Archive for the ‘Novel’ Category

Berhenti Menjadi Penulis Miskin!

Mei 10, 2009
From Drop Box

Buku tulisan Badai Fisilmikaffah ini memang menarik perhatian saya. Lebih-lebih lagi dengan tanda amaran “Stop Menjadi Penulis Miskin!” yang terpampang di muka buku. Bukunya nipis dan ringkas tetapi memberi gambaran luas kepada dunia penulisan. 

Buku Jurus Maut Menulis Buku Best Seller ini hanya setebal 164 halaman sahaja tetapi menyentuh soal motivasi penulis, menulis novel, artikel dan buku non-fiksyen. Malah, perdebatan memilih penerbit atau terbit sendiri turut dimuatkan. 

Dengan sebegitu banyak isu yang dibincangkan tentu sekali setiap satu disentuh sepintas lalu cuma. Namun begitu, saya kira itu sudah cukup untuk penulis yang baru memulakan langkah dalam industri. Kekurangan ketara buku ini adalah ketiadaan bab yang dikhususkan untuk hakcipta.

Selain dari itu, buku ini juga memberi motivasi kepada penulis dan meggambarkan bagaimana penulis harus merancang kewangannya hasil penulisan. Secara keseluruhannya, buku ini positif namun realistik kepada industri penerbitan dan penulisan.

Advertisements

Sai-Fai Melayu Berangan Sahaja?

Mei 5, 2009
From Minikon Sai-Fai

Semasa Minikon & Forum Sai-Fai Malaysia yang berlangsung sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur telah datang satu soalan yang dikira agak kurang beradab. Saya katakan kurang beradab kerana seorang hamba Allah telah melemparkan kata-kata bahawa Sai-Fai Melayu tidak ada arah dalam ideologi dan nilainya. Walhal sepanjang forum berlangsung isu nilai dan ideologi itu sering muncul.

Apakah benar Sai-Fai Melayu (yang juga Muslim) tidak ada nilai dan ideologi? Terus-terang saya mengatakan itu satu dakwaan yang tidak adil sama sekali.

1. Sai-Fai Barat mempunyai kecenderungan untuk membuang Tuhan dan percaya kepada kuasa manusia melalui sains semata-mata. Ini persoalan nilai akidah yang paling penting disangkal oleh Sai-Fai Melayu. Sai-Fai Melayu senantiasa meletakkan bahawa walau seampuh mana sains & teknologi yang dikuasai manusia, hanya izin Tuhan yang membenarkannya berlaku. Aspek kesyukuran terhadap penguasaan sains & teknologi juga diterapkan dalam Sai-Fai Melayu.

2. Sai-Fai Melayu juga memupuk sifat yakin diri bahawa kita mampu menguasai sains & teknologi. Tulisan-tulisan itu adakalanya menjadi self-fulfilling prophecy. Contoh terbaik adalah telahan Dr. Rahmat Haroun Hashim bahawa seorang doktor akan menjadi angkasawan pertama Malaysia.

3. Selain daripada sifat percaya diri, Sai-Fai Melayu juga memberi panduan tentang apa yang perlu dilakukan dengan sains & teknologi. Sebagai contoh, Galaksi Muhsinin karya Azrul Jaini menunjukkan bahawa penguasaan teknologi force field shield haruslah digunakan untuk melindungi rakyat dan sekutu dalam misi rahmatan-lil-alamin.

4. Persoalan etika juga dibawa dalam Sai-Fai Melayu, terutamanya tentang soal eksperimen. Misalnya Transgenesis karya Amir Husaini membahaskan tentang etika menggabungkan genetik manusia dengan haiwan. Lebih menarik, subjek yang dihasilkan itu tidak mengakui itu tidak mengakui bahawa dia adalah ciptaan manusia tetapi tetaplah hamba Allah jua.

5. Isu halal-haram juga dibahaskan dalam Sai-Fai Melayu seperti isu daging sintetik yang diselitkan dalam Manuklon karya Dr. Rahmat Haroun Hashim. Adakah halal daging lembu sintetik yang digabungkan dengan gen babi untuk meningkatkan hasilnya? Daging sintetik adalah kajian yang sedang berlangsung sekarang dan mungkin memasuki pasaran 5-10 tahun lagi.

