Archive for Ogos 2008

Teori Surah Yusuf dan Media

Ogos 29, 2008

“Mengapa perlu mengikut Teori dan Teknik Surah Yusuf yang melarang daripada menceritakan perkara-perkara yang buruk secara terperinci? Bukankah kebejatan dalam masyarakat itu satu realiti?”

Saya terdiam sebentar sebelum menjawab, “Bukankah dalam media kita sekarang sudah terlalu banyak cerita-cerita yang kurang murni mengapa pula kita perlu mengikut sama?”

Dia seakan menerima jawapan saya, “Hmm, betul juga.”

Tetapi, saya sedar balasan itu semacam retorik dan saya perlu mengemukakan alasan yang lebih kukuh. Alasan itu sudah bersarang dalam minda tetapi tidak ketemu ayat dan hujah untuk membentuknya dengan baik.

Alhamdulillah, buku Introducing Media Studies memberi kerangka berguna dalam menyelesaikan hal ini. Kuncinya adalah melihat novel sebagai salah satu bahan media dan apa pengaruh serta impaknya kepada masyarakat.

Media mempersembahkan realiti melalui pelbagai kata-kata, bunyi dan imej. Tetapi, realiti itu adalah realiti yang telah dipilih dan diolah untuk tatapan audiens. Ini adalah serupa dengan proses setiap individu membina realiti sendiri dengan memberi makna kepada apa yang dirasa melalui deria. Media juga membina realiti dunia melalui olahan bahan media. Seorang ahli falsafah bernama Louis Pierre Althusser juga mengatakan bahawa media turut menghasilkan norma masyarakat.

Oleh kerana novel juga adalah sebahagian daripada media, maka novel juga mempunyai kuasa untuk mempengaruhi serta membina realiti dan persepsi audiens. Teori dan Teknik Surah Yusuf menekankan ciri-ciri ideal dan tidak sesekali memberi kemenangan moral kepada kejahatan. Dengan itu, novel yang ditulis dengan Teori dan Teknik Surah Yusuf menyumbang kepada realiti yang lebih baik.

Tetapi ini tidak bermakna bahawa novel yang ditulis mengikut Teori dan Teknik Surah Yusuf itu mempunyai pandangan yang naif. Dalam mencapai kemenangan, antagonis terpaksa menempuh pelbagai peristiwa malang dan menghadapi bilangan antagonis yang ramai. Dengan kata lain, kejahatan dan kebejatan itu diakui kewujudannya tetapi bukan itu yang diangkat kepada audiens.

Nah, ini juga bermakna bahawa para novelis juga adalah pengamal media. Besar tanggungjawabnya!

Kata Pak Samad

Ogos 28, 2008

Eyes of a Great Writer

Semalam terjumpa Pak Samad di MPH Mid Valley semasa hendak berjumpa kawan-kawan lama zaman sekolah dahulu. Saya bertanya padanya, “Apa buku menarik Pak Samad jumpa hari ini?”

“Banyak buku menarik, tetapi tidak cukup duit untuk menariknya!”

Buku Pilihan: Introducing Media Studies

Ogos 27, 2008

Secara purata, individu berumur 60 tahun telah mendengar, melihat atau membaca 50 juta iklan sepanjang hidupnya. Kita juga mendapat berita sepanjang waktu dari radio, televisyen, dan internet. Media memang berlegar sekitar hidup kita jadi apa kata kita cuba memahaminya?

Buku tulisan Ziauddin Sardar ini memberi pengenalan yang segar dan menarik tentang apa itu media. Illustrasi gila-gila Borin Van Loon pula melengkapkan buku ini untuk memberi gambaran yang lebih jelas lagi.

Beberapa fenomena media diterangkan dalam buku ini seperti:

  • Adakah cerita ganas menyebabkan kanak-kanak terpengaruh?
  • Bagaimana iklan menimbulkan keinginan untuk membeli?
  • Apa maksudnya iklan rokok yang tidak menunjukkan rokok?
  • Mengapa hujanan berita di media sukar mengubah pilihan dalam politik?

Harga buku ini adalah RM38.50 dan jumlah itu memang pelaburan yang berbaloi untuk memahami dunia serta realiti kita yang dibentuk media dan membentuk media.

