Archive for Januari 2009

Tiga Artikel di Forward

Januari 29, 2009

forward_feb_00

Cover keluaran Februari dan isu-isu utama

Syukur kerana bulan ini tersiar tiga artikel dalam majalah Forward. Ini merupakan rekod peribadi saya sebagai jumlah artikel paling banyak tersiar dalam masa sebulan, apatah lagi dalam satu majalah yang sama. Terima kasih banyak-banyak kepada Editor Pn. Zakiah Koya yang memberi kepercayaan serta wartawan Fariza Uzmat & Shahfizal Musa yang memberi sokongan.

Jika dilihat senarai artikel di bawah, ternyata bidang yang saya sentuh pelbagai ragam. Pertama tentang seni dan kemanusiaan, kedua tentang teknologi & dakwah, ketiga tentang bangunan dan sejarah pula. Mungkin agak janggal bagi seorang penulis fiksyen sains seperti saya tetapi sebenarnya saya memang mengkaji tentang kesemua bidang itu apabila menulis novel Sayap Adinila & Armada Azur.

Dapatkan majalah Forward di kedai buku berhampiran dengan harga RM5. (MPH & Kinokuniya saya pasti ada)

forward_feb_01

Melihat isu Palestin melalui kaca mata seni 

forward_feb_02

Temuramah Nazri Tekong tentang Quran PSP

dsc_0242

Menyingkap kisah di sebalik masjid-masjid

Advertisements

Ramalan Orson Scott Card Tentang Blogger

Januari 27, 2009

Ender's Game CoverOrson Scott Card adalah novelis sai-fai yang tersohor. Karya sulungnya Ender’s Game memenangi Hugo Award & Nebula Award. Dalam novel tersebut Orson Scott Card membayangkan bagaimana dua adik-beradik Peter & Valentine menggunakan gelaran ‘Locke’ & ‘Demosthenes’ menyertai forum Internet. Dikurniakan akal genius, mereka membuat analisis politik dan mula ‘meracun’ masyarakat global dengan doktrin politik mereka. Semua ini dilakukan tanpa mendedahkan identiti sebenar mereka.

Baru-baru ini IHT melaporkan bahawa seorang blogger yang menggunakan nama ‘Minerva’ telah ditahan oleh pihak berkuasa Korea Selatan. Kesalahannya? Membuat analisis dan ramalan tentang ekonomi. Minerva telah berjaya meramalkan kejatuhan Lehman Brothers dan arahan kerajaan Korea Selatan kepada syarikat-syarikat supaya berhenti membeli US Dollar. 

Kes ini sangat menarik kerana ada beberapa persamaan. Pertama, nama Minerva & Demosthenes adalah berasal dari peradaban Greek. Kedua, dunia Ender’s Game dan Korea Selatan mencatatkan peratusan penggunaan internet yang tinggi. Akhir sekali Locke, Demosthenes & Minerva tidak pernah ke universiti. Analisis mereka bergantung kepada pembelajaran dan pemerhatian mereka sendiri semata-mata!

Nota: Ender’s Game diterbitkan pada tahun 1985 sebelum penggunaan internet menjadi meluas dan istilah blog digunakan.

Perkembangan Terkini

Januari 23, 2009

Alhamduillah, manuskrip novel kedua dalam Saga Empayar Kristal sudah siap dan sudah dihantar kepada Editor. Jika tiada aral melintang, Armada Azur akan menemui anda semua di Pesta Buku Antarabangsa bulan April nanti.

Sekarang, saya rehatkan sebentar siri Saga Empayar Kristal dan merekabentuk novel baru yang lebih hampir dengan pengajian saya. Semester ini memang penuh dengan ilmu-ilmu tentang keselamatan siber jadi saya bawa konsep-konsepnya kepada novel baru ini.

Tambahan pula, saya berpeluang menyertai satu sesi latihan keselamatan siber dengan CyberSecurity Malaysia pada minggu lepas. Tamat sahaja latihan, idea datang mencurah-curah untuk novel baru. Terima kasih kepada Pn. Sarah yang mengusahakan saya dan rakan saya untuk masuk ke sessi tersebut dan duduk sebaris dengan professional IT dari pelbagai agensi kerajaan.

 

From Bengkel Penulisan 11 Jan 2009

Dalam masa yang sama pula, saya sudah dua kali membantu Zamri Mohamad mengadakan bengkel penulisan artikel untuk majalah. Sambutan yang diberi oleh para peserta sangat menggalakkan dan saya sendiri banyak belajar perkara baru dengan mereka. Terima kasih kepada Syarafuddin, Robot, dan Haeqal yang turun memberikan sokongan.

From Bengkel Penulisan 11 Jan 2009

Repositori Artikel

Januari 14, 2009

scribd

Sekarang, semua artikel dan cerpen saya boleh dibaca di http://www.scribd.com/people/view/6395443-firdaus-ariff . Saya fikir, Scribd.com ini memudahkan pengurusan dokumen dan bertindak sebagai backup juga. Tambahan pula, pembaca tidak perlu download untuk membaca kerana adanya sistem viewer.

Apa lagi rakan-rakan penulis? Uploadlah karya anda yang lalu ke scribd.com!

Trivia Di. Ar. Ti.

Januari 9, 2009

drt

1. Tajuk asal novel ‘Manuklon’ adalah ‘Bumi Manuklon’. Ini dinyatakan sebagai novel akan datang Dr. Rahmat Haroun pada kulit belakang buku.

2. Dr. Rahmat Haroun menjangkakan bahawa salah satu calon akhir angkasawan negara adalah seorang doktor yang berkhidmat dalam angkatan tentera. Pencalonan Mejar Dr. Faiz Khalid dan Dr. Sheikh Muzaphar membuktikan telahan beliau tepat.