Archive for the ‘Bengkel’ Category

Sticker Kereta Penulis

Mei 20, 2009
From Drop Box

Ini sticker paling atas, mempromosi syarikat penerbitan dan juga untuk membezakan kereta saya dengan kenderaan lain yang sama modelnya. Iyalah, kereta saya biasa-biasa sahaja dan dimiliki sekian ramai manusia. Tetapi pada hari pertama saya meletak sticker ini saya tersalah kereta juga! 

From Drop Box

Sticker ini sebenarnya adalah iklan bagi lebuhraya DUKE yang menjadi pilihan saya untuk merentas kota. Saya amat suka mesejnya yang mengatakan ada perkara lebih yang boleh dibuat daripada tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Tambah pula dengan imej buku nota dan pensel, memang bergaya penulis!

Dua minggu lepas saya ‘berpeluang’ berulang-alik antara Putra Jaya dan UIA Gombak. Ternyata perjalanan tersebut begitu meletihkan dan membunuh produktiviti menulis. Ya, memang baik menulis di rumah daripada merangkak di lebuhraya!

Ketahui cara menjadi penulis bebas dengan mengikuti Bengkel Sehari Penulis Bebas.

Cerita Dari Sarawak III

April 12, 2009

Tuan Zamri sudah sibuk bertanya tentang cerita bengkel di Sarawak tempoh hari, itu sahaja ditanya setiap kali berhubung. Entri lepas sudah bercerita dengan sekali imbas cuma, kali ini saya akan perincikan tentang pengendalian bengkel itu sendiri.

Bengkel ini sebenarnya sebagai mengisi modul Kursus Latihan Kader Dakwah khususnya dakwah melalui media cetak. Oleh itu, saya banyak bercerita tentang peranan media dalam mencorak masyarakat terutamanya dalam soal membina norma dan persepsi.

From Bengkel Penulisan Remaja Sarawak

Sebagai kajian kes kuasa media, saya mengambil contoh kempen Barack Obama. Kempen beliau menarik kerana banyak menggunakan media baru seperti blog dan rangkaian sosial internet. Petugas media beliau juga berjaya melepasi putar belit gergasi media Amerika Syarikat. Namun walau apa jenis media yang digunakan, penulis masih menjadi tulang belakang penghasilan bahan media. Perkara itulah yang saya tekankan.

From Bengkel Penulisan Remaja Sarawak

Kerana rata-rata peserta adalah pelajar, saya juga berkongsi menyesuaikan tips-tips penulisan dengan menyiapkan tugasan sekolah dan universiti terutamanya tentang KJ Method, adaptasi dan pengurusan maklumat.

Sesi soal jawab memang kamboh (meriah) dengan soalan yang bertalu-talu mencakupi skop penulisan yang luas seperti lirik, puisi, hakcipta, artikel, cerpen dan penerbitan. Ada juga yang bercita-cita untuk menghasilkan buku ilimah. Jawapan saya itu lebih praktikal sebagai tesis Masters atau PhD. 

From Bengkel Penulisan Remaja Sarawak

Dalam bengkel kali ini, sempat juga saya menyelitkan modul penulisan cerita menggunakan Teknik Surah Yusuf. Sebagai latihan, saya meminta mereka berkongsi kejadian paling lucu di dalam kelas. Dari situ saya dapat belajar tentang budaya di Sabah dan Sarawak. 

Alhamdulillah, saya tidak menghadapi banyak masalah dengan dialek  Sarawak. Saya dapat faham percakapan mereka walau sik (tak) mampu membalas dalam dialek mereka. Cuma saya menukar sedikit pemilihan kata dan intonasi supaya lebih hampir dengan dialek mereka. Para peserta pun terdiri dari generasi muda dan dialek mereka tidak sebegitu pekat untuk saya hadam.

Mungkin kalau saya dapat ke sana 2-3 kali lagi saya akan fasih dialek Sarawak. Malah ada peserta yang menyangka saya orang Sarawak!

Cerita Dari Sarawak II

April 6, 2009

Seperti yang dijanjikan, ini cerita lebih lanjut tentang perjalanan saya ke Sarawak. Ini bukanlah kali pertama saya ke Sarawak malah sudah masuk kali ketiga. Bezanya kali ini saya terbang sendirian dan untuk urusan kerja. Tetapi ada jugalah beberapa perkara ‘pertama’ yang berlaku sepanjang perjalanan ini. Antaranya pertama kali menempah limo untuk ke KLIA, selama ini ke sana hanyalah dengan ERL, bas atau kereta. Kemudian pertama kali juga menggunakan kiosk self check-in. Sudahlah cepat, dapat pula memilih tempat duduk.

From Bengkel Penulisan Remaja Sarawak

Kemudian saya dimaklumkan bahawa saya akan menaiki pesawat Airbus A330-300, bukannya Boeing 737 seperti biasa. Disebabkan penerbangan pagi Jumaat itu tidak ramai penumpang, maka keluasan pesawat itu memang sangat terasa. Saya mengambil tempat duduk dan pesawat berlepas seperti yang diajdualkan. 

Pesawat mendarat di Kuching International Airport sedikit awal daripada yang diajdualkan tetapi kelebihan masa itu hangus begitu sahaja bahana proses mengambil bagasi yang lambat. Penumpangnya memang tidak ramai tetapi sekumpulan kakitangan Jabatan Latihan Khidmat Negara dan TLDM membawa barang yang begitu banyak dan besar. Tentunya itu menyukarkan pekerja di bahagian bagasi.

