Archive for the ‘Komik’ Category

Gelombang Sai-Fai di Pesta Buku Antarabangsa KL 2009

April 15, 2009

minikon

hibrid 

Hibrid

twinx2

 TwinX #2

urana2 

Urana Exham: Satu Eterniti

adigempa

 Adi Gempa : Evolusi

Saga Empayar Kristal: Armada Azur

Saga Empayar Kristal: Armada Azur

boothmap

Advertisements

TwinX: Gundam Melayu?

Oktober 16, 2008
TwinX by PAC

TwinX by PAC

TwinX adalah antara antara novel grafik dalam siri Komik-M yang diterbitkan PTS Millenia. Kehadiran TwinX memang menarik minat saya dengan premisnya sebagai novel grafik fiksyen sains. Plot cerita tertumpu kepada watak Aizam yang mewarisi sebuah robot tempur daripada nenek moyangnya.

TwinX membawa pembaca dari bumi Malaysia yang tercinta ini hinggalah ke koloni angkasa lepas jauh di masa hadapan. Namun begitu, nilai-nilai murni ‘tradisional’ masih diterapkan terutamanya gaya hidup Aizam dan keluarganya sebagai pesawah. Nilai kemanusiaan dan kekeluargaan juga masih menjadi teras lantas mengelakkan dari setting dunia apokalips.

Elemen teknologi yang dipaparkan dalam TwinX agak lapuk saya kira kerana terlalu banyak berdasarkan perkakasan masa kini. Ini menimbulkan kejanggalan kerana 100 tahun lagi kita masih pakai USB drive lagikah? Mujur sains di sebalik koloni angkasa yang dipaparkan itu agak mapan dan jambatan yang menghubungkan Malaysia Barat dengan Timur itu juga mencuri perhatian.

Klimaks cerita di mana koloni angkasa yang menjadi kampung halaman Aizam diserang dan tekad Aizam untuk menyelamatkan mereka yang tersayang terus membuatkan saya teringat kepada plot Gundam Seed. Tambah pula dengan halaman yang mebayangkan pertempuran Aizam dengan seorang lagi pemuda yang mempunyai robot serupa di siri akan datang. Terminologi yang hampir serupa juga menguatkan lagi persamaan dengan Gundam.

Tetapi, TwinX berbeza dari segi nilai yang dibawanya. Jika hero-hero Gundam hidup sebatang kara, Aizam ada keluarganya. Kisah cinta juga berbeza kerana Aizam berazam untuk melangsungkan perkahwinan dengan restu keluarga sedang Gundam membawa cerita cinta tiga segi. Saya percaya selagi TwinX membawa nilai-nilai yang tulus, ia akan menjarakkan perbandingan dengan Gundam dan menjadi siri yang teguh.

Hikayat Syah Mardan: Barongan

Oktober 9, 2008

Hikayat Syah Mardan:Barongan – DBP from tekong on Vimeo.

Projek DBP yang dilaksanakan Tekong dari Flavert Media Lab.

Komikoo: Penerang Industri Komik Negara?

Disember 16, 2007

komikoo.jpgBaru-baru ini, ada dua majalah komik muncul dalam pasaran iaitu Powder dan Komikoo. Dengan tagline ‘Bukan Komik Main-main’, Komikoo memang mencuri perhatian. Tagline sedemikian membayangkan ada nilai dalam majalah ini, bukan untuk tujuan komersil semata-mata.

 

Apa yang dimuatkan dalam majalah ini? Ada enam komik panjang 8 halaman dan lima artikel serta beberapa lagi komik satu muka. Harganya pula? RM4 dan tiada sebarang iklan di dalamnya. Dengan mengambil kira kuantiti isi semata-mata, harga yang dikenakan memang berbaloi. Untuk melihat nilai, terus sahaja kepada artikel-artikel yang termuat dalam majalah ini.

 

Persinggahan pertama adalah artikel wawancara dengan Ben, bekas artis di Gempak Starz. Beliau pernah menang Anugerah Manga Antarabangsa dengan karyanya Le Gardenie. Dalam wawancara tersebut Ben menceritakan bagaimana beliau malu kerana tidak memegang hakcipta karyanya sendiri. Ben kebuntuan untuk menjawab apabila ditanya artis-artis luar negara – “Kenapa artis Malaysia tak dapat pegang hakcipta sendiri?”. Dalam hal ini, Komikoo harus dipuji kerana memperjuangkan perkara ini dan menghormati sepenuhnya hakcipta artis komik. Ada artikel di mStar yang menerumah Roy Ablah, Ketua Editor Komikoo tentang hakcipta.

