Archive for the ‘Buku’ Category

Singgah ke Pustaka Munirah

Julai 1, 2009
From Pustaka Munirah

Sabtu lepas, saya menghadiri walimah rakan sekelas di Kemaman. Sebelum pergi ke sana, teringat tentang Tn. Saifuddin – pemilik Pustaka Munirah yang aktif di UNIKA PTS.  Saya buka internet, cari nombor beliau dan terus sahaja mengatakan bahawa saya akan singgah dalam perjalanan pulang. Beliau juga mengatakan ada undangan walimah yang perlu dipenuhi, jadi elok sangatlah saya pergi menghadiri walimah dahulu.

From Pustaka Munirah

Pustaka Munirah menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti buku, novel, alat tulis dan percetakan digital. Semasa saya datang, agak ramai pengunjung yang sedang membeli-belah. Buku-buku PTS memang banyak di sini di samping novel-novel Alaf21. Kedai Tn. Saifuddin tidak menjual majalah, leceh menguruskannya kata beliau. Tetapi, Komik-M ada dijual di sini.

From Pustaka Munirah

Alhamdulillah, Tn. Saifuddin mengatakan bahawa perniagaan beliau berkembang baik dengan peningkatan pendapatan setiap tahun. Pendapatan datang daripada pelanggan walk-in dan pembekalan alat tulis pejabat kepada syarikat-syarikat sekitar. Kontrak kerajaan dan LO? Itu bukan mainan Tuan Saifuddin.

Beliau juga menunjukkan kepada saya gambar-gambar kedai baru Pustaka Munirah yang akan menjadi cawangan utama. Kedai sedia ada akan kekal sebagai kedai alat tulis.  Katanya, kedai baru akan menawarkan suasana yang lebih menarik untuk para peminat buku. Beliau mengakui susun atur kedai sekarang kurang sesuai untuk menjual buku. Rak-rak yang ada sebenarnya lebih sesuai untuk menjual barangan runcit.

firdaus-n-saifuddin-crop

Sebelum pulang, bergambar terlebih dahulu. Rupa-rupanya novel-novel saya iaitu Sayap Adinila dan Armada Azur ada dijual di Pustaka Munirah. Jadi orang Kemaman tahulah di mana hendak mendapatkan novel saya ya!

Terima kasih diucapkan kepada Tn. Saifuddin dan semoga Pustaka Munirah terus sukses!

Advertisements

Berhenti Menjadi Penulis Miskin!

Mei 10, 2009
From Drop Box

Buku tulisan Badai Fisilmikaffah ini memang menarik perhatian saya. Lebih-lebih lagi dengan tanda amaran “Stop Menjadi Penulis Miskin!” yang terpampang di muka buku. Bukunya nipis dan ringkas tetapi memberi gambaran luas kepada dunia penulisan. 

Buku Jurus Maut Menulis Buku Best Seller ini hanya setebal 164 halaman sahaja tetapi menyentuh soal motivasi penulis, menulis novel, artikel dan buku non-fiksyen. Malah, perdebatan memilih penerbit atau terbit sendiri turut dimuatkan. 

Dengan sebegitu banyak isu yang dibincangkan tentu sekali setiap satu disentuh sepintas lalu cuma. Namun begitu, saya kira itu sudah cukup untuk penulis yang baru memulakan langkah dalam industri. Kekurangan ketara buku ini adalah ketiadaan bab yang dikhususkan untuk hakcipta.

Selain dari itu, buku ini juga memberi motivasi kepada penulis dan meggambarkan bagaimana penulis harus merancang kewangannya hasil penulisan. Secara keseluruhannya, buku ini positif namun realistik kepada industri penerbitan dan penulisan.

Santapan Minda

Mei 4, 2009

Beberapa minggu kebelakangan ini memang banyak bahan bacaan & multimedia yang saya beli sebagai rujukan. Pembelian sudah bermula sebelum Pesta Buku kemudian berterusan selepas itu apabila berkelana ke Tanah Jawa. Kemudian ditambah pula dengan kiriman barang dari Jepun.