6. Nilai-nilai kekeluargaan juga diangkat melalui Sai-Fai Melayu seperti cerpen Virus Zel Untuk Abah karya Mawar Shafei. Cerpen ini menunjukkan bahawa seseorang itu tidak harus berdendam walau sengketa telah menyebabkan ahli keluarga tidak sehaluan lagi.

Nah, inilah bukti-bukti bahawa Sai-fai Melayu bukanlah sedangkal yang disangka. Ini baru sebahagian sahaja, banyak lagi perkara yang dikupas dalam Sai-Fai Melayu yang sebenarnya sangat relevan dengan perjuangan agama dan bangsa.

Santapan Minda

Mei 4, 2009

Beberapa minggu kebelakangan ini memang banyak bahan bacaan & multimedia yang saya beli sebagai rujukan. Pembelian sudah bermula sebelum Pesta Buku kemudian berterusan selepas itu apabila berkelana ke Tanah Jawa. Kemudian ditambah pula dengan kiriman barang dari Jepun.

Set Pesta Buku

From Buku & Bahan
  1. Panggil Aku Melaju – Rahmat Haroun Hashim
  2. Prau With The Silent Soul – Faisal Tehrani (Terjemahan Zawiyah Baba)
  3. Sea of Rainbows – Dikelolakan oleh SN Muhammad Hj. Salleh
  4. Adi Gempa: Evolusi – Bahruddin Bekri
  5. Satu Eterniti: Urana Exham – Kusyi Hirdan (Ini cenderamata sebagai panelis Forum Sai-Fai)
  6. Takluk Jagat: Amukan Indera Bumi – Zaki Zainol
  7. Shoot – Reja
  8. Hibid #1 – Aviltone
  9. TwinX #2 – PAC
  10. Orang Kuat – Alif Firdaus Azis
  11. Kartini – Tembakau

Set Tanah Jawa

From Buku & Bahan
  1. Cahaya Hati (CD) – Opick
  2. Semesta Bertasbih (CD) – Opick
  3. Laskar Pelangi DVD – Mizan Production
  4. Perempuan Berkalung Sorban VCD
  5. Jurus Maut Menulis Buku Best Seller – Badai Fisilmikaffah
  6. ORB – Galang Lufityanto
  7. Mekanika Langit – Muhammad Akrom
  8. Kumpulan Peribahasa Indonesia – Imam Budhi Sentosa
  9. Cyber Law & HAKI – Prof. Dr. H. Ahmad
  10. Ninja – Stephen Turnbull (Edisi Terjemahan oleh Gramedia, dilesesn dari Osprey)
  11. Waffen SS: Pasukan Eslite Nazi – Bruce Quarrie (Edisi Terjemahan oleh Gramedia, dilesesn dari Osprey)
  12. Green Beret – Gordon Roffman (Edisi Terjemahan oleh Gramedia, dilesesn dari Osprey)

*Kebanyakannya dibeli di Toko Buku Gramedia di Bandung

Set Jepun

From Buku & Bahan
  1. trust you (CD) – Yuna Ito [Gundam 00 Edition] (Dibelikan oleh Tn. Amir Husaini)
  2. I am a Cat – Soseki Natsume (Beli di Kinokuniya)

Sekarang, tiba masanya untuk menikmati semua ini!

Gelombang Sai-Fai di Pesta Buku Antarabangsa KL 2009

April 15, 2009

minikon

hibrid 

Hibrid

twinx2

 TwinX #2

urana2 

Urana Exham: Satu Eterniti

adigempa

 Adi Gempa : Evolusi

Saga Empayar Kristal: Armada Azur

Saga Empayar Kristal: Armada Azur

boothmap

Armada Azur Berlabuh

Mac 25, 2009

Hari ini memang banyak khabar gembira yang datang. Pertama sekali, SMS dari Vovin mengatakan Armada Azur sudah masuk stor PTS. Habis sahaja kelas terus memecut ke Batu Caves untuk mengambil 10 naskah penulis. 