Ulasan Sayap Adinila

Ogos 25, 2008

Kali ini, Anis Sarah pula menulis ulasan tentang Sayap Adinila. Sesungguhnya saya memang ingin tahu apa pendapat pembaca wanita tentang fiksyen sains Melayu. Terima kasih banyak-banyak atas maklumbalas!

Walaupun novel ini telah berada dalam rak buku saya sejak pertengahan Februari lalu, namun baru kini saya pembacaan saya selesai. Terima kasih pada penulisnya, sdr Firdaus Ariff kerana mengirimkan novel sulungnya ini dengan autograf.

Fiksyen sains ini membawa pembacanya ke sebuah dunia alternatif sekitar kurun ke-15 yang bertempat di sekitar Empayar Nilam. Kisah bermula dengan serangan Kerajaan Angkor ke atas Qadaha, salah satu wilayah di Empayar Nilam. Setelah menawan Gabenor wilayah itu, Empayar Nilam dipaksa memenuhi permintaan Kerajaan Angkor, iaitu ciptaan si genius Adinila yang disembunyikan selepas legenda pertempurannya dengan Von Noir seabad yang lalu. Perjalanan novel kemudian tertumpu pada usaha Pasukan Harimau Nilam mengesan jejak ciptaan Adinila, yang akhirnya ditemui di Kota Lama, sebelum menyelamatkan Engku Rahman yang menjadi tebusan Panglima Gaa Lee.

Menariknya novel ini, penggunaan teknologi kristal dalam dunia itu diterangkan dengan lebih terperinci, logik dan berkesan dalam penggunaan senjata, telekomunikasi, pengangkutan, perubatan dll [Entah kenapa, unsur-unsur kristal seringkali digunakan dalam fiksyen sains lain yang saya pernah baca]. Penerangan lain tentang dunia di sekitar Empayar Nilam, kerajaan dan sejarahnya menyediakan pembaca untuk siri novel seterusnya. Watak-watak utama menggerakkan cerita dengan baik, namun adakalanya masih kurang menyentuh emosi dalaman, hanya secara permukaan sahaja. Deskripsi babak-babak pertempuran menghiasi kisah seperti dalam komik pertarungan, dan tidak kurang juga kisah perasaan antara Tengku Arafiah dengan Lim yang disisipkan seketika di kala Empayar Nilam sedang rumit menghadapi ancaman musuhnya. Bahagian cerita sewaktu mereka mencari dan menemui ‘sepasang sayap’ ciptaan Adinila antara yang menarik saya untuk menekuni novel ini hingga ke akhir, walaupun tanpa illustrasi lakaran kapal udara yang menjadi inspirasi penulisnya.

Lebih penting lagi, fiksyen sains di dalamnya tidak terlalu kebaratan. Apatah lagi imbas anime Jepun selintas terkesan pada kehadiran watak Pusaran dan Baron (sesiapa yang sering mendekati anime Jepun pasti mudah meneka watak itu). Ada beberapa persoalan lain yang sengaja ditinggalkan penulisnya untuk dijawab dalam siri seterusnya, seperti siapakah pembunuh Raja See Khao, atau siapakah askar misteri yang ditemui Hamzah?

Sebagai pembaca, saya kira ini fiksyen sains Malaysia yang harus dimiliki. Kepada penulisnya, syabas dengan kehadiran novel sulung ini (harap saya tak terlewat). Dah tentu saya tak sabar ingin membaca sambungan siri ini. Mengingatkan saya pada Siri Saga Artakusiad karya Ahmad Patria Abdullah (ternanti-nanti karya terbaru beliau). Apapun, sedikit kesalahan ejaan di dalamnya sedikit menganggu bacaan saya yang suka menggaris perkataan. Pendapat saya, tak perlu lampiran tentang watak di hujung novel kerana lebih menarik jika diterangkan dalam bentuk penceritaan. Mungkin sekeping peta dan illustrasi kapal juga senjata dapat membantu menghayati Saga Empayar Kristal ini dengan lebih berkesan.

Lagi Tentang Running Gag

Ogos 24, 2008

1).Pada pendapat Tuan Profesor Kecil tema apakah yang sesuai digunakan untuk running gag?

2)Kelemahan penggunaan running gag darisegi dialog, pelakuan dan juga visual.Contoh animasi yang menunjukkan kelemahan penggunaan unsur running gag?

3) Ketika bilakah Running gag biasanya digunakan ?