 

Kemudian ke artikel Mencari Archetype Komik Tempatan – yakni mencari identiti dan idea segar komik tempatan. Ubder S. Iskandar mengimbas kembali tentang komik gemilang tempatan oleh karyawan generasi terdahulu seperti Periwira Mata Gila karya Rejabhad dan Mat Som karya Lat. Ubder kemudian mengkritik bahawa ramai karyawan tempatan sekarang terlalu dipengaruhi identiti komik Jepun dan Barat secara bulat-bulat. Beliau menekankan bahawa cerita adalah kekuatan sesuatu komik, bukan ilustrasi yang menarik semata-mata. Katanya, bagaikan gadis blonde yang bimbo – menarik pada awalnya tetapi akhirnya tetap menjemukan.

 

Artikel 12 pula mengutarakan apakah yang perlu dihadapi karyawan komik di Malaysia seperti:

1. Dipandang rendah dari semua aspek

2. Buat cerita humor atau cinta sahaja

3. Terima pembayaran yang murah lagi lambat

4. Lupakan erti hak cipta

5. Hadap segala macam penapisan

 

Penulisnya mengomel tentang penapisan, katanya adegan ganas tidak dibenarkan, adegan seksi pun jauh sekalilah dibenarkan. Fikir sejenak – adakah ini penting untuk mencipta komik beridentiti Malaysia? Le Gardenie karya Ben yang mendapat pengiktirafan antarabangsa adalah kisah cinta, tiada ganas, tiada seksi.

 

kk06-kromdom.jpg  kk07-zafbonkers.jpg

Kerama & Kudeta 

 

Illustrasi dalam Komikoo memang cantik dan mempunyai stail tersendiri. Mahu sahaja dicadangkan kepada editor agar menggunakan khidmat mereka sebagai illustrator projek novel fiksyen sains dan fantasi. Namun, membaca Kerama, Kudeta, Ubermensch, Oh Superheroku dan Hikayat Sebuah Mitos tidak ditemui apakah cerita dan nilai yang mahu dibawa.  Ya, mereka bebas melukis adegan ganas dan seksi tapi mutu ceritanya tidak seberapa.

 

Beberapa halaman yang dikhususkan untuk komik satu muka pula berbentuk humor. Ilustrasinya? Cantik dan menawan. Cerita? Biasa sahaja, sterotaip komik majalah lawak.

 

Sebagai kesimpulan, Komikoo harus dipuji kerana memperjuangkan golongan artis komik yang selama ini hilang harta intelek. Namun, diharap harta-harta intelek tempatan yang disiarkan Komikoo akan dapat meninggikan intelek pembaca di masa akan datang.

Roh Jepun vs Roh Barat

Disember 2, 2007

Di mana letaknya roh? Apakah fungsinya dan adakah memori itu bermaksud roh? Mari kita lihat bagaimana dua karya fiksyen sains memberi pandangan dalam hal ini – siri anime Ghost in The Shell (GITS) dari Jepun dan novel Pandora’s Star (PS) dari United Kingdom. Dalam dunia kedua-dua karya ini manusia mempunyai sambungan terus kepada internet. Segala maklumat dipancarkan secara terus ke dalam medan penglihatan pengguna.

gits-cyberbrains.jpeg

225px-gits_sac_poster_v.jpgDalam GITS, perkhidmatan internet disalurkan melalui rangkaian wayarles terus ke cyber brain manusia.  Cyber brain adalah antarmuka antara otak dengan sistem elektronik. Melalui pembedahan, otak manusia dipasang dengan cengkerang besi. Cyber brain ini terletak dalam kepala manusia seperti otak biasa.

Cyber brain boleh berkomunikasi secara terus kepada pelbagai alat elektronik termasuklah cyber brain yang lain. Perbezaan antara cyber brain dan CPU otak robot adalah kehadiran ‘ghost’ – yakni roh. Cyber brain mempunyai ‘ghost’, sedangkan CPU hanya mempunyai program.Sungguhpun cyber brain mampu menyimpan memori selepas kematian tuannya, tetapi ‘ghost’ sudah tiada. Maka tidak mungkin cyber brain itu dipasang ke dalam tubuh klon atau android selepas kematian.