Novel kali ini comel sedikit fizikalnya berbanding Sayap Adinila tetapi tetap padat dengan aksi. Novel ini juga memuatkan cerita pendek yang menghubungkan Sayap Adinila dengan Armada Azur. Ceita di sebalik tabir pembikinan novel ini juga turut disertakan.

From Drop Box
From Drop Box

Stail baru gambar penulis

Berita gembira kedua adalah apabila pihak JAKIM Sarawak sudah mengesahkan tiket saya ke Kuching. Lusa saya akan terbang ke sana untuk berceramah tentang penulisan pada hari Sabtu. Pihak penganjur mengatakan bahawa peserta adalah seramai 70 yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan IPT.

 banner_muktamar-perkepis-1430h

Saya juga gembira hari ini kerana dapat belajar sesuatu yang baru dari Prof. Malik Badri tentang psikologi Islamik. Beliau juga memberi sokongan untuk terus bergiat dalam penulisan Islami dan melihatnya sebagai satu bentuk jihad.

Fuh, hari sebegini memang menaikkan semangat untuk menulis!

Akan Terbit: Armada Azur

Mac 18, 2009
Saga Empayar Kristal: Armada Azur

Saga Empayar Kristal: Armada Azur

Alhamdulillah, Armada Azur akan terbit tidak lama lagi bagi menyambung Saga Empayar Kristal. Mengambil tempat setahun selepas kisah dalam Sayap Adinila, konflik antara Kerajaan Angkor dan Empayar Nilam turut mengheret Pulau Azur. Malah sekutu Empayar Nilam iaitu Empayar Aziziah tidak terlepas dari terjebak dalam kancah ketamakan kuasa ini.

Nantikan preview Armada Azur tidak lama lagi.

Ramalan Orson Scott Card Tentang Blogger

Januari 27, 2009

Ender's Game CoverOrson Scott Card adalah novelis sai-fai yang tersohor. Karya sulungnya Ender’s Game memenangi Hugo Award & Nebula Award. Dalam novel tersebut Orson Scott Card membayangkan bagaimana dua adik-beradik Peter & Valentine menggunakan gelaran ‘Locke’ & ‘Demosthenes’ menyertai forum Internet. Dikurniakan akal genius, mereka membuat analisis politik dan mula ‘meracun’ masyarakat global dengan doktrin politik mereka. Semua ini dilakukan tanpa mendedahkan identiti sebenar mereka.

Baru-baru ini IHT melaporkan bahawa seorang blogger yang menggunakan nama ‘Minerva’ telah ditahan oleh pihak berkuasa Korea Selatan. Kesalahannya? Membuat analisis dan ramalan tentang ekonomi. Minerva telah berjaya meramalkan kejatuhan Lehman Brothers dan arahan kerajaan Korea Selatan kepada syarikat-syarikat supaya berhenti membeli US Dollar. 

Kes ini sangat menarik kerana ada beberapa persamaan. Pertama, nama Minerva & Demosthenes adalah berasal dari peradaban Greek. Kedua, dunia Ender’s Game dan Korea Selatan mencatatkan peratusan penggunaan internet yang tinggi. Akhir sekali Locke, Demosthenes & Minerva tidak pernah ke universiti. Analisis mereka bergantung kepada pembelajaran dan pemerhatian mereka sendiri semata-mata!

Nota: Ender’s Game diterbitkan pada tahun 1985 sebelum penggunaan internet menjadi meluas dan istilah blog digunakan.

Perkembangan Terkini

Januari 23, 2009

Alhamduillah, manuskrip novel kedua dalam Saga Empayar Kristal sudah siap dan sudah dihantar kepada Editor. Jika tiada aral melintang, Armada Azur akan menemui anda semua di Pesta Buku Antarabangsa bulan April nanti.