4) Animasi apakah yang selalu menggunakan unsur running gag?

5) Adakah animasi tempatan banyak menggunakan unsur running gag? Contoh animasi tempatan yang menggunakan unsur running gag?

Soalan ini agak panjang dan saya pun tiada masa maka saya jawab satu soalan dahulu iaitu no. 4:

Antara animasi yang banyak menggunakan running gag adalah siri Full Metal Alchemist di mana watak-watak lain menyangkakan bahawa Alphonse Elric adalah alchemist yang terkenal itu. Edward Elric juga selalu diejek sebagai pendek sepanjang animasi tersebut.

Cetusan Rasa

Ogos 22, 2008

Ramai orang yang berkata bahawa menulis perlukan mood tersendiri dan tidak boleh dipaksa-paksa. Bagi saya, untuk penulisan novel dan cerpen mood bukanlah faktor utama. Tetapi lain pula ceritanya dengan penulisan puisi dan lirik. Hanya beberapa kerat puisi dan lirik sahaja pernah saya hasilkan kerana memerlukan satu keadaan emosi yang melampaui kebiasaan. Bila keadaan itu berlaku, pusi dan lirik itu akan siap dalam masa beberapa minit sahaja. Selepas itu tunggulah entah berapa bulan atau tahun lagi sebelum menghasilkan lirik yang berikutnya.

Hari ini saya berkongsi lirik pertama yang saya hasilkan 3 tahun dahulu semasa masih menuntut di Pusat Matrikulasi UIAM bertajuk Janji Setia. Bila difikirkan kembali, mungkin ini adalah antara perkara yang buatkan saya ‘melekat’ dengan kumpulan Madani walaupun saya seorang bukan pelajar SMKJ3.

Janji Setia

Telah terukir nan terpahat teguh
Janji setia bercita suci
Janji pada diri, keluarga dan Allah
Memulakan kembara dewasaku

Ku turuti nasihatmu ibu
Jua panduanmu oh ayah
Kan ku setia teguh janjiku
Demi mencapai cita teragung

Takkan ku berpaling dari cahaya
Walau sinar dunia mengaburi
Takkan ku endah onak duri
Jalan kebenaran tetap ku tempuhi

Sungguhpun sukar bagiku teguh
Kerna hawa nafsu mengaburi
Tetap ku setia tak mungkiri
Kerna janji itu bawa kebahagiaan

Kan ku pegang setia janjiku
Bersama harapan doa mereka
Bahagia dunia jua akhirat
Itulah matlamat mukmin sejati

Lirik: Muhammad Firdaus Ariff
Lagu: Sumieyami Salleh & Madani

Nota Kaki: Jika anda perlukan kumpulan nasyid untuk majlis berbuka puasa, sambutan hari raya, perkahwinan atau sebarang majlis yang bersesuaian sila hubungi saya di 013-2002705.

Tips: Buang Garisan Merah Dalam Microsoft Word

Ogos 19, 2008

Melihat ayat-ayat yang digariskan merah dalam Microsoft Word kadangkala cukup menyakitkan hati. Tambah pula bila Microsoft Word memandai-mandai mengubah perkataan seperti datang kepada dating. Rasanya seperti hendak menjerit kepada PC, “Aku tulis dalam Bahasa Melayulah! Engkau menyemak dengan kamus Bahasa Inggeris tentulah salah semuanya!”

Jika hendak padamkan terus fungsi spellchecker, bagaimana pula dengan dokumen dan tugasan anda dalam Bahasa Inggeris? Penuh dengan kesalahan pula jadinya nanti.

Usah gusar, ikuti langkah seperti berikut:

1. Pilih Edit > Select All

2. Klik dua kali pada bar bawah yang ada tertulis bahasa, selalunya English (U.S)

3. Skrol pilihan yang ada dan klik dua kali pada pilihan Malay.

Sekarang, semua garisan merah itu akan hilang!

Institut Peradaban Melayu?

Ogos 19, 2008

Sejak beberapa hari lepas, statistik mencatatkan bahawa ada pengunjung ke blog ini datang dari sebuah laman web UPSI. Apabila saya mengikut kembali link tersebut, laman web itu adalah laman web Institut Peradaban Melayu. Saya garu kepala sebentar, apa kena-mengena blog fantasi dan sai-fai dengan institut sebegitu?

