Archive for the ‘Cerpen’ Category

Sai-Fai Melayu Berangan Sahaja?

Mei 5, 2009
From Minikon Sai-Fai

Semasa Minikon & Forum Sai-Fai Malaysia yang berlangsung sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur telah datang satu soalan yang dikira agak kurang beradab. Saya katakan kurang beradab kerana seorang hamba Allah telah melemparkan kata-kata bahawa Sai-Fai Melayu tidak ada arah dalam ideologi dan nilainya. Walhal sepanjang forum berlangsung isu nilai dan ideologi itu sering muncul.

Apakah benar Sai-Fai Melayu (yang juga Muslim) tidak ada nilai dan ideologi? Terus-terang saya mengatakan itu satu dakwaan yang tidak adil sama sekali.

1. Sai-Fai Barat mempunyai kecenderungan untuk membuang Tuhan dan percaya kepada kuasa manusia melalui sains semata-mata. Ini persoalan nilai akidah yang paling penting disangkal oleh Sai-Fai Melayu. Sai-Fai Melayu senantiasa meletakkan bahawa walau seampuh mana sains & teknologi yang dikuasai manusia, hanya izin Tuhan yang membenarkannya berlaku. Aspek kesyukuran terhadap penguasaan sains & teknologi juga diterapkan dalam Sai-Fai Melayu.

2. Sai-Fai Melayu juga memupuk sifat yakin diri bahawa kita mampu menguasai sains & teknologi. Tulisan-tulisan itu adakalanya menjadi self-fulfilling prophecy. Contoh terbaik adalah telahan Dr. Rahmat Haroun Hashim bahawa seorang doktor akan menjadi angkasawan pertama Malaysia.

3. Selain daripada sifat percaya diri, Sai-Fai Melayu juga memberi panduan tentang apa yang perlu dilakukan dengan sains & teknologi. Sebagai contoh, Galaksi Muhsinin karya Azrul Jaini menunjukkan bahawa penguasaan teknologi force field shield haruslah digunakan untuk melindungi rakyat dan sekutu dalam misi rahmatan-lil-alamin.

4. Persoalan etika juga dibawa dalam Sai-Fai Melayu, terutamanya tentang soal eksperimen. Misalnya Transgenesis karya Amir Husaini membahaskan tentang etika menggabungkan genetik manusia dengan haiwan. Lebih menarik, subjek yang dihasilkan itu tidak mengakui itu tidak mengakui bahawa dia adalah ciptaan manusia tetapi tetaplah hamba Allah jua.

5. Isu halal-haram juga dibahaskan dalam Sai-Fai Melayu seperti isu daging sintetik yang diselitkan dalam Manuklon karya Dr. Rahmat Haroun Hashim. Adakah halal daging lembu sintetik yang digabungkan dengan gen babi untuk meningkatkan hasilnya? Daging sintetik adalah kajian yang sedang berlangsung sekarang dan mungkin memasuki pasaran 5-10 tahun lagi.

6. Nilai-nilai kekeluargaan juga diangkat melalui Sai-Fai Melayu seperti cerpen Virus Zel Untuk Abah karya Mawar Shafei. Cerpen ini menunjukkan bahawa seseorang itu tidak harus berdendam walau sengketa telah menyebabkan ahli keluarga tidak sehaluan lagi.

Nah, inilah bukti-bukti bahawa Sai-fai Melayu bukanlah sedangkal yang disangka. Ini baru sebahagian sahaja, banyak lagi perkara yang dikupas dalam Sai-Fai Melayu yang sebenarnya sangat relevan dengan perjuangan agama dan bangsa.

Advertisements

Repositori Artikel

Januari 14, 2009

scribd

Sekarang, semua artikel dan cerpen saya boleh dibaca di http://www.scribd.com/people/view/6395443-firdaus-ariff . Saya fikir, Scribd.com ini memudahkan pengurusan dokumen dan bertindak sebagai backup juga. Tambahan pula, pembaca tidak perlu download untuk membaca kerana adanya sistem viewer.