Baru sahaja hendak menelefon pihak penganjur, sudah kelihatan beberapa orang pegawai Pusat Latihan Sarawak menunggu dengan sekeping kertas tertera nama saya. Selepas bersalaman, kami menaiki kereta meninggalkan KIA. Ini juga adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di KIA setelah pengubahsuaiannya siap. Kini KIA sudah menjadi seakan-akan mini KLIA.

Kami tidak terus ke Pusat Latihan Sarawak yang terletak di Matang tetapi singgah dahulu di pejabat JAKIM Sarawak di Satok dan makan di Semarak, Petra Jaya. Oleh kerana saya sudah merasa Mee Kolok, kali ini saya memilih untuk merasa Mee Pok pula. Mee ini memang ternyata hidangan ala-Cina dan tidak jauh bebeza daripada Mee Kolok. Perbezaan utamanya adalah mee yang digunakan adalah mee gandum leper.

“Ustaz pernah baca Ayat-ayat Cinta?”

Saya diam sebentar, ada ramai ustaz di sini. Soala itu datang dari Ustaz Hasfa, di sebelah saya pula ada Ustaz Tarmizee. Di belakang pula ada seorang pegawai lagi, mungkin ustaz juga. Tetapi apabila mendapati tiada sesiapa yang menjawab, tahulah bahawa ustaz itu ditunjukan kepada saya. Ah, canggung betul rasanya. Sudahlah saya seorang berkemeja, berjaket dan berseluar jeans. Kontra betul dengan mereka semua yang berbaju Melayu.

“Saya belum khatam novelnya, hanya sudah menonton filemnya.”

Jalan ke Telaga Air beralun dan bengkang-bengkok merentas pekan dan kampung-kampung. Saya tidak tidur kerana mahu menikmati pemandangan, memerhatikan gaya hidup di luar Bandaraya Kuching. Ustaz Hasfa yang sudah masak dengan jalan itu tidur sahaja walau kereta agak melambung-lambung.

From Bengkel Penulisan Remaja Sarawak

Tiba di Pusat Latihan Sarawak, saya diberikan bilik VIP. Selepas berehat sebentar, sudah masuk waktu Solat Jumaat. Kami pergi ke Masjid Telaga Air yang terletak tidak jauh dari PLS. Khutbahnya adalah berkisar tentang Jenayah Juvana sempena ulang tahun pasukan polis. Saya mendapati dalam doa kepada pemimpin tidak disebut nama melainkan jawatannya semata-mata. Berbeza dengan doa Solat Jumaat di Wilayah Persekutuan yang menyebut dengan penuh nama Yang Di-Pertuan Agong.

From Bengkel Penulisan Remaja Sarawak

Petang itu diadakan perlawan futsal persahabatan antara PERKEPIS dan JAKIM bagi merasmikan padang futsal yang baru siap. Saya menontonnya sebentar sebelum keluar berjalan di Kampung Telaga Air bersama Abang Syed. Kami tidak lama di situ kerana hujan lebat datang mencurah.

From Bengkel Penulisan Remaja Sarawak

Sebelah malamnya pula, tidak banyak yang saya lakukan melainkan menyemak semula slaid dan mengedit bahagian yang perlu. Siap mengedit, saya melayari internet menggunakan talian Celcom 3G Daily Unlimited. Pakej ini memang efektif apabila anda sekali-sekala berjauhan daripada WiFi dan Streamyx. Dengan harga RM6 sehari, memang berbaloi.

Teringat sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di Sarawak 5 tahun dahulu, caj telekomunikasi begitu mahal. Hendak menelefon teman kembara pun sudah RM1.50 seminit kerana dikira kita menelefon dari Kuching ke Semenanjung. Sekarang, semuanya kadar rata 15sen seminit!

Cukuplah cerita hari pertama setakat ini, nanti saya sambung lagi.

Cerita Dari Sarawak

April 1, 2009
From Bengkel Penulisan Remaja Sarawak

Alhamdulillah, Bengkel Penulisan Remaja di Pusat Latihan Sarawak pada 28 Mac 2009 berjalan lancar. Sungguhpun pertama kali mengendalikan bengkel secara solo, pengalaman bersama Tuan Zamri Mohamad sangat membantu. Juga ucapan terima kasih khas buat Suadara Azrul Jaini yang membantu. Jika tidak kerananya, kemungkinan besar saya sudah kehilangan suara di hujung sesi 6 jam tersebut.

Secara asasnya, bengkel ini tidak jauh berbeza dari Bengkel Penulis Bebas yang dikendalikan oleh Tuan Zamri Mohamad. Tetapi, kerana ini adalah bengkel anjuran JAKIM dan PERKEPIS maka banyak dimasukkan tentang pengaruh media dan peranannya dalam dakwah. Perbezaan kedua pula adalah para peserta terdiri dari semuda tingaktan 4 hinggalah lepasan maktab perguruan. 

Buat masa ini, saya tidak sempat berbicara panjang maka silalah melayari album gambar di sini.

forward_april

Oh ya, artikel saya tentang OIC Computer Emergency Resposne Team tersiar dalam majalah Forward keluaran April.