Archive for the ‘Filem’ Category

Entri MASKARA: Grip Phone

November 4, 2008

Grip Phone arahan Tok Rimau ini adalah filem pendek pertama yang saya ketahui penyertaannya untuk MASKARA. Dengan kredibiliti Tok Rimau sebagai salah seorang penerima anugerah BMW Shorties, saya tentunya mengharapkan kualiti yang tinggi. 

(Tok Rimau kata saya terlalu pemurah pujian dalam entri sebelum ini – tiba masa kritik pula! 😉 )

Dari segi audio dan visual, Grip Phone sudah mantap – semuanya jelas dan enak ditonton. Tidaklah terkenyit mata dan tergaru telinga hendak menonton.

Tok Rimau dan Pelajarnya – Rasanya ada terselit pelakon Grip Phone dalam gambar ini

Pergerakan cerita juga agak lancar tetapi kesudahannya kurang kemas dan tidak begitu kena kerana temanya lari terlalu jauh daripada tema yang satu lagi. Boleh dikatakan cerita yang kemas itu terungkai dek penamatnya. Mossad dan pencuri biasa terlalu jauh tarafnya untuk diceritakan sekaligus.

Apapun, Grip Phone mengkritik dengan pedas sekali golongan yang datang ke masjid/surau semata-mata untuk mencuri. Juga terselit unsur satira politiknya yang saya rasa lebih baik anda tonton dan kaitkan dengan kes semasa.

Advertisements

Festival Filem Pendek MASKARA

November 3, 2008

Pada 1 November 2008, Rumah PENA digegarkan lagi dengan gerombolan peminat seni. Kali ini pengunjung yang hadir melimpah-ruah dan tayangan dibuat di luar rumah. Sekitar 20 filem pendek telah ditayangkan tanpa sebarang penerangan daripada para pengarah – penonton perlu buat interpertasi sendiri.

Filem pendek yang ditayangkan pelbagai ragam dan pelbagai genre – aksi, drama, komedi, parodi, surreal dan fiksyen sains. Ada yang seni untuk seni, seni untuk masyarakat dan seni untuk diri sendiri. 

Bagi saya sendiri, filem-filem pendek yang menarik perhatian adalah yang membawa komentar sosial sebagai mesejnya. Antaranya adalah Surat Seorang Ibu karya Saiful Nang, Grip Phone karya Tok Rimau, Lost Communication, Sebuah Karangan Bertajuk Kuala Lumpur, dan Melayu 106 oleh Mamat Khalid.

Jika ada undian untuk filem terbaik MASKARA Shorties, tentu sekali saya akan mengundi Surat Seorang Ibu kerana sinerginya antara seni dan mesej. Ceritanya ringkas, mesejnya relevan dan ditambah pula dengan sinematografi yang hebat. Mamat Khalid sendiri bertanya, “Siapa yang buat cerita Yasmin Ahmad tu?” semasa menunggu semua pengarah berkumpul di dalam Rumah PENA.

Apabila diperhatikan filem-filem pendek itu, ternyata cerita yang kuat mempunyai persamaan dengan ciri-ciri cerpen. Jumlah watak antara 1-3, hanya 1-2 latar tempat dan 1 tema. Ringkas dan padat.

Album foto MASKARA Shorties boleh dilihat di sini.

Transformers: Iklan General Motors & US Air Force

September 8, 2008

Secara mudahnya, begitulah rumusan tentang elemen propaganda dalam filem Transformers. Sepanjang filem itu memang dipenuhi dengan iklan (baca: propaganda) General Motors dan US Air Force. Kenapa saya katakan begitu? Mari kita kaji beberapa elemen dalam filem ini.

Pertama, hampir semua watak Autobots bertukar menjadi kenderaan keluaran General Motors kecuali Optimus Prime yang menjadi lori keluaran Peterbilt. Jenama Chevrolet, GMC, Hummer, dan Pontiac yang mewarnai watak Bumblebee, Ironhide, Ratchet dan Jazz kesemuanya adalah subsidiari General Motors. Pelik juga 4 meteor yang berterbaran di serata US boleh memilih untuk menjadi kenderaan keluaran syarikat yang sama.