Apa lagi rakan-rakan penulis? Uploadlah karya anda yang lalu ke scribd.com!

Festival Filem Pendek MASKARA

November 3, 2008

Pada 1 November 2008, Rumah PENA digegarkan lagi dengan gerombolan peminat seni. Kali ini pengunjung yang hadir melimpah-ruah dan tayangan dibuat di luar rumah. Sekitar 20 filem pendek telah ditayangkan tanpa sebarang penerangan daripada para pengarah – penonton perlu buat interpertasi sendiri.

Filem pendek yang ditayangkan pelbagai ragam dan pelbagai genre – aksi, drama, komedi, parodi, surreal dan fiksyen sains. Ada yang seni untuk seni, seni untuk masyarakat dan seni untuk diri sendiri. 

Bagi saya sendiri, filem-filem pendek yang menarik perhatian adalah yang membawa komentar sosial sebagai mesejnya. Antaranya adalah Surat Seorang Ibu karya Saiful Nang, Grip Phone karya Tok Rimau, Lost Communication, Sebuah Karangan Bertajuk Kuala Lumpur, dan Melayu 106 oleh Mamat Khalid.

Jika ada undian untuk filem terbaik MASKARA Shorties, tentu sekali saya akan mengundi Surat Seorang Ibu kerana sinerginya antara seni dan mesej. Ceritanya ringkas, mesejnya relevan dan ditambah pula dengan sinematografi yang hebat. Mamat Khalid sendiri bertanya, “Siapa yang buat cerita Yasmin Ahmad tu?” semasa menunggu semua pengarah berkumpul di dalam Rumah PENA.

Apabila diperhatikan filem-filem pendek itu, ternyata cerita yang kuat mempunyai persamaan dengan ciri-ciri cerpen. Jumlah watak antara 1-3, hanya 1-2 latar tempat dan 1 tema. Ringkas dan padat.

Album foto MASKARA Shorties boleh dilihat di sini.

Sudah Online: Cerpen Putaran Masa

Oktober 29, 2008

Cerpen Putaran Masa yang tersiar dalam Dewan Kosmik Oktober 2008 kini sudah dimuatkan di blog ini.

Cerpen Terbaru di Dewan Kosmik

Oktober 8, 2008

  Alhamdulillah, setelah hampir setahun cerpen saya tersiar sekali lagi di Dewan Kosmik. Cerpen ini adalah yang paling cepat ditulis iaitu dalam masa sejam lebih sahaja tetapi mengambil masa paling lama untuk diterbitkan iaitu enam bulan. Kata editor pada masa itu telah bersusun cerpen-cerpen lain maka saya tunggu sahajalah. Biasalah penulis perlu tunggu giliran. 🙂

Kali ini, tajuknya adalah ‘Putaran Masa’ – sebuah cerpen fiksyen sains tentang merentas masa dan privasi data beserta kritik sosial.

Krang! Berderai bunyi kaca akibat dihentam tubuh Proto. Tetapi dia tidak terkesan sedikit pun sebaliknya berpusing untuk menyambut ketuanya. Senjata pula sudah disimpan di dalam jaket.

 

Keluar sahaja dari portal masa, Johan terus bertanya. “Kita di mana?”

“Plaza Pantai, tahun 2008. Sasaran kita sudah berlari ke arah stesen LRT.”

Johan sekadar angguk sedikit lalu kembali menjejak buruan mereka. Proto membiarkan ketuanya bergerak terlebih dahulu, dia mengambil masa satu minit untuk mengemaskini peta dalam paparan implan retinanya.

Untuk baca lebih lanjut, sila dapatkan Dewan Kosmik keluaran Oktober!

