Archive for Disember 2008

Cerita dari Piramid Sunway

Disember 30, 2008

Pertama kali menjejakkan kaki ke Popular Bookstore di Sunway Pyramid, saya dan Syarafuddin terus pergi memeriksa rak buku Melayu mereka. Ada sekitar empat baris rak dan memuatkan buku pelbagai genre dengan susunan yang kemas. Fikir kami, laju juga jualan buku Melayu di cawangan ini.

Kami tiba awal kerana kurang mahir dengan kawasan tersebut. Tn. Alif Firdaus yang datang memberi sokongan memberitahu bahawa selepas pukul 2 sangat sukar mendapat tempat letak kereta. Nasib baik kami dan Cik Fadillah tiba awal, tetapi Tn. Vovin pula terpusing-pusing setengah jam mencari tempat untuk memojokkan kereta.

From Penulis PTS di Sunway Pyramid

Syarafuddin kali ini bersedia dengan slaid tetapi itu tidak banyak membantu untuk menghadapi kelompok yang rata-ratanya bukan Melayu kerana bicaranya ada kaitannya dengan sistem nilai. Jualan buku Melayu memang laju tetapi hari tersebut ramai yang pulang ke kampung agaknya!

From Penulis PTS di Sunway Pyramid

Untuk sessi fiksyen sains pula, Vovin memulakan bicara dengan menemuramah saya. Kemudian, saya tayangkan pula slaid yang menunjukkan ciptaan yang dulunya angan-angan dalam fiksyen sains yang menjadi realiti saintifik kini. Nampaknya ramai juga yang ralit menonton bicara tentang topik tersebut. Tamat bicara, Vovin dan saya bersetuju bahawa slaid itu adalah bahan yang baik dan perlu dimantapkan lagi.

From Penulis PTS di Sunway Pyramid

Kami juga sepakat mengatakan bahawa ruang aktiviti di Popular Sunway Pyramid ini adalah yang terbaik setakat ini. Kemudahan ceiling-mounted LCD projector dan skrin automatik serta sistem bunyi wireless banyak membantu kami. Lokasinya juga cantik kerana di laluan utama dan tidak tersorok.

Terima kasih kepada Popular Bookstore, Cik Fadillah, Tn. Zain (PTS Sales), Tn. Alif Firdaus dan mereka yang sudi mendengar celoteh kami.

Advertisements

Hebahan Program

Disember 24, 2008

hebahan-281208

Tempat: Popular Bookstore, Sunway Pyramid

Masa: 2-4 petang

Tarikh: 28 Disember 2008 (Ahad)

Laporan Jualan

Disember 22, 2008

Alhamdulillah, penjualan buku di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa semalam berjalan lancar. Agak banyak juga buku yang terjual dan beberapa judul sold-out juga. Trend pengunjung semalam kebanyakannya adalah orang dewasa 40-an ke atas dan kanak-kanak usia persekolahan. Pengunjung yang berumur 20-30 tahun agak kurang.

Novel sejarah Islam karya Pak Latip menjadi juara apabila Khalid dan Ikramah licin dijual. Hairannya, pembeli pada awalnya tidak nampak sangat apa tajuknya. Tetapi apabila diberitahu apa tajuknya, mereka terus berminat untuk membeli. Mungkin buku-buku Pak Latip ada aura tersendiri.

Buku kanak-kanak yang laku pula adalah Garaj Aiman dan Si Manis Amni: Tabib Kacak. Di sini nampak peranan cover yang ceria untuk menarik perhatian pembeli kanak-kanak. Cover-cover yang gelap jarang disentuh oleh pengunjung.

Sekian sahaja laporan ringkas, hari ini hari pertama semester baru!

Berdagang Buku

Disember 19, 2008

Hari Ahad ini saya dan Syarafuddin akan berdagang buku di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa. Kami membawa buku-buku PTS dengan diskaun menarik!