Padahal dalam masa yang sama General Motors semakin kehilangan pasaran kepada pengeluar automobil dari Asia seperti Honda dan Toyota. Kenapa pula kita tidak jumpa Transformers Honda Civic atau Toyota Camry sedangkan kedua-dua model itu memang popular di US? Jawapannya – General Motors memang menaja kenderaan-kenderaan untuk filem tersebut!

 

v22 osprey

V22 Osprey

 

US Air Force juga mengambil peluang untuk mengiklankan senjata-senjata baru dalam inventori mereka seperti pesawat V22 Osprey dan F22 Raptor. V22 Osprey adalah pesawat baru dengan keupayaan berlepas dan mendarat secara menegak (VTOL) dan pada masa itu mereka hanya mempunyai tiga buah unit. Namun, pihak USAF telah bermurah hati meminjamkan dua pesawat tersebut.

Pesawat F22 Raptor juga menjadi bintang filem tersebut sebagai watak Decepticon popular iaitu Starscream. Keupayaan penerbangan dan persenjataan pesawat itu telah ditingkatkan secara manipulasi digital sebagai stunt dan juga propaganda. 

Operasi US Air Force juga digambarkan sebagai sangat tangkas dan efisien apabila menangani ancaman Decepticon di Qatar. Mungkin mereka mahu menunjukkan kepada dunia bahawa mereka boleh menangani kekacauan di Iraq. (Qatar merupakan pusat operasi US dalam kempen penjajahan Iraq)

Sudahlah sebelum filem bermula ditayangkan iklan, filem itu sendiri juga iklan!

Star Wars Episode 2.5?

Ogos 15, 2008


“Clone Wars? Ini Star Wars episod yang mana? Bukan Episod II dahulu tentang klon juga?”

“Ini filem CGI Star Wars, ceritanya antara Episode II: Attack of the Clones dan Episod III: Revenge of the Sith.”

“Oh, begitu. Kiranyanya ni Star Wars 2.5 begitu?”

Saya menjawab sambil tertawa, “Begitulah, senang kira.”

Itulah dialog yang terbit apabila saya mengajak beberapa rakan penulis untuk menonton Clone Wars. Asalanya saya mengajak Syarafuddin, tetapi dia kurang sihat maka Azree Hanifiah pula menjadi ganti. Kebetulan dia juga sudah lama tidak menonton wayang.

Berbalik kepada ulasan The Clone Wars yang dijanjikan pengarah filem bahawa penonton akan melihat Star Wars dalam perspektif baru. Maka, kita kaji dari sudut ini dahulu.

Transisi dari live-action kepada 3D CGI adalah baik dan masih mengekalkan ‘feel’ siri yang asal. Walaupun menggunakan pelakon suara yang berbeza, Anakin & Obi-Wan kekal dengan perawakan yang sama.

Beberapa watak baru turut diperkenalkan terutamanya keluarga Jabba the Hutt seperti pakciknya Ziro dan anaknya ‘Stinky’. Mereka memainkan peranan penting dalam plot filem ini. Clone Troopers juga tampil sedikit lebih individual dengan watak seperti Captain Rex dan Oddball.

Aksi-aksi pertempuran juga dipersembahkan dengan cemerlang dan memang padat di sepanjang cerita. Banyak aksi lawan lightsaber satu lawan satu antara Sith dan Jedi di samping aksi gempur tahap batallion. Beberapa misi ala komando juga diselitkan dalam cerita ini. Pendek kata, tidak pernah kurang aksi dalam filem ini!

Tetapi, aspek emosi dan drama adalah kurang dalam filem ini. Dalam temuramah di laman web rasmi Star Wars, beliau menyatakan bahawa hasratnya adalah menyuntik aspek individu kepada Clone Troopers serta meningkatkan empati terhadap mereka. Kata beliau lagi, penonton tidak seharusnya melihat Clone Troopers seperti mesin yang boleh dibazirkan begitu sahaja. Penonton harus rasa sedih jika Clone Troopers itu mati.

Namun, ciri individual yang ditampilkan lebih bersifat kosmetik semata-mata seperti perbezaan warna uniform dan stail rambut. Tambah pula kebanyakan masa mereka memakai helmet maka tidak terasa mereka adalah individu yang berbeza. Malah, Droid Army mungkin lebih diingati dalam filem kerana lawak slapstick mereka yang membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang cerita.