Persoalan itu akhirnya terjawab apabila Prof. Emeritus Abdullah Hassan meninggalkan pesan di laman ini:

Assalamu alaikum warahmatullahi wwbarakatuh,

Didoakan semoga anakanda Firdaus Ariff sihat walafiat.

Laman Sutdio Inspirasi ini ayahanda pautkan pada laman Institit Peradaban Melayu, UPSI.

Ini adalah kerana kandungannya banyak memanfaatkan para guru yang perlu berjinak dengan Fantasi dan Fiksyen Sains.

Wassalam

Prof. Emeritus Abdullah Hassan
Pengarah
Institut Peradaban Melayu, UPSI

Saya amat berbesar hati kerana diberi penghormatan ini. Kepercayaan ini akan saya jadikan pendorong untuk menghasilkan entri-entri dan karya-karya yang lebih berkualiti di masa hadapan.

Ain Maisarah & Vovin di MPH Mid Valley

Ogos 18, 2008

Acara penampilan dan sesi autograf oleh Ain Maisarah – siri Impiana & Aku Mahu serta Vovin/Nazri M. Annuar – Opera Angkasa di MPH Mid Valley.


‘Cik Abang’ – Tn. Syaizul


Ain Maisarah


Peminat yang hadir


Mat Jan & Vovin


Sinaganaga


Vovin

Star Wars Episode 2.5?

Ogos 15, 2008


“Clone Wars? Ini Star Wars episod yang mana? Bukan Episod II dahulu tentang klon juga?”

“Ini filem CGI Star Wars, ceritanya antara Episode II: Attack of the Clones dan Episod III: Revenge of the Sith.”

“Oh, begitu. Kiranyanya ni Star Wars 2.5 begitu?”

Saya menjawab sambil tertawa, “Begitulah, senang kira.”

Itulah dialog yang terbit apabila saya mengajak beberapa rakan penulis untuk menonton Clone Wars. Asalanya saya mengajak Syarafuddin, tetapi dia kurang sihat maka Azree Hanifiah pula menjadi ganti. Kebetulan dia juga sudah lama tidak menonton wayang.

Berbalik kepada ulasan The Clone Wars yang dijanjikan pengarah filem bahawa penonton akan melihat Star Wars dalam perspektif baru. Maka, kita kaji dari sudut ini dahulu.

Transisi dari live-action kepada 3D CGI adalah baik dan masih mengekalkan ‘feel’ siri yang asal. Walaupun menggunakan pelakon suara yang berbeza, Anakin & Obi-Wan kekal dengan perawakan yang sama.

Beberapa watak baru turut diperkenalkan terutamanya keluarga Jabba the Hutt seperti pakciknya Ziro dan anaknya ‘Stinky’. Mereka memainkan peranan penting dalam plot filem ini. Clone Troopers juga tampil sedikit lebih individual dengan watak seperti Captain Rex dan Oddball.

Aksi-aksi pertempuran juga dipersembahkan dengan cemerlang dan memang padat di sepanjang cerita. Banyak aksi lawan lightsaber satu lawan satu antara Sith dan Jedi di samping aksi gempur tahap batallion. Beberapa misi ala komando juga diselitkan dalam cerita ini. Pendek kata, tidak pernah kurang aksi dalam filem ini!

Tetapi, aspek emosi dan drama adalah kurang dalam filem ini. Dalam temuramah di laman web rasmi Star Wars, beliau menyatakan bahawa hasratnya adalah menyuntik aspek individu kepada Clone Troopers serta meningkatkan empati terhadap mereka. Kata beliau lagi, penonton tidak seharusnya melihat Clone Troopers seperti mesin yang boleh dibazirkan begitu sahaja. Penonton harus rasa sedih jika Clone Troopers itu mati.

Namun, ciri individual yang ditampilkan lebih bersifat kosmetik semata-mata seperti perbezaan warna uniform dan stail rambut. Tambah pula kebanyakan masa mereka memakai helmet maka tidak terasa mereka adalah individu yang berbeza. Malah, Droid Army mungkin lebih diingati dalam filem kerana lawak slapstick mereka yang membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang cerita.

Kesimpulannya? The Clone Wars adalah fliem hiburan untuk seisi keluarga tetapi mungkin kurang ‘keras’ untuk peminat tegar siri Star Wars.