Set Pesta Buku

From Buku & Bahan
  1. Panggil Aku Melaju – Rahmat Haroun Hashim
  2. Prau With The Silent Soul – Faisal Tehrani (Terjemahan Zawiyah Baba)
  3. Sea of Rainbows – Dikelolakan oleh SN Muhammad Hj. Salleh
  4. Adi Gempa: Evolusi – Bahruddin Bekri
  5. Satu Eterniti: Urana Exham – Kusyi Hirdan (Ini cenderamata sebagai panelis Forum Sai-Fai)
  6. Takluk Jagat: Amukan Indera Bumi – Zaki Zainol
  7. Shoot – Reja
  8. Hibid #1 – Aviltone
  9. TwinX #2 – PAC
  10. Orang Kuat – Alif Firdaus Azis
  11. Kartini – Tembakau

Set Tanah Jawa

From Buku & Bahan
  1. Cahaya Hati (CD) – Opick
  2. Semesta Bertasbih (CD) – Opick
  3. Laskar Pelangi DVD – Mizan Production
  4. Perempuan Berkalung Sorban VCD
  5. Jurus Maut Menulis Buku Best Seller – Badai Fisilmikaffah
  6. ORB – Galang Lufityanto
  7. Mekanika Langit – Muhammad Akrom
  8. Kumpulan Peribahasa Indonesia – Imam Budhi Sentosa
  9. Cyber Law & HAKI – Prof. Dr. H. Ahmad
  10. Ninja – Stephen Turnbull (Edisi Terjemahan oleh Gramedia, dilesesn dari Osprey)
  11. Waffen SS: Pasukan Eslite Nazi – Bruce Quarrie (Edisi Terjemahan oleh Gramedia, dilesesn dari Osprey)
  12. Green Beret – Gordon Roffman (Edisi Terjemahan oleh Gramedia, dilesesn dari Osprey)

*Kebanyakannya dibeli di Toko Buku Gramedia di Bandung

Set Jepun

From Buku & Bahan
  1. trust you (CD) – Yuna Ito [Gundam 00 Edition] (Dibelikan oleh Tn. Amir Husaini)
  2. I am a Cat – Soseki Natsume (Beli di Kinokuniya)

Sekarang, tiba masanya untuk menikmati semua ini!

Baru Pulang Dari Tanah Jawa

April 30, 2009

Alhamdulillah, saya sudah selamat pulang dari Tanah Jawa. Secara spesifiknya saya telah berkelana ke Jakarta, Cipanas, & Bandung. Banyak pengalaman baru yang diperolehi sepanjang kelana dengan melihat tempat baru, kehidupan masyarakat dan tentu sekali buku-buku baru. 

Paling tidak, sudah 7 buah buku dibeli dalam kelana ini. Tambah pula dengan sekitar 10 buah buku yang dibeli semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Saya sambung menulis nanti, sekarang saya perlu mengejar deadline untuk menghantar artikel ke majalah Forward!

Cerita dari Piramid Sunway

Disember 30, 2008

Pertama kali menjejakkan kaki ke Popular Bookstore di Sunway Pyramid, saya dan Syarafuddin terus pergi memeriksa rak buku Melayu mereka. Ada sekitar empat baris rak dan memuatkan buku pelbagai genre dengan susunan yang kemas. Fikir kami, laju juga jualan buku Melayu di cawangan ini.

Kami tiba awal kerana kurang mahir dengan kawasan tersebut. Tn. Alif Firdaus yang datang memberi sokongan memberitahu bahawa selepas pukul 2 sangat sukar mendapat tempat letak kereta. Nasib baik kami dan Cik Fadillah tiba awal, tetapi Tn. Vovin pula terpusing-pusing setengah jam mencari tempat untuk memojokkan kereta.

From Penulis PTS di Sunway Pyramid

Syarafuddin kali ini bersedia dengan slaid tetapi itu tidak banyak membantu untuk menghadapi kelompok yang rata-ratanya bukan Melayu kerana bicaranya ada kaitannya dengan sistem nilai. Jualan buku Melayu memang laju tetapi hari tersebut ramai yang pulang ke kampung agaknya!

