Komando 2069: Kargo Rahsia

“Semua unit bersedia. Kita akan menghampiri zon operasi dalam masa lima minit.”

Azmeer membalas. “Terima kasih Yap. Skuad, lakukan pemeriksaan terakhir.”

Mahmud dan Pakeer serentak membalas. “Arahan diterima, tuan.”

Azmeer memberi arahan kepada sistem AI ekso-sut. Arahan diberi agar pemeriksaan pra-tempur dilakukan. Jenis misi ditetapkan kepada serangan marin. Kaedah penghantaran adalah melalui udara.

Sistem AI segera melakukan arahan yang diberi. Segala komponen utama diperiksa dan dilapor statusnya. Sistem navigasi, tujahan, persenjataan dan aktuator berfungsi dengan baik. Bekalan kuasa dan pakej sensor juga pada tahap optimum.

“Satu minit lagi ke tempat terjunan. Aktifkan pod jet mobiliti.”

Pintu kargo kapal terbang dibuka lancar. Kelihatan langit gelap pekat. Tiada bulan menyinari. Tiupan angin juga mati.

“Keadaan yang baik untuk misi malam ini.”

Pakeer menyokong. “Benar Mahmud, lindungan yang bagus untuk menembak curi.”

Ngauman enjin jet bergema dalam ruang kargo pesawat. Ekso-sut Azmeer di hadapan, diikuti Mahmud dan Pakeer. Kesemuanya sebaris pada trek pelancaran.

Lampu merah di atas bingkai pintu kargo bertukar kuning. Sayap pod jet dikembangkan serentak. Sayap-sayap hitam karbon fiber. Lampu bertukar hijau. Ketiga-tiga ekso-sut itu mula meluncur keluar satu persatu.

“Moga berjaya, aku akan membantu kamu dari pesawat,” ucap Yap.

MV Sorgut kini sudah dalam jangkauan visual mereka. Kapal kargo itu terang-benderang anjungan dan dek kargonya.

Mahmud memberi laporan. “Azmeer, aku mengesan dua pesawat peninjau. Jenis pelancaran tiub kapal selam.”

“Aktifkan Sistem Samaran Elektronik, kita perhatikan tindakannya.”

Ketiga-tiga ekso-sut itu mengaktifkan pembias cahaya, segera mereka hilang dari pandangan mata kasar. Penggodam isyarat turut diaktifkan, sembunyi dari radar musuh.

Dua pesawat peninjau itu melayah menghampiri MV Sorgut dan melancarkan tembakan EMP (Electro Magnetic Pulse). Denyar elektromagnetik itu segera menjadikan sistem kawalan kapal kucar-kacir. Lampu-lampu semuanya terpadam. Sistem suntikan bahan api juga segera terhenti.

Pesawat-pesawat peninjau itu tidak berlalu pergi. Kedua-duanya berkitar mengelilingi kapal kargo yang sudah mereka lumpuhkan.

Azmeer memberi arahan kepada Mahmud dan Pakeer supaya menunggu lagi. Dia tahu benar taktik musuh, sebentar lagi akan datang skuad ekso-sut musuh untuk menaiki MV Sorgut. Pesawat peninjau itu berfungsi sebagai mata dan telinga skuad yang akan naik ke atas kapal.

“Yap, dapat kesan sebarang kapal selam?”

“Ada, satu batu nautika ke utara kedudukan kamu sekarang. USS Bush dan USS Cheney. Kedua-duanya di bawah laut.”

Benar telahan Azmeer, sebentar kemudian datang tiga buah ekso-sut musuh dari arah belakang MV Sorgut. Skuad ekso-sut itu berpecah, salah satu daripadanya terus naik ke atas dek. Dua lagi pergi ke sisi kiri dan kanan.

Pakeer, bersedia untuk serang hendap ekso-sut Alfa di sebelah kiri. Mahmud, hujani ekso-sut Beta di tengah dan pesawat-pesawat peninjau itu dengan peluru berpandu. Kemudian lindungi aku untuk menyerang ekso-sut Gamma di sebelah kanan.”

Azmeer menunggu ekso-sut yang pergi ke sisi kiri dan kanan untuk mula menaiki dek MV Sorgut.

“Sekarang!”

Mahmud segera melancarkan hujanan peluru berpandu Taji Helang. Peluru berpandu panduan video dan GPS segera mengejar dua pesawat peninjau itu. Pesawat-pesawat tanpa pemandu ini nyata menjadi sasaran mudah, kedua-duanya segera dimusnahkan.