Update: DBP begitu pantas menghantar cek royalti, baru sahaja dapat! (9/10)

Concept Art: Komando 2069

Januari 30, 2008

azmeer_basic_s.jpg azmeer_jet-copy.jpg
Jika sebelum ini anda hanya dapat membaca cerpen Komando 2069, kini dipersembahkan concept art untuk siri ini. Ilustrasi di atas adalah hasil kreativiti Saudara Riza berdasarkan teks cerpen versi mBook. Gambar atas adalah ekso-sut yang dipandu Azmeer dalam konfigurasi asas dan di bawah pula dikonfigurasi bersama pod jet mobiliti.

Mengikut perancangan, Komando 2069 akan dijadikan siri mBook tetapi masih belum selesai prosedurnya. Tambah pula dengan ujian-ujian pertengahan semester yang menjelang membuatkan saya sedikit sibuk. Nanti akan saya upload lagi lakaran-lakarannya.

Nota: Saudara Riza memang seorang illustrator sepenuh masa maka silalah menghubungi beliau jika memerlukan illustrasi.

Satu Per Satu Gogool?

Januari 7, 2008

gapura_dimensi2.jpg

Gogool? Bukan Google? Satu gogool bersamaan 10 kuasa 100, yakni 10 diikuti 100 sifar. Bayangkan 1 dalam 1 googol, tentunya amat mustahil! Begitulah betapa mustahilnya peristiwa dalam cerpen Gapura Dimensi.

Pertama, untuk menghasilkan anti-matter bagi menjana Gapura Dimensi seseorang memerlukan Large Hadron Collider. Mesin gergasi yang ditempatkan di CERN ini dijangka akan beroperasi menjelang November 2008. Sementara menunggu mesin itu siap, para saintis mengira kemungkinan untuk beberapa penemuan berlaku.

Menurut para saintis, kemungkinan untuk mendapat antimatter adalah 3 per 7*.  Nisbah yang agak baik, tetapi bagaimana pula kemungkinan untuk menghasilkan dalam jumlah yang banyak? Mungkin 1 per 1 juta*.

Kemudian ada di kalangan saintis yang membuat spekulasi bahawa peluang untuk membuktikan kewujudan dunia alternatif  adalah 1 per 10 juta*. Belum lagi merentas ke dunia alternatif itu seperti dalam Gapura Dimensi!

Oleh itu, kemungkinan peristiwa dalam Gapura Dimensi untuk berlaku adalah:

Kemungkinan Penemuan Antimatter X Penghasilan Antimatter Dalam Kuantiti Besar X Kewujudan Dunia Alternatif X Penghasilan Wormhole Selamat**

= 3 / 7 X 1 /1 Juta X 1/10 juta X 1/1000 juta

= ???  (Kalkulator pun tidak dapat kira)

Jika sebegitu mustahil, mengapa banyak karya fiksyen sains yang melibatkan dunia alternatif ditulis? Dunia alternatif itu selalunya semata-mata satu alat dalam plot untuk membolehkan penulis meneroka kemungkinan.

Kemungkinan-kemungkinan itu boleh sahaja untuk memeriksa kembali sejarah; contohnya dunia di mana Jepun yang berpecah menjadi Jepun Utara dan Jepun Selatan. Atau mungkin sahaja untuk membayangkan impak teknologi pada masa hadapan; contohnya dunia tanpa minyak tetapi dijana oleh kristal.

Nota: * Sumber dari Majalah Popular Science ** Spekulasi Penulis 

AMUK

November 11, 2007

Mempersembahkan cerpen fiksyen sains karya Ahmad Patria Abdullah. Terima kasih banyak-banyak kepada penulis fiksyen sains Anis Sarah kerana sudi scan dan berkongi bahan dari arkibnya.


