Gapura Dimensi

CERN, Geneva, Switzerland

Salam melemparkan pandangan ke pergunungan Jura. Mengambil udara segar, merehatkan diri setelah berminggu-minggu bertungkus-lumus di dalam makmal.

Ma Yu mampir, mengambil tempat di sebelahnya menghenyak rumput-rumput. Rambutnya yang tidak terurus diselindung di bawah kufi. Di tangannya ada komputer bimbit.

 “Bagaimana, sudah selesai perkiraanmu terhadap persaamaan itu?”

 Komputer bimbit dibuka dahulu sebelum menjawab. “Sudah, semuanya ada dalam komputer ini. Jumlah tenaga yang diperlukan telah ditentukan, begitu juga dengan konfigurasi gerbang.”

 “Bagus, dengan itu kita boleh memulakan eksperimen kita. Moga-moga kita dapat membuka laluan ke dimensi lain.”

 “Kau sudah jumpa laluan yang sesuai untuk membuka laluan itu?”

 Salam angguk. Dia menerangkan bahawa bacaan menunjukkan ada satu dimensi yang tidak stabil antara dimensi ini dan dimensi yang satu lagi. Tahap tenaga yang tidak stabil itu menyebabkan dimensi itu musnah dan membentuk wormhole. Wormhole itu akan digunakan sebagai jambatan untuk ke dimensi yang satu lagi.

 “Bagaimana pula ada dimensi yang tidak stabil? Sedangkan dimensi lain boleh berkembang dan memuatkan alam seperti dunia kita ini?”

 “Mengikut teori Dr. Andrei Linde, perkara itu terjadi kerana tahap tenaga dalam dimensi itu tidak melepasi satu tahap kritikal. Setelah itu, barulah dimensi itu boleh berkembang dan menampung kehidupan.”

Ma Yu lantas mengalunkan ayat al-Quran yang bermaksud. “Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.

Senyuman terukir di bibir Salam, hatinya sejuk mendengar ayat daripada kitab suci itu. “Di CERN ini, jarang benar ada penyelidik yang membaca kitab-kitab agama. Apatah lagi membuat petikan daripadanya. Dahulu, hanya mendiang Leonardo Vetra yang membaca kitab-kitab agama.”

“Kita mengambil manfaat daripada penyelidikannya tentang anti-matter untuk menjana kuasa bagi gerbang dimensi ini. Siapa kata membaca kitab-kitab agama menghalang kemajuan seorang saintis?”

 Sinis Salam menjawab, “Menghalang kemajuan pangkat mungkin.”

Tertawa Ma Yu mendengarnya. “Benar kata kau. Kita dapat meneruskan eksperimen ini pun kerana ada jutawan Muslim yang menaja. Jika tidak, kita berdua harus pulang ke kampung halaman.”

 “Mari kita pulang ke bilik dan berehat. Esok pagi-pagi selepas subuh kita akan memulakan eksperimen.” 

Makmal Vetra, CERN

Setelah imbasan retina dan cap jari, Salam dan Ma Yu melangkah masuk ke dalam makmal itu. Dalam masa yang sama, tag RFID mereka diimbas melalui gelombang radio. Setiap seorang menatang kanister anti-matter dengan berhati-hati. Setiap satu kanister mempunyai kuasa setanding dengan bom nuklear B83. Bom terkuat dalam perkhidmatan tentera Amerika Syarikat itu menghasilkan kuasa 1.2Mt.

Mereka melanngkah ke dalam ruang terkawal di mana gerbang dimensi itu diletakkan. Kedua-dua kanister itu diletakkan dengan cermat pada kebuk khas yang setentang kedudukannya pada gerbang dimensi itu. Sepanjang perimeter gerbang itu memuatkan magnet superkonduktor yang disejukkan dengan gas helium.

Ruang terkawal itu ditinggalkan dan ditutup rapi, mereka mengambil tempat di konsol kawalan. Salam memberi isyarat agar Ma Yu bersedia untuk menekan punat perlepasan. Tangan Salam juga diletakkan di atas punat yang serupa.

“Boom!” Anti-matter yang dilepaskan daripada kedua-dua kanister itu bertembung di tengah gerbang. Medan magnet yang kuat memandu pertembungan terkawal itu, seterusnya mengawal tindak balas yang berlaku. Kuasa yang terhasil menerobos fabrik dimensi.

Satu vorteks mula terbentuk di dalam gerbang itu, lalu berkembang sehingga mencecah kerangka gerbang. Cahaya pelbagai warna keluar daripada vorteks tersebut. Ma Yu dan Salam terpegun seketika.

“Maha suci Tuhan. Eksperimen ini betul-betul menjadi!”

Tenang Salam menjawab. “Jangan terlalu gembira, kita hantar kuar peninjau untuk memeriksa terlebih dahulu.”

Melalui pintu khas di sisi konsol itu Salam memasukkan sebuah kuar peninjau. Kuar peninjau itu terus terbang memasuki vorteks itu. Penerbangannya dikawal cermat oleh Ma Yu menggunakan kawalan jauh.

