Archive for the ‘Muzik’ Category

Muzik & Penulisan

Jun 8, 2009

Bagi saya, muzik sangat berkait rapat dengan penulisan. Ada banyak sebab mengapa saya katakan begini. Pertama, penglibatan dengan penggiat muzik membantu mengekalkan apresiasi saya kepada seni dalam Bahasa Melayu sepanjang saya ‘rehat’ seketika dari dunia penulisan.

Saya tertarik dengan kumpulan Madani kerana mereka menghasilkan dan mempersembahkan lagu sendiri. Pada masa itu saya tidak tahu ke mana hendak disalurkan minat saya dalam bidang penulisan jadi saya ikut sahaja mereka. Tambah pula kami mempunyai latar belakang yang agak serasi. Tahu-tahu sahaja saya sudah menterjemah dan menulis lirik untuk mereka.

Muzik juga banyak membantu saya memeperkayakan kosa kata kerana lirik biasanya puitis dan menggunakan kalimah-kalimah yang jarang diungkapkan dalam kehidupan seharian. Itulah yang saya suntik ke dalam penulisan saya.

Penggiat muzik juga mempunyai semangat yang luar biasa, sanggup bergolok-gadai demi seni yang mereka cintai. Mereka sanggup mengorbankan waktu rehat untuk membuat persembahan walaupun tidak dibayar. Walau sepenat mana sekalipun, tetap tampil segar di pentas.

Novel Armada Azur sebenarnya memuatkan secara langsung penghargaan terhadap rakan-rakan penggiat muzik saya. Satu lirik yang saya titipkan untuk Madani ada dimuatkan berserta babak-babak yang melibatkan kumpulan Dewangga Sakti (Sedutannya ada di sini).

Muzik juga tertakluk di bawah undang-undang hakcipta yang sama dan industri muzik di Malaysia dirundung penipuan serta penindasan serupa dengan dunia penerbitan. Oleh itu, perjuangan yang dihadapi juga tidak jauh berbeza.

Impian saya adalah untuk bersama-sama rakan penggiat muzik menghasilkan soundtrack bagi filem animasi yang diangkat dari novel tulisan sendiri. Ah, saya sudah terbayang menghabiskan malam-malam yang sejuk di studio meneman mereka menghasilkan lagu demi menyuntik emosi di dalam filem!

PANDA & READ Malaysia

Jun 3, 2009
From Drop Box

Buat masa sekarang, saya merehatkan sebentar siri Saga Empayar Kristal supaya dapat mengumpul bahan dan memeram idea supaya lebih masak. Oleh itu, saya menghasilkan siri baru iaitu bioHack yang berkisar tentang rangkaian bio-komputer pada tahun 2069.

Kali ini saya menghasilkan siri ini dengan ‘3-man-cell’ yang terdiri daripada saya sebagai penulis utama, Tuan Izwan Wahab a.k.a Robot sebagai penasihat teknikal dan PAC sebagai illustrator. Tuan Zulkifli Ramli & Kamal Sabran pula telah menyatakan kesediaan untuk menghasilkan runut bunyi bagi siri ini.

Dalam siri bioHack, fokus adalah kepada agensi yang diberi nama PANDA yakni Policing Agency for Network, Data & Autonomous Systems. Nama ini datang akibat pengaruh kumpulan Dewangga Sakti yang memang gilakan panda.

Saya mengandaikan agensi ini adalah kesinambungan kepada Cyber Security Malaysia yang pada masa ini melakukan tugas forensik digital (kes Linggam, Nurin) dan keselematan siber. Pada masa hadapan di mana penggunaan robot adalah meluas, tentu sekali bidang tugas mereka akan bertambah.

BioHack akan menemui pembaca pada bulan Ogos nanti, Insya-Allah. Program saya di READ Malaysia bersama Tuan Amir Husaini & Tuna Baharuddin Bekri pula adalah seperti berikut:

Tarikh: 4 Jun 2009 (Khamis)

Masa: 2.30 – 3.30 petang

Tempat: Booth PTS, Mines International Exhibiton & Convention Centre

Trust You – Yuna Ito

Mei 22, 2009
Edisi Khas Gundam 00

Apabila Tuan Amir Husaini memberikan CD yang saya kirim dari Jepun beliau bertanya, “Untuk apa CD ini?”

Beliau agak pelik mungkin, sebab kulit hadapannya memaparkan gambar mecha tetapi tajuknya seperti lagu jiwang. CD itu sebenarnya adalah CD Single penyanyi Yuna Ito yang bertajuk Trust You edisi khas Gundam 00. Lagu Trust You merupakan lagu penutup bagi musim kedua siri anime Gundam 00.

Saya beli kerana:

1. Lirik & feel lagu tersebut memang kena dengan cerita Gundam oo.

2. Kemampuan vokal Yuna Ito memang hebat. Iyalah, boleh berduet dengan Celine Dion. (Itu satu lagi artis kegemaran saya)

3. Siri Gundam 00 memang menarik dan mapan isunya sehingga saya menonton seluruh 52 episod walhal sebelum ini saya tidak minat francais Gundam.

4. Mahu mengkaji integrasi pelbagai media serta merchandising dalam sebuah siri sai-fai.

Album ini adalah kajian kes yang menarik bagaimana pelbagai media dan harta intelek diintegrasi. Lagu Trust You adalah lagu yang kuat dan sudah mampu berdiri sendiri. Tetapi apabila dijalinkan di dalam siri anime, semakin terserlah makna dan cerita di sebalik liriknya. 

Integrasi dan sinergi ini juga meluaskan pasaran harta intelek. Di sini kita dapat lihat bagaimana lagu yang sama dapat digunakan kembali dan dipasarkan kepada dua pasaran yang berbeza. Pasaran pertama adalah peminat Yuna Ito sendiri kemudian ditambah pula dengan peminat siri Gundam 00. Kemudian, peminat Gundam 00 mungkin menjadi peminat Yuna Ito dan sebaliknya.

Lebih menarik lagi, album ini hadir dalam versi biasa dan edisi khas Gundam 00. Edisi khas Gundam 00 memuatkan trek ekstra dan juga kad watak. Harga edisi ini juga mahal sedikit iaitu 1238 yen berbanding 1165 yen untuk edisi biasa.

Edisi Biasa

Bila difikirkan, pelik juga apabila album dengan cover gambar mecha boleh dijual lebih mahal berbanding gambar seorang perempuan jelita!

Pelajari tentang asas hakcipta dan harta intelek melalui Bengkel Sehari Penulis Bebas.