Kesimpulannya? The Clone Wars adalah fliem hiburan untuk seisi keluarga tetapi mungkin kurang ‘keras’ untuk peminat tegar siri Star Wars.

John Woo & Logik Timur

Julai 15, 2008

Apabila Sifu menerangkan tentang perbezaan teknik menulis biasa dengan KJ Method, beliau ada menyebutnya sebagai perbezaan antara logik barat dengan logik timur. Teknik menulis biasa ditulis secara linear sedang dengan KJ Method penulis mempunyai kebebasan untuk menggarap karya dengan aturan tersendiri.

Logik barat juga bermakna kita harus mengikut betul-betul rangka atau pelan yang telah direncana lebih awal. Logik timur dalam KJ Method pula membolehkan kita mengubah dan menyusun babak-babak serta elemen-elemen secara modular.

Pengarah terkenal di Timur dan Barat – John Woo mengakui perbezaan ini:

Woo says he greatly appreciates the opportunity to work in Hollywood, and relished the chance to work with actors such as John Travolta, Nicolas Cage and Tom Cruise, and especially the friends he has made. But he admits that he gets less space for creativity there, and that he has to work strictly according to the script, budget and time.

“When we got on the set, we just executed it,” he explains

“Usually I like to work with the set. Whenever I get some new ideas, I just change things right away, like how I used to do it in Hong Kong. That’s why I wanted to come back to China to make a movie which I have been dreaming of making for a long time.”

Nota: Gambar dan kenyataan dipetik dari artikel The Star

Fiksyen Sains Menjadi Realiti

Februari 18, 2008

feb1508-car.jpg

Dalam filem James Bond – the Spy Who Loved Me, salah satu babak yang ikonik adalah semasa Lotus Espirit yang dipandu James Bond menjadi kapal selam. Ramai penonton teringat-ingat babak itu dan berangan-angan tentangya. Namun, Frank Rinderknecht berusaha menjadikannya kenyataan. Setelah 30 tahun, sQuba akhirnya menjadi kenyataan. Malah, warnanya sama dengan Lotus Espirit dalam filem tahun 1977 itu.

Nah, fiksyen sains barat telah menjadi inspirasi untuk para saintis dan pereka. Kini tiba masanya kita memberi inspirasi kepada para pembaca melalui fiksyen sains kita sendiri!

Sai-Fai dan Cinta: Voices of a Distant Star

September 5, 2007

vlcsnap-35958.png

Mikako (berdiri) dan Noboru

Sai-Fai dan cinta? Berapa banyak karya sai-fai yang mempunyai cinta sebagai tema utama? Siri Stargate sudah tentunya terkeluar, lebih kepada ekspedisi militer dan saintifik sahaja. Star Trek pun tidak jauh berbeza.

Star Wars pula mengambil pertembungan baik lawan jahat sebagai tema teras, namun masih mempunyai cinta sebagai tema sampingan. Cinta terlarang Anakin SKywalker & Padme Amidala, ‘cinta tiga segi’ antara Luke Skywalker, Leia Organa & Hans Solo.

Setakat ini, hanya satu karya sai-fai yang mantap menyampaikan tema cinta dan perhubungan sebagai tema utama. Voices of a Distant Star karya Makoto Shinkai mengisahkan perhubungan jarak jauh antara Mikako dan Noburu. Mereka terpisah kerana Mikako ditugaskan menjadi jurupandu mecha Tentera Angkasa United Nations.

vlcsnap-33601.png

Dalam filem pendek, elemen-elemen fiksyen sains seperti hyperspace dan pengembaraan angkasa digunakan untuk menegaskan bagaimana terpisahnya Mikako dan Noboru. Hanya emel melalui telefon bimbit menjadi penghubung antara mereka berdua.

Sungguhpun begitu, wacana sains tidak dikesampingkan. Filem ini memaparkan bagaimana faktor jarak di angkasa lepas akan mempengaruhi telekomunikasi. Evolusi manusia turut dibincangkan dalam filem ini dalam konteks bagaimana serangan daripada makhluk asing memacu evolusi manusia. Semacam ada tempias Ender’s Game karya Orson Scott Card juga.