Sekarang, saya rehatkan sebentar siri Saga Empayar Kristal dan merekabentuk novel baru yang lebih hampir dengan pengajian saya. Semester ini memang penuh dengan ilmu-ilmu tentang keselamatan siber jadi saya bawa konsep-konsepnya kepada novel baru ini.

Tambahan pula, saya berpeluang menyertai satu sesi latihan keselamatan siber dengan CyberSecurity Malaysia pada minggu lepas. Tamat sahaja latihan, idea datang mencurah-curah untuk novel baru. Terima kasih kepada Pn. Sarah yang mengusahakan saya dan rakan saya untuk masuk ke sessi tersebut dan duduk sebaris dengan professional IT dari pelbagai agensi kerajaan.

 

From Bengkel Penulisan 11 Jan 2009

Dalam masa yang sama pula, saya sudah dua kali membantu Zamri Mohamad mengadakan bengkel penulisan artikel untuk majalah. Sambutan yang diberi oleh para peserta sangat menggalakkan dan saya sendiri banyak belajar perkara baru dengan mereka. Terima kasih kepada Syarafuddin, Robot, dan Haeqal yang turun memberikan sokongan.

From Bengkel Penulisan 11 Jan 2009

Trivia Di. Ar. Ti.

Januari 9, 2009

drt

1. Tajuk asal novel ‘Manuklon’ adalah ‘Bumi Manuklon’. Ini dinyatakan sebagai novel akan datang Dr. Rahmat Haroun pada kulit belakang buku.

2. Dr. Rahmat Haroun menjangkakan bahawa salah satu calon akhir angkasawan negara adalah seorang doktor yang berkhidmat dalam angkatan tentera. Pencalonan Mejar Dr. Faiz Khalid dan Dr. Sheikh Muzaphar membuktikan telahan beliau tepat.

Cerita dari Piramid Sunway

Disember 30, 2008

Pertama kali menjejakkan kaki ke Popular Bookstore di Sunway Pyramid, saya dan Syarafuddin terus pergi memeriksa rak buku Melayu mereka. Ada sekitar empat baris rak dan memuatkan buku pelbagai genre dengan susunan yang kemas. Fikir kami, laju juga jualan buku Melayu di cawangan ini.

Kami tiba awal kerana kurang mahir dengan kawasan tersebut. Tn. Alif Firdaus yang datang memberi sokongan memberitahu bahawa selepas pukul 2 sangat sukar mendapat tempat letak kereta. Nasib baik kami dan Cik Fadillah tiba awal, tetapi Tn. Vovin pula terpusing-pusing setengah jam mencari tempat untuk memojokkan kereta.

From Penulis PTS di Sunway Pyramid

Syarafuddin kali ini bersedia dengan slaid tetapi itu tidak banyak membantu untuk menghadapi kelompok yang rata-ratanya bukan Melayu kerana bicaranya ada kaitannya dengan sistem nilai. Jualan buku Melayu memang laju tetapi hari tersebut ramai yang pulang ke kampung agaknya!

From Penulis PTS di Sunway Pyramid

Untuk sessi fiksyen sains pula, Vovin memulakan bicara dengan menemuramah saya. Kemudian, saya tayangkan pula slaid yang menunjukkan ciptaan yang dulunya angan-angan dalam fiksyen sains yang menjadi realiti saintifik kini. Nampaknya ramai juga yang ralit menonton bicara tentang topik tersebut. Tamat bicara, Vovin dan saya bersetuju bahawa slaid itu adalah bahan yang baik dan perlu dimantapkan lagi.

From Penulis PTS di Sunway Pyramid

Kami juga sepakat mengatakan bahawa ruang aktiviti di Popular Sunway Pyramid ini adalah yang terbaik setakat ini. Kemudahan ceiling-mounted LCD projector dan skrin automatik serta sistem bunyi wireless banyak membantu kami. Lokasinya juga cantik kerana di laluan utama dan tidak tersorok.

Terima kasih kepada Popular Bookstore, Cik Fadillah, Tn. Zain (PTS Sales), Tn. Alif Firdaus dan mereka yang sudi mendengar celoteh kami.