Ekso-sut Beta itu bertempiaran lari dari hujanan peluru berpandu. Beberapa peluru berpandu berjaya ditepisnya dengan pedang laser.

Pakeer pula membidik kepada ekso-sut Alfa seperti yang diarahkan Azmeer. Bahagian kokpit menjadi sasaran. Berkecai kokpit ekso-sut itu dek bedilan senapang hendap ekso-sut Pakeer. Ekso-sut itu tumbang dan jatuh ke dalam laut.

“Azmeer, kau tunggu apa lagi?”

“Sabar Mahmud, aku menunggu ikan besar muncul. Nanti kau dan Pakeer musnahkan ekso-sut yang di atas dek itu.”

Ekso-sut Beta dan Gamma yang tinggal panik seketika. Sudahlah mereka kini ‘buta’ kerana kemusnahan pesawat peninjau, ekso-sut Alfa pula telah dihapuskan. Buntu, mereka menghubungi kapal selam pengiring.

Arahan diterima. “Misi dibatalkan, kembali ke kapal selam.”

Kedua-dua ekso-sut itu segera berundur. Azmeer memerhatikannya penuh minat, dia masih menunggu kapal selam musuh timbul ke permukaan.

“Azmeer, buruan kamu sudah muncul,” Yap melaporkan dari pesawat.

Sistem Samaran Elektronik segera dimatikan, ekso-sut Azmeer terbang meluru ke arah bot kecil itu. Pedang laser di kedua-dua belah tangan ekso-sut merah menyala, bersedia untuk menyerang.

Sekali libasan, ekso-sut Gamma terbelah dua. Ekso-sut Azmeer kemudiannya melompat ke atas dek kapal. Dia sudah nampak buruannya, Yap pula telah menandakan sasaran strategik pada skrinnya.

Dalam masa yang sama, Mahmud pula kembali menghujani ekso-sut Beta dengan peluru berpandu Taji Helang. Pakeer pula menetapkan sasarannya kepada kokpit ekso-sut tersebut. Sebaik sahaja ekso-sut Beta hendak melompat ke dalam laut untuk melarikan diri, Pakeer melancarkan serangan mautnya.

Ekso-sut Azmeer melompat tinggi sebelum menjunam ke arah layar USS Bush. Sasarannya adalah antena komunikasi tempur, yang mudah sahaja dicantas dengan pedang laser. Kemudian Ekso-sut Azmeer beralih ke USS Cheney pula.

USS Cheney turut mengalami nasib yang sama, antena komunikasinya musnah sama sekali. Kapal selam selam ternyata tidak mampu menangani serangan ekso-sut yang bergerak di bawah lingkungan minimum senjata-senjata jarak jauhnya.

“Skuad, berkumpul di atas dek MV Sorgut.”

Ketiga-tiga ekso-sut itu berkumpul di atas dek MV Sorgut. Keseluruhan kapal kargo itu masih gelap gelita, tanda mereka belum pulih daripada serangan EMP. Mereka kemudiannya menerima arahan agar berkawal di MV Sorgut sehingga datang helikopter untuk membawa kargo X-CS1 keluar.

“Yap, kau tahu tak apa kandungan kargo rahsia yang kita lindungi ini?”

“Tidak Azmeer, kita sebagai anggota MIST harus ikut sahaja arahan.”

Tiba-tiba, ternampak kelibat satu benda bergerak dengan pantas di belakang ekso-sut Pakeer. Azmeer segera menoleh, radarnya tidak mengesan apa.

Tahu-tahu sahaja ekso-sut Pakeer sudah melayang ke arahnya. Azmeer segera tunduk untuk mengelak. Percikan air yang besar terbentuk apabila ekso-sut Pakeer menerjah permukaan laut.

“Mahmud, lancarkan peluru berpandu!”

Ekso-sut Mahmud segera melancarkan beberapa buah peluru berpandu. Peluru berpandu yang dilepaskan melilau tanpa arah. Panduan radar, dan kamera semuanya gagal.

Ekor mata Azmeer menangkap kelibat hitam itu sekali lagi. Kali ini di belakang ekso-sut Mahmud.

“Mahmud, belakang kau!”

Terlambat, ekso-sut misteri itu sudah menghasilkan medan kuasa pada tapak tangannya. Mahmud turut mengalami nasib yang sama seperti Pakeer. Ekso-sutnya tercampak ke udara, salah satu lengannya terputus dua.

Pesawat segera dihubungi. “Yap, bantu aku!”

Tiada jawapan, hanya bunyi statik kedengaran pada fon telinga. Mahmud dan Pakeer juga tidak dapat dihubungi, status ekso-sut mereka juga tidak terpapar pada skrin. Azmeer sedar dia bersendirian sekarang.

Ekso-sut misteri itu menoleh kepada Azmeer, pedang laser terhunus di tangan kanannya. Genggaman pada dua pedang laser ekso-sut Azmeer dikemaskan, bersedia untuk menyerang balas.

Dalam sekilas pandang, ekso-sut misteri itu pantas meluru ke arah Azmeer. Peluru berpandu Taji Helang dilancarkan, namum sia-sia. Medan kuasa ekso-sut misteri itu memusnahkannya sebelum sempat menghentam tubuh besi kompositnya.

Azmeer menghayun kedua-dua pedang laser ekso-sutnya. Pedang laser di tangan kanan ditahan dengan medan kuasa. Satu lagi pedang laser pula bersilang dengan pedang laser tunggal ekso-sut misteri tersebut.

Sekali lagi Azmeer cuba menyerang ekso-sut misteri dengan peluru berpandu Taji Helang. Silap besar, medan kuasa masih melindungi ekso-sut itu biarpun sibuk menahan pedang laser Azmeer. Sebahagian besar impak dilantun semula kepada ekso-sut Azmeer.

Ekso-sut Azmeer tercampak ke udara beberapa meter. Mujur plat perisainya mampu meminimakan kesan impak tersebut. Namun, plat perisai pada kedua-dua peha ekso-sut rosak teruk.

Jet-jet di belakang ekso-sut Azmeer segera menstabilkan kedudukannya. Ekso-sut misteri itu pula pantas melompat ke udara. Pedang laser di tangannya sedia untuk menghayun.

Hayunan pedang laser ditahan dengan kedua-dua pedang laser Azmeer. Berdesing bunyi geserannya. Ngauman enjin jet kedua-dua ekso sut itu membelah pekat malam. Kedua-duanya berusaha keras untuk menolak lawan mereka.

Dalam kegawatan begitu suara Yap tiba-tiba terngiang di fon telinga. “Azmeer, berikan status kau.”

Bengang, Azmeer menjerit ke dalam mikrofon. “Aku sedang berlawan. Tengok sahaja status aku dari bacaan telemetri.”

Hilang fokus, ekso-sut Azmeer ditolak ke belakang. Bahunya pula terkena libasan pedang laser ekso-sut misteri tersebut. Tidak cukup dengan itu, kaki kiri ekso-sut Azmeer turut menerima libasan pedang laser yang sama.

Enjin-enjin jet di belakang ekso-sut Azmeer mengaum, pantas membawanya lari dari ekso-sut misteri tersebut. Dalam hal ini, Azmeer mempunyai kelebihan enjin jet berkembar ekso-sutnya lebih pantas daripada enjin jet tunggal ekso-sut musuh.

“Azmeer, aku tidak dapat memabaca data telemetri. Isyarat komunikasi kita terganggu. Aku hanya mampu membuka beberapa saluran.”

“Yap, hubungi Komander. Tanya apa kandungan kargo itu. Tentunya begitu penting sehingga muncul ekso-sut yang sebegini hebat.”

Yap terkejut mendengar permintaan Azmeer. “Ha, engkau biar benar? Naik angin Komander kita nanti.”

Azmeer berkeras. “Buat sahaja, jika tidak aku batalkan misi ini. Nyawa ahli skuad lebih penting untuk diselamatkan daripada kargo yang entah apa.”

“Baik, aku lakukan.” Yap mengalah, dia tahu tiada gunanya bertekak dengan Azmeer.

Azmeer melihat paparan kamera belakang, ekso-sut misteri itu masih mengejar. Dia berkalih pula kepada status ekso-sut, bekalan kuasa tinggal dua puluh minit. Peluru berpandu Taji Helang pula tinggal dua buah sahaja.

Kemudian, Azmeer tersedar sesuatu. Ekso-sut itu mempunyai sirip yang banyak di belakangnya. Paling kurang tiga kali ganda lebih banyak berbanding ekso-sutnya sendiri.

Dalam masa yang sama, Yap pula sibuk bertekak dengan Komander. Komander berkeras tidak mahu memberitahu apa kandungan kargo tersebut. Diberitahunya tentang ekso-sut misteri yang menyerang skuad Azmeer, tetap dia membebel tentang kerahsiaan dan kepatuhan.