Dalam PS, manusia berhubung dengan internet menggunakan OCtattoo dan retinal insert iaitu kanta sentuh elektronik. Manusia dalam PS juga dipasang memory cell yang mampu merakam segala memori. Sekiranya berlaku kematian, semua data daripada memory cell akan dipindahkan kepada tubuh baru yang diklon. Teknologi seperti ini membolehkan manusia hidup beratus-ratus tahun lamanya.

150px-pandoras_star.jpg Di sini kita dapat lihat dalam PS, memori disamakan dengan roh. Sedangkan dalam GITS, roh adalah entiti yang berasingan dengan memori. Apakah yang menyebabkan Masamune Shirow dan Peter F. Hamilton mempunyai interpertasi berbeza dalam hal ini?

Masyarakat barat jarang mempercayai perkara supernatural, bagi mereka semua perkara benar harus dapat diukur. Dalam kes ini, roh diukur dengan jumlah memori. Filem The Sixth Day lakonan Arnold Schwarzenegger juga memaparkan pendekatan yang sama, memori disalin daripada badan yang lama kepada badan baru yang diklon.

Dalam kepercayaan Jepun pula, semua benda mempunyai roh dan semangat. Filem-filem dan siri anime mereka masih memberi penghormatan kepada kepercayaan mereka seperti Totoro. Patung juga mempunyai semangat seperti dalam filem The Cat Returns dan siri anime Rozen Maiden.

Cuba fikirkan, kita percaya bahawa roh akan dinilai oleh Tuhan. Jadi apa terjadi jika roh boleh disalin, adakah setiap salinan itu akan dinilai?

Ada Apa Dengan Manga?

November 8, 2007

“Di Kinokuniya mereka telah alihkan buku-buku mangga tu ke tempat lain. Susunan buku-buku sudah banyak berubah.”

“Bukan mangga, Pak Adib. Manga, dalam bahasa mudahnya bermaksud komik Jepun.”

Itulah sebahagian perbualan dengan mentor saya minggu lepas semasa kami beriadah di Taman KLCC. Beliau memang kaki buku tetapi sebagai generasi tua tentunya kurang terdedah dengan komik. Mungkin juga ada di kalangan generasi muda yang tidak tahu isitilah ini walaupun sebenarnya sudah biasa membacanya.

230px-monkey_d_luffy.png

Berbalik semula kepada topik manga, istilah ini selalu digunakan untuk merujuk komik dari Jepun. Biasanya manga dilukis dalam format hitam putih dan disiarkan secara bersiri dalam majalah. Siri manga yang hit selalunya dijadikan kompilasi dan dijual sebagai produk berasingan. Manga yang telah dikompilasi dikenali sebagai tankobon.

250px-dragonballz-episode287_188.jpg

Di Malaysia, kebanyakan manga yang diterbitkan dalam bentuk tankobon. Antara siri yang terdapat di Malaysia adalah Naruto, Doraemon, Detective Conan, dan One Piece. Majalah Arena dan Kreko pula menyiarkan manga secara bersiri sebagaimana format asal.

Apabila manga dijadikan animasi, ia dikenali sebagai anime. Siri manga yang disebut di atas semuanya mempunyai siri anime masing-masing. Jalan cerita dalam anime dan manga mungkin sama seperti Doraemon atau anime mempunyai lebih banyak episod seperti Naruto. Jalan cerita manga Fullmetal Alchemist pula berbeza daripada siri animasinya.

Umur Watak: Statik VS Dinamik

Ogos 29, 2007

Apabila menghasilkan karya bersiri pengarang perlu menentukan tempoh masa yang diambil dan perkembangan umur watak-watak. Terdapat siri di mana watak-wataknya kekal pada umur yang sama dan ada pula siri yang wataknya meningkat umurnya siri demi siri.