Senja merah telah pun bertukar menjadi malam hitam ketika aku sampai di rumah. Proton Solarku berdesir perlahan dan kemudian terus senyap apabila aku mematikan enjinnnya di dalam garaj. Perlahan-perlahan katarodku mendarat di atas bumi. Pintunya terbuka secara automatik. Aku pun melangkah keluar dengan perasaan lega setelah sehari suntuk bekerja di pejabat. Pak Karim yang setia menantiku, seperti biasa menyambutku dengan senyum mesra.

“Assalamualaikum, Mus,” katanya sambil menyambut begku.

“Waalaikumussalam,” sahutku sambil membalas senyumannya.

“Bagaimana dengan kerja Mus hari ini? Bagus?” tanya Pak Karim semasa mengiringi aku ke dalam rumah.

“Seperti biasa. Tandatangan itu, tandatangan ini, naik lenguh tangan,” ujarku separuh berjenaka.

Wajah Pak Karim yang sudah separuh abad itu menguntumkan sebuah senyuman mesar. Namun tubuhnya yang sihat dan gagah itu seolah-olah menafikan bahawa umurnya telah lanjut. Dia telah bekerja denganku selama sepuluh tahun. Dalam tempoh itu, dia telah membuktikan dirinya sebagai seorang yang patuh, setia dan amanah terhadap tugasnya. Sikapnya yang memahami jiwaku sebagai seorang yang lebih muda darinya menyebabkan terjalinnya satu talian hubungan yang erat di antara kami. Orang seperti Pak Karim, amat sukar ditemui. Aku bertuah mempunyai penjaga rumah sepertinya.

“Ah, tapi tandatangan seorang jutawan seperti Mus tentu jauh lebih berharga, mungkin bernilai jutaan ringgit jika dibandingkan dengan tandatangan Pak Karim,” sahut Pak Karim. Dia meletakkan begku di dalam bilik dan kemudian menjemput aku minum the.

“Mus sepatutnya mencari seorang isteri untuk menjaga segala keperluan Mus di rumah,” Pak Karim menyambung perbualan kami sambil menjeling ke arahku dengan penuh makna. Kata-katanya menarik satu senyuman nipis meniti di bibirku.

“Mungkin masanya belum tiba,” balasku ringkas. Namun kata-kata Pak Karim itu mempunyai kebenarannya. Kadang-kadang memang aku berasa sunyi tetapi aku mempunyai tugas yang lebih penting daripada menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Tugas untuk negara menuntut sepenuh pengorbanan dariku. Secara zahirnya, aku seperti orang lain tetapi di sebalik kenormalan tiu, tersembunyi satu dunia lain. Di dalamnya, hidupku penuh bahaya. Rahsia inilah yang menyebabkan hatiku tertutup rapat.

(more…)

Gapura Dimensi

Oktober 3, 2007

gapura_dimensi2.jpg

Alhamdulillah, cerpen fiksyen sains yang kedua pula menyusul dalam Dewan Kosmik keluaran Oktober. Apa itu gapura? Bukan garpu tetapi bermaksud gerbang. Istilah ini saya dapat semasa bengkel sai-fai PTS yang pertama. Disuarakan oleh Saudara Panaharjuna tak silap saya.

Ilustrasi cerpen ini memang saya cam sangat-sangat kerana siri Stargate memang kegemaran saya! Namun, cerpen ini tidaklah menciplak konsep siri tersebut. Malah, teknik penghasilan gerbang juga berbeza. Stargate adalah gerbang antara planet, cerpen ini pula adalah tentang gerbang antara dimensi.  Teorinya saya dasarkan dari hipotesis seoarang saintis ternama.

Dapatkanlah Dewan Kosmik keluaran Oktober! 😀

Komando 2069 Beraksi!

Oktober 1, 2007

komando2069.jpg

Seperti yang dijanjikan, cerpen Komando 2069 tiba untuk tatapan anda di laman web ini. Klik di sini untuk membaca teks penuh cerpen ini. Juga boleh download versi e-buku dalam format PDF -> komando-2069.pdf. Respon dan kritikan daripada para pembaca amat saya hargai!