Terdesak, Yap mengungkit tentang begitu banyak kecedaraan dan kematian yang menimpa skuad-skuad khas MIST. Kini tinggal beberapa skuad sahaja yang mampu beroperasi. Yap mempersoalkan mengapa pula Komander harus mengambil risiko untuk kehilangan satu skuad lagi.

Akhirnya, Komander itu terdiam. Tersentak ditempelak orang bawahannya. Mahu tidak mahu didedahkan jua apa kandungan kargo tersebut.

“Azmeer, kargo tersebut mengandungi komputer super NSA (National Security Agency). Di dalamnya ada senarai pengintip-pengintip Amerika di seluruh Asia!”

“Jika begitu, aku akan jayakan misi ini! Yap, bantu aku buat imbasan terma terperinci pada ekso-sut tersebut.”

Azmeer kembali bersemangat. Jika benarlah kargo itu bagai yang dikata maka dia sendiri akan memastikan kargo itu selamat. Sahabat karibnya mati semasa cuba mendedahkan pengintip di dalam MIST. Misi-misi skuad khas MIST yang lain juga digagalkan pengintip.

Data yang dipinta muncul pada skrin. Nyata ekso-sut itu menghasilkan haba yang tinggi dan semakin meningkat. Itu menjelaskan mengapa begitu banyak sirip pada belakang ekso-sut misteri tersebut.

Azmeer mengarahkan ekso-sutnya mendarat di atas dek kapal. Kedua-dua pedang laser bersedia dalam posisi bertahan. Nafas panjang ditarik, dia harus fokus sepenuhnya untuk menewaskan ekso-sut misteri ini.

Ekso-sut misteri itu menerjah dari udara, menyerang dengan pedang lasernya. Serangan itu dapat ditahan. Ekso-sut misteri itu menyusul dengan serangan medan kuasa pula.

Serangan itu tidak mampu ditahan, Azmeer segera berundur dan melancarkan dua peluru berpandu Taji Helang. Peluru berpandu itu tidak diendahkan oleh ekso-sut misteri. Sasarannya satu, ekso-sut Azmeer yang kaku tidak berganjak.

Pedang lasernya dimatikan lantas menerkam ke arah Azmeer dengan serangan medan kuasa. Tanpa disedarinya dua buah peluru berpandu yang dilancarkan Azmeer telah menyusup ke belakang.

Baru sahaja medan kuasanya hendak menjamah plat perisai ekso-sut Azmeer, dua buah peluru berpandu Taji Helang telah menghentam belakangnya.

Medan kuasa ekso-sut itu serta-merta berhenti berfungi. Azmeer pantas mengambil peluang itu memancung kepala ekso-sut tersebut dan mencantas lengannya. Kemudian disudahinya dengan tikaman pada bahagian kokpit ekso-sut tersebut.

“Kerja yang cemerlang, Azmeer.” Suara Komander terngiang di fon telinga.

6 Respons to “Komando 2069: Kargo Rahsia”

  1. Komando 2069 Beraksi! at Studio Inspirasi Says:

    […] Komando 2069: Kargo Rahsia […]

  2. Hani Ismail Says:

    ish…rasa macam baca saga macross ler pulak. walau apa pun tahniah kerana berjaya menghasilkan karya yang penuh visual. cuma hati-hati dengan penggunaan tatabahasa dan ejaan.

  3. Firdaus Says:

    Terima kasih atas maklum balas. Nanti saya akan edit mana yang perlu.

  4. Akan Datang! at Studio Inspirasi Says:

    […] Komando 2069 telah saya panjangkan kepada 10 muka surat untuk mBook. Beberapa perubahan besar telah dibuat berbanding cerpen asal, dengan penambahan satu watak baru. Saya merancang untuk menjadikan Komando 2069 sebagai siri mBook, sudah cukup siri nanti tukar jadi novel pula. Di sini disertakan saya sertakan gambar mock mBook. […]

  5. Concept Art: Komando 2069 at Studio Inspirasi Says:

    […] sebelum ini anda hanya dapat membaca cerpen Komando 2069, kini dipersembahkan concept art untuk siri ini. Ilustrasi di atas adalah hasil kreativiti Saudara […]

  6. SILZACK KHAIROL Says:

    Komando.
    cite ni best juga… namun , mungkin kalau kita bincangkan bersama cite ini akan lebih realistik dan fantastic…
    insyallah… saudara memang berbakat… tahniah untuk Komando…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: