC dan Dr. Recep Gul, Pengasas Akademi Indigo. Ya, memang kes yang besar dan membawa kumpulan detektif ini ke Arab Saudi dan Thailand. Tetapi, apabila melihat muka surat novel yang nipis itu saya mula ragu dengan perkembangan plot.

Permulaan kes agak baik dengan mendedahkan latar cerita dan watak, cukup jelas walaupun untuk pembaca baru siri ini. Suspens penculikan kedua-dua tokoh dan kegawatan suasana juga dicipta dengan mantap. Namun, saya sedikit terganggu dengan monolog berjela Prof. Aslan pada awalnya.

Tetapi, apabila penyiasatan mula berjalan plot mula menjadi kurang kemas. Para Detektif Indigo banyak bermain-main dan mebuat lawak sesama mereka dan tidak menumpukan kepada isu utama. Tambah pula adanya watak-watak baru, penyiasatan mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Trivia-trivia tidak relevan daripada Faruq pula mengambil ruang yang sepatutnya digunakan untuk menjadikan penyiasatan mereka lebih berwibawa.

Pengakhiran penyiasatan juga kurang memuaskan, seakan dipaksakan untuk tamat dengan sebab-musabab yang kurang kukuh. Tambah pula bab-bab hujung diselit pula dengan satu kes yang saya kira ‘tasteless‘ kerana membazirkan seorang pelajar Akademi Indigo dengan begitu sahaja.

Ya, dari segi wacana, ilmu dan nilai tiada salahnya dari penilaian penulisan Islami. Malah, memang nilai-nilai itu sangat perlu diisi dalam jiwa-jiwa muda. Namun, kelemahan penceritaan ini mengganggu penyampaian wacana dan nilai-nilai murninya.

Watak-watak yang dilakarkan memang berwarna-warni dan saya sungguh-sungguh berharap warna-warna itu digunakan dengan lebih baik pada siri akan datang. Harapan yang sama dari ulasan buku kedua saya ulang lagi dan kali ini saya pinta agar harapan ini dimakbulkan!

Baca: Ulasan bertentangan dari Rebecca Ilham 

4 Respons to “Detektif Indigo Kembali”

  1. Faisal Tehrani Says:

    Salam,
    Terima kasih untuk ulasan ini. Sangat membina, meskipun saya merasakan ramai pembaca ‘senior’ yang menuntut (demanding), mereka terlupa Detektif Indigo adalah untuk bacaan ‘junior’ (darjah 6 ke bawah!)
    Apa pun terima kasih. Wassalam.

  2. sherrina Says:

    laaa…detektif indigo utk bacaan junior ke? kenapa saya pula yang boleh terleka khusyuk membacanya dan boleh berulang-kali membaca sedangkan saya golongan senior. adakah ini tandanya jiwa saya masih junior? :p

    Thanks, review yg bagus. Saya sendiri belum menulis mengenainya meskipun sudah khatam beberapa kali. cuma tak puas hati dengan endingnya. Apa jadi dengan Dr Mama? Hati saya meronta2 nak tau dengan cepat 🙂

  3. Firdaus Says:

    Sherrina, jiwa mesti muda. Hehe.

  4. hairee Says:

    ending kurang memuaskan ade tak detektif indigo 3

Tinggalkan komen