Archive for the ‘Robot’ Category

MS Gundam 00: Anime Sai-Fai Pasca 9/11

November 5, 2008

Siang tadi saya pergi berjumpa Wan Rausyanfikir, pemuda yang aktif menulis di majalah Milenia. Kerana saya pernah dan akan menulis lagi untuk Milenia, kiranya kami rakan semajalah juga. Bincang punya bincang, dia tanya apa yang saya nampak dalam fiksyen sains. Saya jawab banyak karya fiksyen sains membawa kritikan sosial dan politik sebenarnya. Sebagai contoh, MS Gundam 00 membawa isu-isu kontemporari yang amat relevan dalam dunia penuh bergolak kini.

Pertama sekali, konflik berkisar kepada monopoli sumber tenaga iaitu tenaga solar daripada stesen angkasa lepas. Kuasa-kuasa besar menggunakan kuasa yang bersih dan tidak terbatas ini untuk memeras negara-negara lain terutamanya yang selama ini bergantung kepada eksport minyak.

MS Gundam 00 juga membawa penonton melihat ‘keganasan’ daripada perspektif mereka yang melihatnya sebagai gerakan ‘pembebasan’. Sungguhpun berlatarkan bumi 300 tahun akan datang Ireland Utara, Sri Lanka, Amerika Latin dan Timur Tengah masih lagi bergolak. Bunyinya memang tidak masuk akal tetapi apabila difikirkan bahawa Bangsa Moro di Mindanao telah berjuang hampir 500 tahun, skrip itu nampaknya rasional.

Siri ini juga nampaknya secara langsung mengutuk tindakan unilateral Amerika Syarikat dalam ‘perang terhadap keganasan’ terutamanya prinsip ‘anda bersama kami atau anda bersama teroris’ serta tindakan menangkap siapa sahaja yang pernah berhubungan dengan teroris. Malah, penjara untuk para teroris juga digmbarkan terletak di teluk – sama seperti Guantanamo.

Menariknya, MS Gundam 00 juga telah menjangka bahawa seorang African-American akan menerajui Amerika Syarikat. Dengan kemenangan Obama, nampaknya telahan mereka itu tepat. Cuma mereka bersifat skeptikal dengan menggambarkan presiden ini tiada bezanya dengan Bush. Tentang Obama pula, kita tunggu dan lihat sahajalah.

Advertisements

Star Wars Episode 2.5?

Ogos 15, 2008


“Clone Wars? Ini Star Wars episod yang mana? Bukan Episod II dahulu tentang klon juga?”

“Ini filem CGI Star Wars, ceritanya antara Episode II: Attack of the Clones dan Episod III: Revenge of the Sith.”

“Oh, begitu. Kiranyanya ni Star Wars 2.5 begitu?”

Saya menjawab sambil tertawa, “Begitulah, senang kira.”

Itulah dialog yang terbit apabila saya mengajak beberapa rakan penulis untuk menonton Clone Wars. Asalanya saya mengajak Syarafuddin, tetapi dia kurang sihat maka Azree Hanifiah pula menjadi ganti. Kebetulan dia juga sudah lama tidak menonton wayang.

Berbalik kepada ulasan The Clone Wars yang dijanjikan pengarah filem bahawa penonton akan melihat Star Wars dalam perspektif baru. Maka, kita kaji dari sudut ini dahulu.

Transisi dari live-action kepada 3D CGI adalah baik dan masih mengekalkan ‘feel’ siri yang asal. Walaupun menggunakan pelakon suara yang berbeza, Anakin & Obi-Wan kekal dengan perawakan yang sama.

Beberapa watak baru turut diperkenalkan terutamanya keluarga Jabba the Hutt seperti pakciknya Ziro dan anaknya ‘Stinky’. Mereka memainkan peranan penting dalam plot filem ini. Clone Troopers juga tampil sedikit lebih individual dengan watak seperti Captain Rex dan Oddball.

Aksi-aksi pertempuran juga dipersembahkan dengan cemerlang dan memang padat di sepanjang cerita. Banyak aksi lawan lightsaber satu lawan satu antara Sith dan Jedi di samping aksi gempur tahap batallion. Beberapa misi ala komando juga diselitkan dalam cerita ini. Pendek kata, tidak pernah kurang aksi dalam filem ini!

Tetapi, aspek emosi dan drama adalah kurang dalam filem ini. Dalam temuramah di laman web rasmi Star Wars, beliau menyatakan bahawa hasratnya adalah menyuntik aspek individu kepada Clone Troopers serta meningkatkan empati terhadap mereka. Kata beliau lagi, penonton tidak seharusnya melihat Clone Troopers seperti mesin yang boleh dibazirkan begitu sahaja. Penonton harus rasa sedih jika Clone Troopers itu mati.

Namun, ciri individual yang ditampilkan lebih bersifat kosmetik semata-mata seperti perbezaan warna uniform dan stail rambut. Tambah pula kebanyakan masa mereka memakai helmet maka tidak terasa mereka adalah individu yang berbeza. Malah, Droid Army mungkin lebih diingati dalam filem kerana lawak slapstick mereka yang membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang cerita.

