Putaran Masa

 

18 Januari 2008

Awan hitam mencurahkan hujan tanpa lelah. Seorang lelaki berlari keluar dari teksi sambil membawa sebuah beg bimbit. Tanpa payung, dia melangkah kaki selaju mungkin ke ruang legar stesen LRT Universiti.

Sebaik sahaja dilindungi oleh bumbung stesen, lelaki tersebut memperlahankan langkahnya. Dia berhenti sejenak, membetulkan rambutnya yang panjang. Pandangannya serba sedikit tertutup dek rambut hitamnya itu.

Baru satu nafas ditarik, telefon bimbitnya berdering. Dia mengeluarkan telefonnya yang sedikit lembab. Lembab, tetapi tidak basah. Tanpa melihat skrin yang berkabut, lelaki itu mengangkat telefon tersebut.

Suara dari corong telefon menjerkah, “Johan, kau di mana?” 

“Aku baru mahu naik LRT, sangkut dek hujan dan kesesakan.”

“Cepatlah, persembahan kita akan bermula sejam lagi.

Johan menjawab ya dua tiga kali sebelum menamatkan panggilan. Dia mengeluarkan MyKad dari dompetnya lalu berjalan ke arah pintu masuk LRT. Langkahnya dihalakan ke laluan paling kiri, satu-satunya laluan Touch N Go yang tidak terlekat notis rosak.

Barisan yang beratur hendak masuk laluan itu panjang, sepanjang barisan di kaunter. Dua orang lelaki yang rancak berborak menarik perhatian Johan. Seorang memakai baju merah dan seorang lagi memakai baju biru.

Si baju biru bertanya, “Kau mahu tambah nilai Touch N Go dalam MyKad?”

“Tidak, aku tidak mahu pergerakan aku dijejaki.”

“Apa maksud kau?”

“Apabila kita menggunakan sistem Touch N Go dalam MyKad, setiap stesen keluar masuk kita akan direkodkan. Jadi, mereka boleh tahu ke mana selalu kita pergi. Tambah pula guna fungsi Bankcard, di mana kita membeli-belah pun akan diketahui.”

Rakannya mengangkat bahu, “Apa-apa sahajalah.”

Johan melihat MyKad di tangan, dia berhenti sejenak. Kemudian dia mengerling ke arah jamnya, detikan jarum kedengaran bagai berdetik kuat di telinganya. Dia meneruskan langkah dan menyentuh MyKad kepada panel Touch N Go.

Tiba sahaja di platform, sebuah tren menghala ke Terminal Putra tiba. Tanpa berlengah, Johan melangkah masuk ke dalam tren. Terdapat sebuah kerusi kosong dan Johan terus sahaja mengambil tempat tersebut.

Beberapa ketika kemudian, tren singgah di stesen Kerinchi. Dua orang lelaki masuk, kedua-duanya memakai jaket yang serupa warnanya. Salah seorang kelihatan sudah agak berusia sedangkan seorang lagi jelas muda beberapa puluh tahun. Nafas si tua agak terburu-buru sedangkan rakannya tenang sahaja melempar pandangan ke luar.

Lelaki tua itu berpaut pada pemegang yang bergantungan, kakinya kelihatan agak goyah. Tetapi Johan hanya mengerling seketika sebelum menutup matanya. Kemudian dia menyumbat telinganya dengan fon telinga lalu memeluk tubuhnya. 

23 Jun 2048

“Proto, kejar dia!”

Proto berlari mengejar lelaki yang berpakaian serba hitam. Dia melepaskan beberapa das tembakan tetapi ditampan oleh perisai medan kuasa. Butir-butir peluru yang menghentam perisai tersebut terhenti dan musnah.

Beberapa langkah di belakang Proto, Johan turut berlari mengekori. Kini dia sudah menginjak 60-an tetapi masih aktif dalam bidang penguatkuasaan. 

Peta kawasan pusat bandar itu terpapar di implan retina Johan. Labirin laluan di belakang kedai-kedai dipaparkan bersama pelbagai maklumat. Titik-titik hijau memaparkan kedudukan orang-orangnya sedangkan satu titik merah tunggal mewakili buruan mereka.