Dalam masa tayangan 24 minit sahaja, Makoto Shinkai berjaya menyampaikan cerita yang menarik dan wacana yang bermakna. Beliau dianugerahkan The Highest Award (Public Offering Category) di Tokyo International Animation Fair 2002. Lebih mengagumkan lagi, keseluruhan proses penciptaan filem ini dibuat sendiri oleh Makoto Shinkai menggunakan komputer Macintosh beliau sahaja! Lakonan suara pula disumbangkan oleh beliau sendiri dan tunangnya (kini isterinya) manakala rakannya Tenmon menyumbangkan muzik.

Tabik spring!

Bulan Dipagari Bintang

Julai 30, 2007

Bagai bulan dipagari bintang, mungkin itulah ungkapan terbaik bagi menerangkan mengapa cerita-cerita hebat hanya mempunyai seorang heroin. Seperti Star Wars Episode I-III (Padme Amidala) , Episode IV-VI (Leia Organa), siri Naruto (Sakura) , siri Doraemon (Sizuka) dan francais Tomb Raider (Lara Croft). Hatta Surah Yusuf pun hanya mempunya seorang watak utama perempuan.

200px-padmesw2.jpg

Seorang wanita di kalangan sekumpulan lelaki tentu sekali nampak cantik walaupun kecantikannya sederhana sahaja. Pengarah filem juga tidaklah pula mencari supermodel bagi menjadi pelakon dalam filemnya. Salah seorang peserta bengkel (maaf, saya lupa tanya nama!) tempoh hari berteori bahawa seorang heroin tidak akan mengganggu fokus penonton atau pembaca. Jika ada dua atau lebih heroin tentunya penonton membanding-bandingkan heroin mana yang lebih cantik dan menjadi fokus mereka.

Sahabat saya Syarafuddin pula berteori bahawa mempunyai lebih dari satu heroin akan melambatkan jalan cerita. Iyalah, bukankah normal bagi wanita berbicara lebih panjang daripada lelaki. Heroin yang lembut gemalai juga tidak boleh beraksi dengan begitu pantas. Maka mempunyai lebih dari satu heroin akan melambatkan cerita.

Akhirnya, saya berteori dari segi psikologi penulis dan pencipta cerita. Kebanyakan penulis cerita dan skrip adalah lelaki, maka mungkin juga watak heroin yang seorang itu adalah terjemahan ciri-ciri seorang wanita idamannya. Kalau banyak heroin dicipta, mungkin si penulis berminat untuk berpoligami!

Cameo

Julai 4, 2007

pjcameo.jpg

Imej di atas adalah shot dari trilogi Lord of the Ring. Cuba anda camkan lelaki dalam ketiga-tiga shot tersebut. Ya, itu adalah Peter Jackson, pengarah trilogi LOTR. Apa wataknya? Watak tempelan kecil sahaja. Beliau sebenarnya melakukan cameo apperance, atau dipangil cameo sahaja.

Cameo berbeza dengan crossover kerana ia hanya melibatkan satu watak dari siri lain atau dunia sebenar muncul sebentar sahaja dalam sesuatu filem atau karya. Jika berinteraksi sekalipun, watak cameo tidak mempengaruhi jalan cerita. Cameo selalunya berlaku dalam filem sebagai trademark seorang pengarah atau pencipta.

Stan Lee misalnya, selalu muncul dalam filem hero-hero Marvel. Beliau juga pernah muncul dalam siri Heroes. Selalunya sebagai pengawal keselematan, pemandu, dan orang biasa di jalanan. Alfred Hitchcock pula muncul dalam 37 filemnya. Dia juga muncul dalam novel-novel penyiasatannya.

Ada juga cameo dalam novel seperti yang dilakukan oleh Ramlee Awang Murshid. Dalam novel A.D.A.M, watak Sarjan Isnin (A. Galak) dari Gerak Khas bertegur sapa dengan watak utama bernama Hilman. Watak Hilman pula kemudiannya disebut dalam novel beliau yang berikut. Hilman dikatakan sedang bercuti dengan isteri barunya. Saya tidak pasti sama ada Satu Janji atau Hatiku di Harajuku. Ataupun novel lain?
Cameo dalam novel oleh pengarang yang sama selalunya bermaksud bahawa novel-novel itu berkongsi universe atau realiti yang sama. Mungkinkah RAM sebenarnya bersedia untuk melakukan crossover untuk novelnya pula?

Adakah anda ada contoh cameo yang lain?