Kesimpulannya? The Clone Wars adalah fliem hiburan untuk seisi keluarga tetapi mungkin kurang ‘keras’ untuk peminat tegar siri Star Wars.

Concept Art: Komando 2069

Januari 30, 2008

azmeer_basic_s.jpg azmeer_jet-copy.jpg
Jika sebelum ini anda hanya dapat membaca cerpen Komando 2069, kini dipersembahkan concept art untuk siri ini. Ilustrasi di atas adalah hasil kreativiti Saudara Riza berdasarkan teks cerpen versi mBook. Gambar atas adalah ekso-sut yang dipandu Azmeer dalam konfigurasi asas dan di bawah pula dikonfigurasi bersama pod jet mobiliti.

Mengikut perancangan, Komando 2069 akan dijadikan siri mBook tetapi masih belum selesai prosedurnya. Tambah pula dengan ujian-ujian pertengahan semester yang menjelang membuatkan saya sedikit sibuk. Nanti akan saya upload lagi lakaran-lakarannya.

Nota: Saudara Riza memang seorang illustrator sepenuh masa maka silalah menghubungi beliau jika memerlukan illustrasi.

Budaya Robot: Jepun lawan Amerika

Mei 27, 2007

Salah satu tema dalam fiksyen sains adalah robot dan cyborg. Tema ini sering digunakan dan banyak siri-siri hebat dan berpengaruh terhasil dalam sektor ini. Contohnya Gundam, Doraemon, dan Transformers. Tema ini turut digunakan bersama tema lain seperti ‘virtual reality’ dalam siri The Matrix juga dalam tema mutants seperti X-Men.

Namun begitu, kita dapat lihat kontras dalam tema ini antara fiksyen sains dari Jepun dan dari Amerika. Fiksyen sains Jepun melihat robot dengan cara yang lebih mesra, banyak karya mereka menunjukkan persahabatan antara manusia dan robot. Lihat sahaja Doraemon dan Astro Boy. Watak robot utama ini membantu manusia, bersahabat dengan manusia.

Adakalanya dipaparkan bagaimana robot berkorban untuk menyelamatkan manusia dan begitu juga sebaliknya. Lihat bagaimana Doraemon menyelamatkan Nobita dan bagaimana Nobita menangis bila disangkanya Doraemon telah ‘mati’. Astro Boy pula membantu menyelamatkan dunia dengan kuasa supernya. Watak-watak robot ini begitu insani, mereka gembira bersama kita, kehilangan mereka diratapi.

Amerika pula sering prejudis terhadap robot. Robot digambarkan sebagai musuh dan berniat menguasai manusia. Lihat sahaja X-Men, robot-robot Sentinel sentiasa memburu para pejuang X-Men. Ambil pula The Matrix, robot-robot telah menakluk manusia dan memerengkap mereka dalam dunia realiti maya. Dalam siri Transformers pula terdapat puak robot Decepticon yang jahat dan robot gergasi Unicorn yang menelan planet-planet.

Jadi, kita lihat di sini bagaimana berbezanya pendekatan dalam tema ini antara dua budaya ini. Saya mengandaikan perbezaan ini tercetus disebabkan sejarah kedua-dua negara itu sendiri. Lihat Doraemon dan Astro Boy yang dicipta selepas Perang Dunia Kedua di Jepun. Doraemon dan Astro Boy adalah simbol kepada harapan serta semangat untuk Jepun bangkit semula.

Teknologi yang dipaparkan dalam kedua-dua siri ini menjadi inspirasi untuk Jepun membina kekuatan teknologi mereka. Kerana pembaca-pembaca siri ini berani berimaginasi dan menjadikan robot seperti itu satu kenyataan. Contohnya; QRIO dari Sony dan ASIMO dari Honda adalah terjemahan dari imaginasi itu.

200px-astroboy.png

Amerika pula? Didapati bahawa penciptaan komputer di sana asalnya adalah untuk tujuan ketenteraan dan teknologi yang berkaitan seperti kepintaran buatan (A.I) serta robot juga tidak terkecuali. Mereka mencipta peluru berpandu pintar untuk menghapuskan musuh, robot pula untuk mematikan bom musuh. Sekarang Tentera Amerika pula berangan-angan untuk menghasilkan kereta kebal yang boleh pergi sendiri berjuang di medan perang dan membunuh musuh-musuh.

Robot-robot Amerika masih ‘terpenjara’ di kilang-kilang bekerja siang dan malam sedang robot-robot Jepun telah mula hidup di samping manusia seperti PaPeRo dari NEC dan AIBO dari Sony. Amerika hanya ada Roomba di rumah, itu pun kerjanya hanya vakum lantai! AIBO pula bermanja dengan tuannya, menari dan merakamkan detik-detik manis melalui kameranya.

Nah, fikirkan. Siapa kata fiksyen sains terlepas dari aspek budaya?