Archive for Oktober 2008

Sudah Online: Cerpen Putaran Masa

Oktober 29, 2008

Cerpen Putaran Masa yang tersiar dalam Dewan Kosmik Oktober 2008 kini sudah dimuatkan di blog ini.

Synchronize Data

Oktober 28, 2008

Membaca kisah kehilangan laptop Tuan Fadzli Yusof, saya tumpang simpati. Laptop baru boleh dibeli tetapi data di dalamnya sangat sukar diganti lebih-lebih lagi yang bersifat peribadi. Salah satu masalah yang disebut beliau adalah kesukaran untuk menyelaraskan data antara PC dan Laptop.

Untuk itu saya mencadangkan agar menggunakan Microsoft SyncToy. Bunyinya memang keanak-anakan tetapi sebenarnya sebuah utiliti yang sungguh berkuasa. Utiliti ini boleh backup dan menyelaraskan data antara hard disk dengan thumbdrive, hard disk atau hard disk di komputer lain melalui rangkaian. Saya sendiri pernah menggunakannya sehinggalah PC saya rosak baru-baru ini. (Bergantung pada laptop sahaja sekarang, sungguh bahaya!)

Bagi sesiapa yang mahu khidmat untuk configure utiliti ini dan setup rangkaian boleh hubungi saya di ibnu.ariff@gmail.com – tetapi perlu tunggu selepas saya tamat ujian pada 4 November. Kalau mahu cuba sendiri boleh lawat laman ini. 🙂

Bahan Baru Sai-Fai

Oktober 22, 2008

Nampaknya era carbon fibre (gentian karbon) sebagai bahan yang paling kukuh tetapi ringan akan berakhir. ‘Buckypaper’ yang mempunyai struktur karbon yang lebih kuat dan dijangkakan mampu menjadi 50 kali lebih kuat dari keluli dan dalam masa yang sama 10 kali ganda lebih ringan.

Prancing Horse on Carbon Fiber
Gentian Karbon

Para saintis menjangkakan penciptaan bahan ini akan merevolusikan industri aeroangkasa. Satu kelebihan utama ‘buckypaper’ juga adalah keupayaannya untuk mengalirkan elektrik berbanding gentian karbon. Ciri ini akan mendorong penciptaan alat-alat yang lebih kecil dan berkuasa.

Buckypaper

Buckypaper

Oleh itu, para penulis fiksyen sains perlu mengambil kira faktor bahan baru ini dalam menulis karya baru kerana kita perlu berada di hadapan dan bukannya menggunakan bahan yang lapuk!

TwinX: Gundam Melayu?

Oktober 16, 2008
TwinX by PAC

TwinX by PAC

TwinX adalah antara antara novel grafik dalam siri Komik-M yang diterbitkan PTS Millenia. Kehadiran TwinX memang menarik minat saya dengan premisnya sebagai novel grafik fiksyen sains. Plot cerita tertumpu kepada watak Aizam yang mewarisi sebuah robot tempur daripada nenek moyangnya.

TwinX membawa pembaca dari bumi Malaysia yang tercinta ini hinggalah ke koloni angkasa lepas jauh di masa hadapan. Namun begitu, nilai-nilai murni ‘tradisional’ masih diterapkan terutamanya gaya hidup Aizam dan keluarganya sebagai pesawah. Nilai kemanusiaan dan kekeluargaan juga masih menjadi teras lantas mengelakkan dari setting dunia apokalips.

Elemen teknologi yang dipaparkan dalam TwinX agak lapuk saya kira kerana terlalu banyak berdasarkan perkakasan masa kini. Ini menimbulkan kejanggalan kerana 100 tahun lagi kita masih pakai USB drive lagikah? Mujur sains di sebalik koloni angkasa yang dipaparkan itu agak mapan dan jambatan yang menghubungkan Malaysia Barat dengan Timur itu juga mencuri perhatian.

Klimaks cerita di mana koloni angkasa yang menjadi kampung halaman Aizam diserang dan tekad Aizam untuk menyelamatkan mereka yang tersayang terus membuatkan saya teringat kepada plot Gundam Seed. Tambah pula dengan halaman yang mebayangkan pertempuran Aizam dengan seorang lagi pemuda yang mempunyai robot serupa di siri akan datang. Terminologi yang hampir serupa juga menguatkan lagi persamaan dengan Gundam.

Tetapi, TwinX berbeza dari segi nilai yang dibawanya. Jika hero-hero Gundam hidup sebatang kara, Aizam ada keluarganya. Kisah cinta juga berbeza kerana Aizam berazam untuk melangsungkan perkahwinan dengan restu keluarga sedang Gundam membawa cerita cinta tiga segi. Saya percaya selagi TwinX membawa nilai-nilai yang tulus, ia akan menjarakkan perbandingan dengan Gundam dan menjadi siri yang teguh.