From Penulis PTS di Sunway Pyramid

Untuk sessi fiksyen sains pula, Vovin memulakan bicara dengan menemuramah saya. Kemudian, saya tayangkan pula slaid yang menunjukkan ciptaan yang dulunya angan-angan dalam fiksyen sains yang menjadi realiti saintifik kini. Nampaknya ramai juga yang ralit menonton bicara tentang topik tersebut. Tamat bicara, Vovin dan saya bersetuju bahawa slaid itu adalah bahan yang baik dan perlu dimantapkan lagi.

From Penulis PTS di Sunway Pyramid

Kami juga sepakat mengatakan bahawa ruang aktiviti di Popular Sunway Pyramid ini adalah yang terbaik setakat ini. Kemudahan ceiling-mounted LCD projector dan skrin automatik serta sistem bunyi wireless banyak membantu kami. Lokasinya juga cantik kerana di laluan utama dan tidak tersorok.

Terima kasih kepada Popular Bookstore, Cik Fadillah, Tn. Zain (PTS Sales), Tn. Alif Firdaus dan mereka yang sudi mendengar celoteh kami.

Laporan Jualan

Disember 22, 2008

Alhamdulillah, penjualan buku di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa semalam berjalan lancar. Agak banyak juga buku yang terjual dan beberapa judul sold-out juga. Trend pengunjung semalam kebanyakannya adalah orang dewasa 40-an ke atas dan kanak-kanak usia persekolahan. Pengunjung yang berumur 20-30 tahun agak kurang.

Novel sejarah Islam karya Pak Latip menjadi juara apabila Khalid dan Ikramah licin dijual. Hairannya, pembeli pada awalnya tidak nampak sangat apa tajuknya. Tetapi apabila diberitahu apa tajuknya, mereka terus berminat untuk membeli. Mungkin buku-buku Pak Latip ada aura tersendiri.

Buku kanak-kanak yang laku pula adalah Garaj Aiman dan Si Manis Amni: Tabib Kacak. Di sini nampak peranan cover yang ceria untuk menarik perhatian pembeli kanak-kanak. Cover-cover yang gelap jarang disentuh oleh pengunjung.

Sekian sahaja laporan ringkas, hari ini hari pertama semester baru!

Berdagang Buku

Disember 19, 2008

Hari Ahad ini saya dan Syarafuddin akan berdagang buku di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa. Kami membawa buku-buku PTS dengan diskaun menarik!

Kami membuka gerai sempena Program Gaya Hidup Wanita anjuran HELWA Masjid Muadz. Aturcaranya seperti berikut:

7.30 Senamrobik

9.00 Perasmian

10.00 Demonstrasi masakan & gubahan serta pemeriksaan kesihatan

2.00 Forum ‘Wanita, Isteri & Muslimah’ – Dr. Hjh. Robiah K. Hamzah

Jemput datang memeriahkan majlis!

Kata Pak Samad

Ogos 28, 2008

Eyes of a Great Writer

Semalam terjumpa Pak Samad di MPH Mid Valley semasa hendak berjumpa kawan-kawan lama zaman sekolah dahulu. Saya bertanya padanya, “Apa buku menarik Pak Samad jumpa hari ini?”

“Banyak buku menarik, tetapi tidak cukup duit untuk menariknya!”

Buku Pilihan: Introducing Media Studies

Ogos 27, 2008

Secara purata, individu berumur 60 tahun telah mendengar, melihat atau membaca 50 juta iklan sepanjang hidupnya. Kita juga mendapat berita sepanjang waktu dari radio, televisyen, dan internet. Media memang berlegar sekitar hidup kita jadi apa kata kita cuba memahaminya?

Buku tulisan Ziauddin Sardar ini memberi pengenalan yang segar dan menarik tentang apa itu media. Illustrasi gila-gila Borin Van Loon pula melengkapkan buku ini untuk memberi gambaran yang lebih jelas lagi.

Beberapa fenomena media diterangkan dalam buku ini seperti:

  • Adakah cerita ganas menyebabkan kanak-kanak terpengaruh?
  • Bagaimana iklan menimbulkan keinginan untuk membeli?
  • Apa maksudnya iklan rokok yang tidak menunjukkan rokok?
  • Mengapa hujanan berita di media sukar mengubah pilihan dalam politik?

Harga buku ini adalah RM38.50 dan jumlah itu memang pelaburan yang berbaloi untuk memahami dunia serta realiti kita yang dibentuk media dan membentuk media.