Kami membuka gerai sempena Program Gaya Hidup Wanita anjuran HELWA Masjid Muadz. Aturcaranya seperti berikut:

7.30 Senamrobik

9.00 Perasmian

10.00 Demonstrasi masakan & gubahan serta pemeriksaan kesihatan

2.00 Forum ‘Wanita, Isteri & Muslimah’ – Dr. Hjh. Robiah K. Hamzah

Jemput datang memeriahkan majlis!

Terapi Sosial Melalui Cerita

Disember 3, 2008

 

Dr. Hans Asperger

Dr. Hans Asperger

Asperger Syndrome merupakan satu keadaan di mana seseorang mempunyai kemahiran komunikasi non-verbal yang rendah, mempunyai empati yang rendah dan cuai dari segi pergerakan fizikal. Sindrom ini adalah sebahagian daripada cabang autism tetapi tidak mengganggu kemahiran kognitif (logik) penghidapnya.

 

Mereka menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan rakan-rakan sebaya kerana kurangnya kebolehan untuk memahami emosi dan bahasa badan orang lain. Sebagai contoh, mereka mungkin terus melakukan sesuatu perbuatan walaupun pihak lain telah merah padam mukanya menunjukkan perasaan marah. 

Di sinilah muncul kecantikan Teori dan Teknik Surah Yusuf. Dalam Teknik Surah Yusuf, pengarang tidak menulis secara terus emosi watak tetapi sebaliknya menulis gerak badan yang menunjukkan emosi atau dinyatakan dalam dialog. Sebagai contoh:

Konvensional: Ahmad meyimbah air kepada Ali. Tetapi Ali tidak berkata apa-apa kerana dia menganggap Ahmad tidak sengaja. Ahmad pula merasa gembira dan menyimbah air lagi kepada Ali tetapi kali ini dia sudah hilang sabar. Dia menyuruh Ahmad berhenti tetapi tidak diendahkannya.

Ahmad menyimbah lagi air kepada Ali dan dia terus dengan keriangannya. Dengan perasaan geram, Ali menghambat Ahmad dan memulas telinganya.

Teknik Surah Yusuf: Ahmad menyimbah air kepada Ali menyebabkan dia basah kuyup. Ali memandang sahaja kepada Ahmad dan tidak berkata apa-apa. Ahmad pula ketawa dan melompat-lompat seperti arnab. 

Sekali lagi Ahmad menyimbah air kepada Ali mengundang Ali menghentakkan kaki serta meninggikan suara, “Cukuplah itu Ahmad!”

Ahmad menyimbah lagi air kepada Ali. Wajah Ali merah padam, tangannya dikepalkan. Sambil mula mengejar Ahmad dia menjerit, “Kau sudah buat aku marah! Siaplah kamu aku kerjakan!”

Teknik Surah Yusuf memberi maklumat yang tidak datang secara alami (natural) kepada penghidap Asperger Syndrome iaitu kemahiran untuk mentafsir gerak badan dan emosi. Oleh itu, cerita yang ditulis secara Teknik Surah Yusuf berpotensi menjadi terapi bagi penghidap Asperger Syndrome.

Sesungguhnya Tuhan yang lebih mengetahui.

Program Penulis Sai-Fai di MPH Mid Valley

Disember 3, 2008

Syukur kerana program penulis Sai-Fai PTS di MPH Mid Valley telah berjalan lancar. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Pn. Kusyi Hirdan yang menyediakan ‘pelan C’ untuk menjayakan program. Semoga program kita yang akan datang dapat dimantapkan lagi. Juga terima kasih kepada rakan-rakan penulis lain iaitu Vovin, Tn. Amir Husaini, & Azrul Jaini. Buat Tn. Fauzul GM PTS pula, terima kasih banyak kerana terus memberi sokongan untuk memantapkan genre Sai-Fai di Malaysia ini. Kepercayaan tuan tidak akan kami sia-siakan.