Buat beberapa ketika skrin itu hanya memaparkan cahaya yang terlalu cerah. Namun, isyarat dari sistem telemtri menunjukkan kuar peninjau itu masih berfungsi. Status sistem tujahan dan navigasinya masih lagi hijau.

 

Ma Yu teruja apabila skrin mula menunjukkan imej yang berbeza daripada yang sebelumnya. Video yang disalurkan daripada kuar peninjau itu memaparkan pemandangan sebuah hutan yang menghijau. Bacaan sensor pula segera menyusul, komposisi atmosferanya selamat untuk manusia. Juga tiada sebarang tanda aktiviti radioaktif yang di atas normal.

“Ma Yu, pusingkan kuar peninjau itu 180 darjah. Lihat bagaimana vorteks itu terbentuk.”

Ternyata, bukan mereka sahaja yang ingin menerobos ke dimensi lain. Penghuni dimensi itu juga membuat gerbang yang serupa dan vorteks itu terbentuk di dalam gerbang itu. Namun begitu, tiada sesiapa yang kelihatan di sekitar gerbang itu.

Terpancar kegembiraan dan kepuasan di wajah mereka berdua. Eksperimen ini telah melangkaui harapan mereka. Sasaran mereka hanyalah untuk menghasilkan wormhole yang stabil ke dimensi lain. Tidak pula menyangka ada bukti tamadun di dimensi yang lain.

Tiba-tiba, vorteks itu mula menguncup di kedua-dua gerbang. Salam segera mengarahkan Ma Yu agar memandu kuar peninjau itu pulang. Kuar peninjau itu berkejar untuk memasuki vorteks yang pantas mengecil. Sebelum masuk ke dalam vorteks itu kuar peninjau itu bergegar bagai dihentam sesuatu.

Gegaran itu tidak diendahkan mereka, Salam gusar memerhatikan gerbang di dalam makmalnya. Kuar peninjau itu masih belum pulang dan muncul di dimensi ini. Skrin komputer menunjukkan vorteks itu akan hilang dalam masa satu minit lagi.

Masa berdetik – lima puluh saat, empat puluh saat, tiga puluh saat. Akhirnya kuar peninjau itu terhambur keluar daripada vorteks itu. Sayapnya telah diragut oleh dinding vorteks yang menguncup membuatkan kuar peninjau itu terhempas kasar di atas lantai makmal.

 

Berdenting bunyi kuar peninjau itu melantun-lantun di atas lantai. Apabila ia berhenti bergerak, vorteks itu lenyap sama. Setelah gerbang itu dinyahaktifkan, Salam dan Ma Yu segera memasuki ruang terkawal itu.

Mereka terkejut apabila mendapati ada anak panah yang terpacak di belakang kuar peninjau itu. Berhati-hati, Salam mencabut anak panah itu dan mengeluarkan skrol yang tergulung pada anak panah itu.

Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? Bagaimana Dia menjadikan bayang-bayang itu terbentang dan jika Dia kehendaki tentulah Dia menjadikannya tetap! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;

Salam dan Ma Yu berpandangan, eksperimen ini memang melampaui akal mereka!

Advertisements

5 Respons to “Gapura Dimensi”

  1. Rebecca Ilham Says:

    Leonardo Vetra, dari novel Angels and Demons oleh Dan Brown!

  2. Rebecca Ilham Says:

    Maaf, komen pertama tadi ditulis tanpa membaca cerpen sehingga habis. Saya sangat teruja apabila ternampak nama Leonardo Vetra, terus teringatkan anak angkatnya, Vittoria Vetra yang tak kurang bijakya.

    Cerpen ini mengingatkan saya kepada Angels and Demon (penggunaan kanister anti-matter atau anti-jirim) dan Timeline oleh Michael Crichton. Kedua-duanya novel kegemaran, dan saya pernah ulang baca Timeline tiap-tiap tahun =)

    Tapi saya suka pendekatan ‘Islami.’ Sains seharusnya begitu, untuk kita lebih ‘kenal’ dengan kebesaran Tuhan, bukan mengaku diri adalah Tuhan!

    Tahniah, dan teruskan berkarya!

    -Rebecca Ilham

  3. Firdaus Says:

    Terima kasih atas respon yang bernas. Sepuluh markah untuk Cik Rebecca kerana sedar ‘reference’ yang saya lakukan dalam cerpen ini. 😀

  4. Fahmimahat Says:

    Waa, cerpen yang ini lebih asyik dari komando 🙂 benar-benar terbayang di hadapan mata 🙂 anti-matter tu, bahan seperti apa sebenarnya?

  5. Satu Per Satu Gogool? at Studio Inspirasi Says:

    […] Gogool? Bukan Google? Satu gogool bersamaan 10 kuasa 100, yakni 10 diikuti 100 sifar. Bayangkan 1 dalam 1 googol, tentunya amat mustahil! Begitulah betapa mustahilnya peristiwa dalam cerpen Gapura Dimensi. […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: