Archive for Julai 2008

Ke Hujung Negeri

Julai 31, 2008

Esok saya akan ke Johor Bahru untuk tampil di MPH City Square pada hari Sabtu. Ini kali pertama saya pergi membuat promosi di luar Kuala Lumpur. Acaranya mudah sahaja, penampilan dan sesi autograf pada jam 3 petang hingga 4 petang.

Saya sendiri sudah lama tidak menjejakkan ke Johor Bahru sebenarnya, dan sengaja memilih untuk sekalikan program ini sambil ziarah saudara di sana. Saya agak asing dengan bandaraya ini kerana tidak pernah berpeluang untuk menjelajahnya. Malu juga bila mengatakan saya lebih arif dengan selok-belok Kota Singa di sebarang tambak berbanding JB.

Maaf juga kepada para pembaca kerana tiada sambungan tentang Mitologi & Fiksyen Sains. Entah angin apa yang bertiup, saya jatuh demam dan pening kepala. Sakit kepala mengongkong saya kepada realiti di depan mata sahaja, tidak mampu untuk saya ke dunia imaginasi serta falsafah dalam benak ini. Hari ini sudah pulih 70%, doakan agar saya pulih sepenuhnya menjelang esok!

Al-Fatihah kepada SN S. Othman Kelantan. Saya akan rindukan ceramahnya yang lantang itu!

Mitologi & Fiksyen Sains I

Julai 25, 2008

Apabila saya menghantar kertas cadangan untuk Sayap Adinila, Mat Jan memberitahu bahawa Vovin juga menggunakan nama Rajawali dalam karyanya Opera Angkasa. Tetapi, saya mengambil keputusan untuk tidak menukarnya. Apa alasan saya?

Pertama, kerana nama itu ada maksudnya tersendiri yang dikaitkan dengan kuasa dan kesaktian. Tambahan pula saya mahu memberikannya kontras dengan kapal udara musuh yang diberi nama Garuda. Kedua, penggunaan Rajawali dalam pelbagai karya berfungsi untuk mengukuhkan budaya dan identiti Melayu dalam ruang lingkup fiksyen.

Jika dihalusi lagi, interpertasi saya dan Vovin terhadap Rajawali agak berbeza tetapi mempunyai beberapa persamaan. Antara persamaan yang timbul lewat karya kami adalah penggunaan kelicikan dan ketangkasan berbanding kekuatan semata-mata dalam menghadapi cabaran. Cuba fikirkan, apa relevannya nilai ini dengan masyarakat Melayu dan umat Islam?

Akan Datang: Fiksyen Sains Jepun Bertunjangkan Barat

Selingan: Apa Itu Barat

Julai 22, 2008

Sebelum kita bicara lebih lanjut tentang mitologi dan nilai dalam fiksyen, ada baiknya kita definisikan apa itu Barat. Lebih tepat lagi, apa itu Tamadun Barat. Tamadun Barat merujuk kepada tradisi norma sosial, nilai, ritual, sistem kepercayaan, politik serta artifak dan teknologi tertentu.

Paksi utama Tamadun Barat adalah seperti berikut:

  • Falsafah & politik – Greek & Rom
  • Kepercayaan & agama – Judeo – Christian (Yahudi & Kristian)

Definisi ini penting kerana dalam dunia global sekarang, sempadan geografi sudah tiada maknanya. Contohnya; Pesta dansa di Malaysia itu Barat sedang Halaqah dan Usrah di UK itu bukannya Barat.

Menghormati Tradisi, Memandang Masa Hadapan

Julai 20, 2008

DSC_0335

Hari Selasa lepas, saya berkesempatan ke Galeri Petronas untuk menghadiri pelancaran pameran ‘Disclosure’ yang dirasmikan YM Raja Nazrin Shah. Disclosure merupakan pameran solo hasil kerja Ahmad Zakii Anwar.  Selalunya program sebegini adalah atas jemputan sahaja, tetapi atas tiket jurugambar kumpulan Dewangga Sakti saya dapat menghadiri program yang dikira agak berprestij juga.

Saya bukan hendak berbicara tentang pameran itu tetapi tentang Dewangga Sakti yang menjadi pemuzik undangan pada program tersebut. Mereka terdiri daripada bekas pelajar UIA (kecuali seorang) dan memainkan muzik tradisi dengan sentuhan kontemporari. Instrumen mereka adalah gambus, gitar, gitar bass, rebana, violin dan perkusi.

Memang ramai kumpulan muzik yang memainkan irama Melayu tradisi tetapi tidak ramai yang mencipta lagu-lagu baru. Sungguhpun mencipta lagu-lagu baru, karya mereka masih berakar teguh pada tradisi dan budaya Melayu-Islam. Dengan ini, mereka memecahkan persepsi bahawa berpegang kepada tradisi membawa kepada kejumudan. Cuba bilang, berapa ramai artis Malaysia dengan hanya mini album terbitan sendiri dapat membuat persembahan di China, Jepun, Taiwan dan Singapura?

Norman - Violin

Hal ini dapat dikaitkan dengan penulisan fiksyen juga iaitu dalam aspek penerapan maklumat budaya. Fiksyen sains misalnya, semuanya berbincang tentang tema-tema angkasa, merentas masa, bio-tek, robot dan sebagainya. Jadi, di mana bezanya fiksyen sains tempatan dan barat?

Ambil contoh penamaan robot, kalau anda menggunakan nama ‘Goliath’ sudah berapa kali nama tersebut diulang dalam karya-karya fiksyen sains barat? Berapa banyak pula kapal yang mempunyai nama ‘Leviathan’? Jika kita turut mengulang nama-nama tersebut, kita hanya mengukuhkan mitologi Barat.

Bayangkan jika sebuah penerbit di Indonesia mahu memilih karya-karya fiksyen sains untuk dilesenkan. Dalam senarai mereka ada karya dari Malaysia dan United Kingdom. Apabila mereka membaca karya Malaysia yang kuat tempias mitologi baratnya, anggapan yang timbul adalah karya tersebut adalah satu cubaan untuk meniru semata-mata dan tiada identiti sendiri. Jika begitu, lebih baik mereka lesenkan sahaja fiksyen sains dari Barat yang lebih mapan.

Setakat ini dahulu, nanti saya sambung lagi tentang mitologi dan fiksyen sains.

John Woo & Logik Timur

Julai 15, 2008

Apabila Sifu menerangkan tentang perbezaan teknik menulis biasa dengan KJ Method, beliau ada menyebutnya sebagai perbezaan antara logik barat dengan logik timur. Teknik menulis biasa ditulis secara linear sedang dengan KJ Method penulis mempunyai kebebasan untuk menggarap karya dengan aturan tersendiri.

Logik barat juga bermakna kita harus mengikut betul-betul rangka atau pelan yang telah direncana lebih awal. Logik timur dalam KJ Method pula membolehkan kita mengubah dan menyusun babak-babak serta elemen-elemen secara modular.

Pengarah terkenal di Timur dan Barat – John Woo mengakui perbezaan ini:

Woo says he greatly appreciates the opportunity to work in Hollywood, and relished the chance to work with actors such as John Travolta, Nicolas Cage and Tom Cruise, and especially the friends he has made. But he admits that he gets less space for creativity there, and that he has to work strictly according to the script, budget and time.

“When we got on the set, we just executed it,” he explains

“Usually I like to work with the set. Whenever I get some new ideas, I just change things right away, like how I used to do it in Hong Kong. That’s why I wanted to come back to China to make a movie which I have been dreaming of making for a long time.”

Nota: Gambar dan kenyataan dipetik dari artikel The Star

Catatan Rambang

Julai 13, 2008

Blog & Masalah Teknikal

Nampaknya blog ini sudah agak bersawang dengan entri baru yang makin jarang. Masalah teknikal yang bertimpa memang melemahkan semangat. Mula-mula WiFi router rosak, laptop rosak, kemudian modem Streamyx pula rosak. Aduh, memang perit tanpa komputer sendiri. Mujur ayah pinjamkan laptop, kalau tidak memang mati akal juga.

Syukur masalah-masalah teknikal itu sudah dibaiki satu persatu cuma masih belum mencapai tahap asalnya. Mungkin menjelang minggu hadapan semuanya akan kembali normal. Sambil-sambil itu berdoa agar laptop dan kamera dapat bertahan sehingga mendapat bayaran royalti tahun hadapan.

Projek Nasyid

Dalam masa yang sama, aku terlibat dalam projek recording single kumpulan nasyid Madani. Ya, kumpulan di mana aku adalah PR dan salah seorang pemegang saham syarikat pengurusannya. Bunyi macam gah, tapi sebenarnya tidak jauh beza dengan projek kumpulan muzik indie yang lain. Bezanya kami distrukturkan secara agak professional.

Tugasku dalam projek ini adalah untuk menguruskan hal-hal hakcipta dan penyimpanan rekod serta sebarang perjanjian yang akan timbul. Aku bukan pelajar undang-undang tetapi dengan sokongan tiga peguam dalam keluarga tugas ini agak mudah.

Setakat ini, sudah 11 jam dihabiskan dalam studio untuk rakaman vokal semata-mata. Proses rakaman lagu memang jerih dan payah, lihatlah betapa berkali ganda masa yang diperlukan untuk merekod lagu sepanjang 5 minit.

Sungguhpun tidak menyanyi, aku hadirkan diri juga ke studio untuk memberi sokongan. Lagipun, lagu itu membawa lirik yang aku tulis hampir 3 tahun lepas. Working title lagu ini adalah ‘Janji Setia’ tetapi seperti biasa ia masih tertakluk kepada perubahan. Dengan izin Tuhan, tidak lama lagi anda akan dapat mendengar lagu ini di corong radio. Bila sudah siap semuanya nanti, aku akan nukilkan proses penciptaan lagu ini.

Bila terlibat dalam projek sebegini barulah aku faham betapa salahnya mencetak rompak lagu-lagu. Begitu ramai yang terlibat dalam satu-satu lagu dan jumlah usaha yang dilaburkan memang tinggi. Mungkin sikap angkuh syarikat rakaman membuatkan pengguna tidak bebelas kasihan untuk mencetak rompak.

Ah, sudah membebel panjang nampaknya!

Artikel di Majalah

Julai 7, 2008

Untuk bulan ini, dua artikel karangan saya telah tersiar dalam dua majalah terbitan MMP Communications. Satu dalam Bahasa Melayu dan sebuah lagi dalam Bahasa Inggeris.

1. Kemboja – Merentas Masa, Mensyukuri Nikmat

 

2. Soul Beat – The Art of Peter Gould (Digital Artist at Work)