Bila Penulis Demam

Oktober 13, 2008

Bila penulis demam;

1. Perlu ke klinik dengan ongkos sendiri. Ini kerana penulis tidak mempunyai majikan yang membiayai faedah kesihatan.

2. Terhijab daripada dunia imaginasi kerana kepala pusing. Idea juga tidak dapat bergerak dengan lancar. Maka, cerita juga tidak dapat ditulis. Bila manuskri

3. Kesimpulannya, demam memang memberi kesan negatif terhadap produktiviti dan kewangan penulis. 

Kenapa cerita tentang demam pula? Sebabnya saya dan beberapa rakan penulis mengalami demam! Entah kerana hujan, atau tersalah makan di musim raya. Apapun, ini memberi peringatan bahawa ada beberapa persediaan lain yang perlu dibuat jika mahu hidup sebagai penulis bebas.

Teringat pula pesan Tuan Shamsudin Kadir yang disampaikan oleh Tn. Osman Affan agar menyimpan 10% daripada pendapatan untuk kecemasan. Dapat sahaja duit terus menyimpan, bukannya tunggu ada duit lebih baru menyimpan!

Hikayat Syah Mardan: Barongan

Oktober 9, 2008

Hikayat Syah Mardan:Barongan – DBP from tekong on Vimeo.

Projek DBP yang dilaksanakan Tekong dari Flavert Media Lab.

Cerpen Terbaru di Dewan Kosmik

Oktober 8, 2008

  Alhamdulillah, setelah hampir setahun cerpen saya tersiar sekali lagi di Dewan Kosmik. Cerpen ini adalah yang paling cepat ditulis iaitu dalam masa sejam lebih sahaja tetapi mengambil masa paling lama untuk diterbitkan iaitu enam bulan. Kata editor pada masa itu telah bersusun cerpen-cerpen lain maka saya tunggu sahajalah. Biasalah penulis perlu tunggu giliran. 🙂

Kali ini, tajuknya adalah ‘Putaran Masa’ – sebuah cerpen fiksyen sains tentang merentas masa dan privasi data beserta kritik sosial.

Krang! Berderai bunyi kaca akibat dihentam tubuh Proto. Tetapi dia tidak terkesan sedikit pun sebaliknya berpusing untuk menyambut ketuanya. Senjata pula sudah disimpan di dalam jaket.

 

Keluar sahaja dari portal masa, Johan terus bertanya. “Kita di mana?”

“Plaza Pantai, tahun 2008. Sasaran kita sudah berlari ke arah stesen LRT.”

Johan sekadar angguk sedikit lalu kembali menjejak buruan mereka. Proto membiarkan ketuanya bergerak terlebih dahulu, dia mengambil masa satu minit untuk mengemaskini peta dalam paparan implan retinanya.

Untuk baca lebih lanjut, sila dapatkan Dewan Kosmik keluaran Oktober!

Update: DBP begitu pantas menghantar cek royalti, baru sahaja dapat! (9/10)

Erti Aidilfitri

Oktober 6, 2008

Pertama sekali, saya fikir masih belum terlewat untuk mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada rakan-rakan penulis dan pembaca blog ini. Harapnya semuanya ceria menyambut Syawal bersama sanak saudara dan sahabat handai. Saya juga memanjangkan kemaafan andai ada kesilapan dalam tingkah laku dan penulisan.

Hari raya ini saya mempelajari beberapa perkara penting tentang sejarah keluarga terutamanya sebelah ibu. Antaranya saya tahu setingkat lagi nama nenek-moyang jalur nenek dan datuk. Asal-usul mereka juga diuraikan lebih mendalam lagi – siapa yang Bugis, Jawa dan Siam.

Menariknya, beberapa corak didapati berulang seperti fenomena ‘dua kelamin’ dan wajah adik-beradik yang pelbagai rencam. Istilah ‘dua kelamin’ bukanlah bermaksud khunsa tetapi apabila dua adik-beradik dari keluarga A berkahwin dengan adik-beradik berkahwin dari keluarga B. Sebagai contoh, si abang keluarga A berkahwin dengan si kakak keluarga B manakala si adik lelaki keluarga A berkahwin dengan si adik perempuan keluarga B. 

Variasi Bugis, Jawa dan Siam juga menyebabkan beberapa set adik-beradik mempunyai wajah yang pelbagai rencam – ada yang sawo matang, cerah, tinggi dan rendang. Hal itu turut berlaku kepada adik-beradik ibu saya. Nampaknya mudah sedikit untuk saya menerangkan kepada rakan-rakan tentang pakcik-pakcik dan makcik-makcik saya selepas ini.

Berjauhan dari internet buat seketika juga membuatkan idea bergerak di luar kebiasaan. Laju sahaja idea-idea cerita baru mengalir. Melihat makam Sultan Melaka di Pagoh juga meniup satu semangat untuk memantapkan sekuel-sekuel Sayap Adinila. Sungguhpun makam itu sejuk kaku tetapi legasinya tetap hangat –  hanya kita sahaja yang tidak menyedarinya. 

Apa pula cerita Aidilfitri anda?