250px-drmn_01.jpg

Watak Nobita dalam siri Doraemon kekal pada darjah empat pada keseluruhan 1,344 episod asal. Siri novel kanak-kanak lelaki Alex Rider pula kekal pada umur 14 tahun. Siri Harry Potter pula menunjukkan pertambahan umur siri demi siri, begitu juga dengan Star Wars. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

Pendekatan umur watak yang statik nampaknya lebih popular di kalangan siri animasi kanak-kanak.  Teknik ini membolehkan begitu banyak siri dihasilkan tanpa mempedulikan kepada perkembangan watak sangat. Episod-episodnya boleh berdiri sendiri tanpa bergantung kepada episod-episod sebelumnya.

anakin_syndrome_wide.jpg

Namun begitu, siri yang menggunakan teknik ini selalunya tidak diadaptasi menjadi siri filem. Masakan tidak, umur pelakon akan bertambah tetapi umur wataknya kekal begitu. Lebih-lebih lagi kalau watak itu adalah kanak-kanak atau remaja. Namun begitu, novel pertama Alex Rider telah diadaptasi menjadi filem. Saya ternanti-nanti bagaimana mereka menguruskannya untuk novel kedua pula.

Dalam siri-siri membenarkan umur wataknya bertambah pembaca dapat melihat watak-watak itu membesar dan semakin matang. Adaptasi filem Harry Potter adalah contoh baik dalam perkara ini. Kita dapat melihat bagaimana pelakon-pelakon yang membawa watak itu membesar seiring dengan cerita tersebut.

Harry Potter bernasib baik kerana mendapat sambutan hangat dan dapat difilemkan tahun demi tahun. Bagaimana pula kalau terhenti di tengah jalan? Jika ditinggalkan terlalu lama tentunya perlu mencari pelakon lain pula. Star Wars Episod I-III mengelakkan masalah ini dengan melakukan lompatan umur yang signifikan antara Episod I dan II. Antara Episod II dan III pula umur wataknya sudah agak stabil dan tidak sukar bagi pelakon yang sama mengambil wataknya.

Star Wars Episod IV-VI pula meletakkan umur wataknya di mana sesorang itu tidak akan banyak membesar lagi. Oleh itu, tidak sukar untuk menggunakan pelakon yang sama walaupun sela masa antaranya adalah agak jauh. Solekan sudah cukup untuk memberi kesan umur yang diperlukan.

Crossover

Julai 2, 2007

225px-crisis1.jpg 225px-secretwars1.png

Dua komik ini adalah contoh crossover beberapa siri superhero. Crisis on Infinite Earths adalah crossover siri-siri DC Comics dan Secret Wars pula adalah crossover siri-siri Marvel.

Mungkin anda sudah dapat meneka apa maksud crossover melalui ilustrasi kulit komik-komik di atas. Kedua-duanya memaparkan pelbagai watak dari siri-siri yang tidak berkaitan. Ada hubungan pun atas sebab diterbitkan oleh syarikat yang sama.

Crossover berlaku apabila dua atau lebih watak, universe, setting, cerita dan media berjumpa lalu berinteraksi antara satu sama lain. Dalam Secret Wars misalnya, X-Men, Captain America, Spiderman, Dr. Doom, Dr. Octopus dan pelbagai watak lagi berkumpul dalam satu cerita. Crisis pula memuatkan watak seperti Superman, Supergirl, Batman, dan Robin.

Apa pula tujuan crossover dibuat? Secret Wars dibuat untuk melancarkan rangkaian permainan yang baru. Crisis pula diterbitkan untuk memudahkan dan menyatukan pelbagai jalan cerita yang mereka ada. Watak-watak DC Comics seperti Superman dan Batman tidak mempunyai backstory yang konsisten dan boleh diharap maka Crisis juga diharap menyelesaikan masalah continuity error yang ada. Contohnya, pelbagai versi cerita Superman semasa muda dan pelbagai kisah Bruce Wayne menjadi Batman.

Penghasilan crossover juga membantu syarikat-syarikat ini untuk menjual lebih banyak komik. Setiap siri mempunyai ramai peminat dan apabila digabungkan tentunya mempunyai audiens yang lebih luas. Siri crossover biasanya dibuat dalam siri terhad. Disasarkan semasa cuti musim panas, siri-siri ini memang laku! Siri yang dihasilkan pun 12, cukup-cukup sahaja untuk 3 bulan.

Bagaimana pula watak-watak ini dikumpulkan bersama? Secret Wars membawa watak-watak ke sebuah planet menggunakan teleportation. Crisis pula menggunakan konsep realiti alternatif. Hero-hero ini pula disatukan untuk menentang antagonis atau kumpulan antagonis yang kuat.

Hmm, saya teringin hendak menonton crossover Detektif Indigo Faisal Tehrani dengan Detective Conan Aoyama Gosho!

Imej: Marvel & DC Comics

P/S: Terima kasih kepada Tekong PSP kerana mempromosi blog ini!