“Semua ahli skuad bersedia, sasaran kita sedang menuju ke lorong buntu. Pastikan dia ditumbangkan dan ditangkap.”

Dalam sekelip mata, arahan Johan terpapar di implan retina semua ahli skuadnya. Nafasnya semakin kencang, buruan semakin hampir ke tempat perangkap. Proto pula tenang sahaja melangkah laju menjejak buruan.

Sampai di hujung lorong, lelaki tersebut melontarkan sebuah bola metalik. Satu letusan cahaya terjadi tetapi lelaki tersebut tidak memperlahankan lariannya. Dia melompat ke arah letusan cahaya tersebut dan terus ghaib.

“Proto, ikut lompat dalam portal masa itu!”

Tanpa lengah, Proto melompat masuk ke dalam portal masa tersebut. Johan juga menurut jejak yang sama. Kedua-dua mereka hilang dari aliran ruang masa tahun 2048.

18 Januari 2008

Krang! Berderai bunyi kaca akibat dihentam tubuh Proto. Tetapi dia tidak terkesan sedikit pun sebaliknya berpusing untuk menyambut ketuanya. Senjata pula sudah disimpan di dalam jaket.

Keluar sahaja dari portal masa, Johan terus bertanya. “Kita di mana?”

“Plaza Pantai, tahun 2008. Sasaran kita sudah berlari ke arah stesen LRT.”

Johan sekadar angguk sedikit lalu kembali menjejak buruan mereka. Proto membiarkan ketuanya bergerak terlebih dahulu, dia mengambil masa satu minit untuk mengemaskini peta dalam paparan implan retinanya.

Setelah selesai, dia pantas berlari ke sisi Johan. Proto menyeluk ke dalam poket dan mengeluarkan dua kad plastik berwarna putih. Tiada sebarang tulisan atau logo di atas kad tersebut, Johan ambil satu dan menyepit antara jari telunjuk dengan jari hantu.

Laluan masuk ke LRT tidak begitu ramai orang, Proto dan Johan melangkah seiring melepasinya. Panel Touch N Go menerima kad putih yang mereka bawa dari masa hadapan. Baki dua ratus ringgit tertera di paparan panel Touch N Go.

Titik merah itu masih berkelip-kelip dalam paparan implan retina Proto dan Johan. Kedua-dua mereka berlari menaiki tangga, menghampiri buruan mereka. Sebaik sahaja mereka tiba di platform, pintu tren yang membawa buruan mereka tertutup.

Johan menggumam, “Terlepas pula!”

“Tenang tuan, sebaik sahaja kita naik tren berikutnya saya boleh godam sistem LRT. Saya pasti buruan kita tidak akan terlepas.”

Lima minit kemudian, tren singgah di stesen Kerinchi. Proto dan Johan melangkah masuk, kedua-duanya memakai jaket yang serupa warnanya. Nafas Johan agak terburu-buru sedangkan Proto tenang sahaja melempar pandangan ke luar. Johan berpaut pada pemegang yang bergantungan, kakinya sudah agak goyah.

Seorang pemuda hanya mengerling seketika ke arah Johan sebelum menutup matanya. Kemudian pemuda tersebut menyumbat telinganya dengan fon telinga lalu memeluk tubuh. 

Mesej dari Proto terpapar di implan retina Johan, “Tuan penat?”

“Tentulah, aku bukannya android. Tambah pula aku sudah tua. Apalah remaja zaman ini,  tidak hormat orang tua. Sepatutnya berilah tempat untuk aku duduk.”

“Bukankah itu diri tuan sendiri?”

(Tersiar dalam Dewan Kosmik Oktober 2008)

Satu Respons to “Putaran Masa”

  1. Sudah Online: Cerpen Putaran Masa at Studio Inspirasi Says:

    […] Putaran Masa yang tersiar dalam Dewan Kosmik Oktober 2008 kini sudah dimuatkan di blog ini. Filed under Cerpen, Fiksyen Sains, Malaysia […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: